Guru pedalaman disaran lebih komited: Jeanne – Sinar Harian


Guru pedalaman disaran lebih komited: Jeanne

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Oktober 2012
Guru pedalaman disaran lebih komited: Jeanne
Jeanne (kanan) bersalaman dengan waris dan guru Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus sebaik tiba untuk merasmikan program ‘Learning is Fun’.

GEORGETOWN  – Guru di kawasan pedalaman disaran lebih komited melahirkan pelajar cemerlang khususnya kalangan golongan itu yang lemah dalam pelajaran dan tidak minat belajar bagi sesi persekolahan 2013 nanti.

Canselor Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Tun Jeanne Abdullah berkata demikian kerana berasakan guru berperanan penting mencorak masa depan kanak-kanak ke arah melahirkan insan cemerlang.

“Guru perlu berani mengambil pendekatan sesuai menarik minat pelajar khususnya yang malas dan tidak berminat belajar untuk bersaing dengan rakan lain mencipta pencapaian memberangsangkan dalam peperiksaan.

“Ke arah mencapai matlamat itu guru mestilah mempunyai pengetahuan tinggi yang boleh didapati dari pelbagai segi seperti hasil pembacaan dan mengikuti kursus untuk mendapatkan cara menangani murid bermasalah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat OUM ‘Learning Is Fun’ di Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus di sini, kelmarin.

Hadir sama bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Naib Canselor OUM, Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.

Program sehari bersama guru dan murid sekolah itu untuk memberi pendedahan dan menambah minat penggunaan bahasa Inggeris kalangan murid sekolah luar bandar.

Seramai 100 murid sekolah itu yang terdiri daripada tahun lima dan enam mengambil bahagian melalui penyertaan mereka dalam aktiviti kuiz, persembahan pentas penanaman pokok serta demonstrasi gubahan bunga.

Jeanne berkata, program itu juga bagi mendekatkan para pelajar sekolah di kawasan luar bandar dengan bidang sains, matematik dan bahasa Inggeris serta teknik pembelajaran yang menarik bagi mata pelajaran itu.

“Bagi memahirkan murid, mereka perlu membuang perasaan malu untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi harian termasuk di sekolah dan rumah,” katanya.

Selain itu, beliau juga menekankan agar ibu bapa tidak terlalu memanjakan atau terlalu berkasar dengan anak-anak khususnya dalam memberikan pendidikan, sebaliknya menggunakan pendekatan meluangkan masa mendengar luahan perasaan mereka.

“Kadang kala sebagai orang dewasa kita juga lupa yang kita tidak sentiasa betul, fahamilah anak-anak kita, saya yakin dengan hubungan keluarga yang erat, mereka bukan sahaja akan hormat malah tidak akan takut untuk berkongsi masalah atau meminta nasihat,” katanya.

Guru digesa lahirkan pelajar cemerlang dikalangan pelajar lemah – Bernama


Guru digesa lahirkan pelajar cemerlang dikalangan pelajar lemah

20 Oktober 2012

KEPALA BATAS – Canselor Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Tun Jeanne Abdullah menggesa guru berusaha melahirkan  pelajar cemerlang daripada kalangan pelajar yang lemah dalam pelajaran dan tidak minat  belajar.

Beliau berkata selain ibu bapa, guru mempunyai peranan penting dalam mengubah sikap dan minda anak-anak untuk pembentukan insan cemerlang.

“Bagi tahun persekolahan 2013, tumpu pada pelajar paling lemah dalam kelas anda atau pelajar yang tidak minat belajar dan jadikan mereka pelajar yang lebih baik…saya percaya kita semua boleh lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pembelajaran sepanjang hayat OUM  ‘Learning Is Fun’ di Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus, Penaga, di sini hari ini. Turut  hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Naib Canselor OUM Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.

‘Learning Is Fun’ merupakan program yang dianjurkan oleh OUM bagi mendekatkan pelajar di kawasan luar bandar dengan bidang sains, matematik dan bahasa Inggeris serta teknik pembelajaran yang menarik bagi mata pelajaran itu.

Beliau juga menasihati pelajar agar tidak malu untuk menggunakan  bahasa Inggeris dalam komunikasi harian walaupun mereka kurang mahir dalam penguasaan bahasa antarabangsa itu.

“Walaupun pada mulanya susah tetapi jika selalu digunakan lama-lama kita akan mahir,  kita mungkin akan ketinggalan jika tidak mampu menguasai bahasa Inggeris, ke mana pun kita  pergi bahasa Inggeris tetap diperlukan,” katanya.

Selain itu beliau berharap ibu bapa meluangkan masa mendengar luahan perasaan anak mereka.

“Kadang kala sebagai orang dewasa kita juga lupa yang kita tidak sentiasa betul,  fahamilah anak-anak kita, saya yakin dengan hubungan keluarga yang erat, mereka bukan sahaja  akan hormat malah tidak akan takut untuk berkongsi masalah atau meminta nasihat,” katanya. – Bernama

Gangguan seawal 15 tahun – Metro


Gangguan seawal 15 tahun

Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kajian serta kes klinikal menunjukkan trend gangguan mental dan emosi yang meningkat di kalangan masyarakat bermula pada peringkat usia yang amat muda iaitu 15 tahun.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berkata, data klinikal daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan sebanyak 400,000 kes gangguan mental dilaporkan pada tahun lalu.
“Daripada jumlah berkenaan, 20.3 peratus atau 81,000 kes membabitkan golongan kanak-kanak dan remaja manakala 12,000 kes atau 14.4 peratus golongan ini membabitkan remaja berusia 16 dan 19 tahun.

