Kepala cikgu Lijah pecah dipukul – Sinar Harian


Kepala cikgu Lijah pecah dipukul

HASNIZA HUSSAIN
30 Mei 2013
Kepala cikgu Lijah pecah dipukul
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Gambar kecil: Khalijah Abu Samah

KAJANG – Seorang pesara guru ditemui mati dipercayai dibunuh, selepas disamun dalam kejadian di rumahnya di Jalan Mewah Abu Samah, Kampung Sungai Jai, Beranang, di sini, semalam.

Mangsa, Khalijah Abu Samah, 74, ditemui dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah di bahagian ruang tamu berhampiran pintu dapur rumahnya.

Mangsa yang tinggal bersendirian ditemui oleh jirannya seorang warga Indonesia, Ahmad Zaini Kasmuri, 54, kira-kira jam 10 pagi.

Ahmad Zaini ketika ditemui berkata, sebelum kejadian, dia yang berniaga sayur keluar rumah untuk ke pasar pada jam 7 pagi.

Menurutnya, apabila kembali semula ke rumahnya kira-kira tiga jam kemudian, dia mendapati rumah mangsa kosong.

Katanya, dia bagaimanapun melihat terdapat sebuah motosikal hitam jenis Yamaha 125Z diparkir berdekatan pagar laman rumah mangsa.

Ahmad Zaini berkata, dia kemudiannya masuk ke dalam rumah untuk meletakkan barang, sebelum bergegas ke rumah mangsa untuk menjenguknya.

“Biasanya kalau saya balik setiap hari dari pasar, kakak (mangsa) akan duduk di luar rumah, tetapi hari ini (semalam) tiada.

“Saya rasa tak sedap hati dan terus pergi ke rumah kakak. Apabila saya tolak pintu dapur, nampak kakak sudah tertiarap tidak sedarkan diri di kawasan ruang tamu rumah,” katanya.

Kepala ditutupi tudung

Ahmad Zaini berkata, ketika ditemui kepala mangsa ditutup dengan tudung dan terdapat kesan darah yang banyak sehingga ke lantai.

Menurutnya, dia menarik tudung mangsa dan mendapati kepalanya pecah, selain banyak serpihan kaca bertaburan di atas lantai.

Ahmad Zaini berkata, dia sangat terkejut dan terus memaklumkan kepada jiran berdekatan tentang perkara tersebut.

“Salah seorang jiran terus buat laporan polis, manakala saya hubungi menantu mangsa memaklumkan perkara tersebut,” katanya yang sudah tiga tahun berjiran dengan mangsa.

Ketika ditanya berhubung motosikal yang dilihatnya sebelum itu, beliau berkata, motosikal itu sudah tiada ketika dia pergi ke rumah mangsa.

Menurutnya, dia berasa sedih dengan kejadian yang berlaku, kerana selama ini, dia dan isteri diamanahkan oleh tiga anak mangsa untuk menjaga dan menjenguk keadaannya kerana mereka tinggal berjauhan termasuk seorang di Arab Saudi.

“Selalu saya belikan dia barang atau makanan dan dia akan masak sendiri. Tapi tak sangka perkara sebegini menimpanya,” katanya.

Keluarga kerap datang melawat

Menantu mangsa, Zunfar Mohd Saad, 45, yang tinggal di Kajang berkata, dia hanya mengetahui kejadian selepas jirannya menghubungi melalui telefon kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, dia dan suami yang merupakan anak bongsu mangsa kerap datang melawat kerana mereka yang tinggal paling dekat dengan rumah mangsa.

“Kami memang selalu pesan pada jiran untuk tengok-tengokkan emak sebab dia tinggal seorang. Tapi tak sangka kejadian seperti ini boleh berlaku,” katanya.

Maut akibat dipukul objek tumpul

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, siasatan menunjukkan mangsa dibunuh antara jam 7.30 pagi ke 10 pagi semalam.

Menurutnya, pemeriksaan awal menunjukkan terdapat dua kesan kecederaan pada kepala mangsa dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

“Tiada sebarang senjata yang digunakan dalam kejadian ditemui dan premis juga tidak dipecah masuk.

“Keadaan rumah berselerak dipercayai digeledah suspek dan hanya barangan kemas mangsa dikenal pasti hilang. Setakat ini, kita percaya individu yang menyerang mangsa hanya seorang,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohd. Haziq cekal hadapi persekolahan – Utusan


Mohd. Haziq cekal hadapi persekolahan

SEREMBAN 2 Jan. – Di sebalik kekurangan diri ekoran cacat penglihatan, seorang murid tahun satu, Mohd. Haziq Fazail, 8, tabah meneruskan kehidupan termasuk meneruskan alam persekolahan.

Ketabahan Mohd. Haziq itu juga didorong hakikat dia sebelum ini mampu melihat sehinggalah secara tiba-tiba hilang penglihatan pada Februari tahun lalu sewaktu meraikan hari ulang tahun kelahirannya.

Menurut bapanya, Fazail Abu Samah, 47, sewaktu kejadian itu anaknya masih boleh melihat dan meneruskan persekolahan seperti biasa.

“Hanya pada April tahun lalu, dia kehilangan penglihatan sepenuhnya dan doktor mengesahkan Mohd. Haziq mengalami masalah saraf pada matanya yang membawa kepada kegagalan fungsi deria matanya,” katanya kepada Utusan Malaysia sewaktu menghantar anaknya itu di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Pendidikan Khas Seremban di Temiang, dekat sini hari ini.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130103/dn_10/Mohd-Haziq-cekal-hadapi-persekolahan#ixzz2GsQ7PGat
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pulang selepas 3 bulan hilang – Metro


Pulang selepas 3 bulan hilang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUANTAN: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang dilapor hilang dari dari rumahnya di Taman Saujana Bukit Katil, Melaka, sejak sejak 21 Ogos lalu, pulang ke pangkuan keluarganya selepas berita kehilangannya disiarkan akhbar Metro Ahad, kelmarin.

Bapa remaja itu, Dzuliloniny Abu Samah, 54, berkata, anaknya Khadijah yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bau, Melaka pulang ke rumah neneknya di Balok, di sini, kira-kira jam 7 pagi semalam, selepas kira-kira tiga bulan menghilangkan diri dipercayai mengikut teman lelakinya berusia lingkungan 20 tahun yang menetap di Felda Neram, Kemaman, Terengganu.
Dzuliloniny yang bekerja sebagai pembantu perangkaan di Melaka, berkata dia berterima kasih kepada akhbar ini kerana dengan bantuan itu, Khadijah yang lebih mesra dipanggil ‘adik’ akhirnya pulang ke pangkuan keluarganya hanya selepas sehari berita itu disiarkan.

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/09

‘Diculik 10 minit’ – Metro


‘Diculik 10 minit’

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: “Bila terjaga daripada tidur, saya terkejut dan hanya mendiamkan diri kerana takut selepas melihat seorang lelaki tak dikenali memandu kereta datuk,” kata Nor Abdullah Afiq Abdullah, 8, yang ‘diculik’ kira-kira 10 minit oleh penjenayah yang melarikan kereta milik datuknya ketika dia tidur di dalam kenderaan itu.

Kejadian berlaku jam 2.15 petang di Jalan Melaka Raya 8, di sini, selepas Abu Samah Othman, 62, meninggalkan cucunya itu yang tidur di tempat duduk belakang Proton Gen.2 miliknya untuk membuat urusan pembayaran insurans.
Bagaimanapun, kegembiraan penjenayah yang tidak menyedari Nor Abdullah tidur di tempat duduk belakang kereta itu tidak lama kerana dia ditahan polis di Jalan Parameswara, tidak sampai dua kilometer (km) dari lokasi kereta itu dilarikan.

 

Menurut Nor Abdullah, dia yang pada mulanya hanya mendiamkan diri menangis selepas kereta dipandu penjenayah itu ditahan anggota polis.
“Saya takut dan hanya diam, bila dia tanya tinggal di mana? Saya jawab di Tampin dan saya juga jawab tidak tahu apabila dia bertanya sama ada saya tahu jalan pulang ke rumah.
“Lelaki itu bermuka jahat dan saya menangis sebaik saja kereta datuk ditahan polis,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, semalam.

 

 

Sementara itu, Abu Samah berkata, sebelum kejadian dia yang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Pulau Sebang, Alor Gajah ke Johor Bahru, Johor, singgah di bandar raya ini untuk membayar ansuran bulanan insurans nyawa di sebuah syarikat insurans di lokasi kejadian.
Katanya, dia meninggalkan keretanya di tepi jalan bertentangan dengan pejabat syarikat berkenaan dalam keadaan tidak berkunci.