 

“Berdasarkan jumlah berkenaan, trend itu diunjurkan terus meningkat tahun demi tahun. Masalah utama gangguan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja pula adalah kemurungan yang meningkatkan risiko kejadian bunuh diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ‘Seminar Sosioekonomi Ke Arah Kebahagiaan dan Kesihatan Mental’ anjuran Ikim di Dewan Besar Ikim, di sini, semalam.
Program dua hari menghimpunkan golongan cendekiawan itu bertujuan menyebarkan kefahaman Islam menepati Gagasan Ikim ‘Memahami Islam Membina Peradaban’ dengan memberi kesedaran mengenai setiap aspek kehidupan dan maslahat umat Islam di negara ini.

 

 

Dengan pandangan disalurkan pembentang kertas kerja, ia diharap dapat membantu usaha penambahbaikan dalam membangunkan sosioekonomi ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan untuk mencapai negara maju menjelang tahun 2020.
Abdullah berkata, peningkatan jumlah pesakit mental kalangan kanak-kanak dan remaja menjadi satu amaran bahaya kepada semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan ahli masyarakat.

 

“Setiap individu sihat berperanan penting menjayakan pelbagai agenda negara, namun jika gangguan mental dan emosi tidak ditangani segera, ia boleh menjadi penghalang kepada negara.
“Amat menggerunkan kita semua kerana hari ini kerana mereka yang berada dalam usia muda dan produktif dan sewajarnya menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan sosioekonomi ini terpaksa bertarung dengan pelbagai bentuk gejala gangguan mental dan emosi yang tidak sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata, kajian kesihatan mental sedunia Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan seramai 350 juta individu mengalami penyakit kemurungan di seluruh dunia pada hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17

Mahadzir bukan hanya tokoh politik malah penulis sejarah politik – Bernama


Mahadzir bukan hanya tokoh politik malah penulis sejarah politik

5 September 2012

KUALA LUMPUR – Allahyarham Datuk Mahadzir Mohd Khir, 67, yang meninggal dunia kerana angin ahmar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini, bukan hanya seorang tokoh politik tanah air, tetapi juga seorang penulis sejarah politik negara.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu yang pernah bertugas sebagai pensyarah dalam bidang Politik Malaysia dan Sejarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM) lebih dua dekad, telah menghasilkan banyak artikel dan buku mengenai politik tanah air.

Antara hasil penulisannya ialah Dinamika Politik Kepartian Melayu: Satu Persoalan Nilai (1997), Proses Transformasi Politik Malaysia: dari Raja ke Rakyat (1997), Sejarah Politik Melayu (1996), Pemuda Umno 1993-1996 Reaksioner, Proaktif atau Pengikut (1991).

Mahadzir yang dilahirkan di Kedah pada 16 Mei 1945, memulakan karier sebagai seorang guru telah melanjutkan pelajarannya ke UM, sebelum ke University of West Michigan dan University of Chicago, Amerika Syarikat.

Semasa di UM, Allahyarham pernah dipilih sebagai Presiden Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (KKAUM).

Mahadzir yang bertanding buat pertama kali dalam pilihan raya umum 1999 untuk kerusi Parlimen Sungai Petani, telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan.

Pada Mac 2004, Allahyarham telah dilantik sebagai timbalan menteri di kementerian itu, dan dua tahun kemudian pada 14 Februari 2006, Mahadzir antara tiga timbalan menteri yang digugurkan oleh Perdana Menteri pada masa itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam rombakan Kabinet pertamanya selepas memegang tampuk pemerintahan dan menerajui Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2003.

Sebagai seorang yang suka membaca dan meminati buku, Mahadzir semasa memegang jawatan sebagai setiausaha Parlimen dan timbalan menteri, giat menggalakkan minat membaca di kalangan pelajar dengan memperluaskan Pusat Bacaan Rakyat (PUBARA) ke seluruh Kedah, serta memberi perhatian yang lebih kepada perpustakaan sekolah rendah untuk memantapkan lagi kemudahan sedia ada. – Bernama

Kerjasama semua pihak tingkatkan prestasi sekolah – Utusan


Kerjasama semua pihak tingkatkan prestasi sekolah

BUKIT MERTAJAM 21 Jan. – Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerjasama guru, pelajar, alumni dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan kombinasi penting dalam usaha sekolah meningkatkan prestasi bagi mencapai hasrat melahirkan modal insan cemerlang.

Bekas Perdana Menteri berkata, usaha meningkatkan prestasi sekolah tidak harus diletakkan kepada satu pihak sahaja tetapi perlu dilakukan secara berkumpulan.

“Dengan kombinasi guru, pelajar, PIBG dan alumni, secara tidak langsung dapat meningkatkan kejayaan untuk terus bersaing di peringkat global.

“Ia juga secara tidak langsung dapat melahirkan modal insan yang cemerlang dan berpengetahuan serta kemahiran tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Pra Universiti Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam (SMKTBM), di sini hari ini.

Beliau yang juga penaung alumni sekolah tersebut turut meminta pengurusan SMKTBM terus berusaha meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran untuk mencapai kejayaan lebih baik.

Bangunan baru bernilai RM14 juta itu mengandungi 24 buah kelas dan asrama yang mula dibina pada Mei 2009 dan dijangka siap Mac ini.

Pembukaan bangunan baru tersebut akan membolehkan sekolah berkenaan melaksanakan sistem persekolahan satu sesi.