 

“Ketika itu saya mematikan enjin kereta, tetapi radio dan penghawa dingin dihidupkan dalam keadaan kunci berada di dalam kerana Nor Abdullah sedang tidur.
“Bagaimanapun, tidak sampai lima minit berurusan dan keluar dari pejabat itu, saya lihat kereta sudah tiada. Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika itu kerana bimbang keselamatan cucu,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan tidak tentu arah, dia memaklumkan kejadian kepada kerani wanita di syarikat itu yang kemudian menghantarnya ke Balai Polis Bandar Hilir untuk membuat laporan.
Katanya, ketika dalam perjalanan mereka terserempak seorang anggota trafik dan memaklumkan mengenai kejadian.
“Sebaik mendapatkan nombor pendaftaran dan jenis kenderaan, anggota itu mengarahkan saya membuat laporan polis.
“Kira-kira enam minit menunggu di balai selepas membuat laporan, saya dimaklumkan kereta dan cucu saya ditemui. Syukur dia selamat dan tidak dicederakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, hasil tindakan pantas anggota trafik berkenaan melakukan hebahan dan rondaan berjaya mengesan kereta mangsa di Jalan Parameswara.
“Kami menahan seorang lelaki berusia 30-an dan cucu mangsa berada dalam kenderaan berkenaan.
“Turut ditemui, beg pinggang suspek yang mengandungi beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan awal, pihaknya menahan dua lagi suspek iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun dan seorang perempuan warga Thailand berusia 20-an di sebuah hotel, di sini.

Kanak-kanak 8 tahun terselamat meskipun kereta dinaiki dilarikan penjenayah – Bernama


Kanak-kanak 8 tahun terselamat meskipun kereta dinaiki dilarikan penjenayah

22 Mac 2012

MELAKA — Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun melalui pengalaman getir apabila kereta yang dinaikinya dilarikan seorang penjenayah, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, mangsa, Nor Abdullah Afiq Abdullah sedang tidur di tempat duduk belakang kereta jenis Proton Gen-2 milik datuknya, Abu Samah Othman, 62.

Kenderaan itu diparkir di Jalan Melaka Raya 8 di sini apabila datuk mangsa berhenti di sebuah syarikat insurans, yang terletak kira-kira 20 meter dari situ, untuk menjelaskan bayaran bulanan.

Abu Semah ketika ditemui berkata dia tidak membawa Nor Abdullah Afiq bersama kerana cucunya itu sedang tidur.

“Saya meninggalkannya dalam kereta dengan keadaan enjin dimatikan tetapi tidak berkunci kerana membuka pendingin hawa dan radio,” katanya.

Bagaimanapun, tidak sampai lima minit berurusan di syarikat itu, dia terkejut apabila mendapati keretanya tidak ada di tempat yang diparkir.

Abu Semah berkata kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada kerani wanita di syarikat insurans tersebut yang kemudian membantu membawanya ke Balai Polis Bandar Hilir untuk membuat laporan.

Ketika dalam perjalanan, mereka terlihat seorang anggota polis trafik dan memberhentikan kenderaan sebelum memaklumkan kejadian itu kepadanya.

Abu Semah berkata dia diarah membuat laporan selepas anggota polis itu mengambil nombor pendaftaran serta jenis kereta miliknya.

“Kira-kira enam minit menunggu di balai polis, saya dimaklumkan bahawa kereta dan cucu saya berjaya ditemui di Jalan Parameswara, tidak sampai dua kilometer dari tempat saya parkir,” katanya.

Sementara itu, Nor Abdullah Afiq berkata dia terkejut apabila kenderaan dinaiki dipandu seorang lelaki tidak dikenali setelah terjaga daripada tidur selepas bola besbol yang berada di bahagian belakang kereta terjatuh atas kepalanya. Katanya, dia hanya mendiamkan diri kerana ketakutan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an hasil tindakan pantas anggota trafik tersebut yang  melakukan hebahan dan rondaan sehingga berjaya mengesan kenderaan terbabit.

“Turut ditemui, beg pinggang suspek yang mengandungi beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan,” katanya.

Salehhudin berkata siasatan polis turut menahan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 25 tahun dan seorang perempuan warga Thailand berusia 20-an di sebuah hotel bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri kenderaan dan Seksyen 363 kanun sama kerana menculik. — Bernama