Ada fakta sejarah tercicir – Berita Harian


Ada fakta sejarah tercicir
Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar

2011/09/12

Subjek diajar tiada latar belakang, perjuangan: Dr M

ALOR SETAR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ada beberapa fakta dalam mata pelajaran Sejarah yang diajar di sekolah tercicir terutama dalam hal perjuangan kemerdekaan negara.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri berkata, hakikatnya sejarah tidak boleh diubah kerana ia adalah peristiwa sudah berlaku, dan perkara itu penting untuk memastikan generasi muda mengetahui apa sebenarnya berlaku di tanah air mereka.

Saya berpendapat bahawa subjek Sejarah yang diajar di sekolah tidak mempunyai latar belakang kemerdekaan serta perjuangan ke arah mencapai kemerdekaan, selain tidak menyebut peranan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

Kebanyakan generasi muda ketika ini tidak memahami sejarah negara mereka selain memandang mudah mengenainya. Ini kerana mereka dilahirkan dalam negara yang sudah mencapai kemerdekaan, katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah Dewan Centennial KSAH-SAHOCA di sini, semalam.

Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah berkenan berangkat mencemar duli ke majlis pecah tanah berkenaan.

Dr Mahathir ketika ditanya mengenai mengapa baru sekarang perkara itu dibangkitkan berkata, ia dibuat selepas melihat ada percubaan pihak tertentu untuk merubah sejarah daripada fakta kepada khayalan.

Kita perlu menyatakan perkara sebenar untuk memastikan sejarah negara tidak dipengaruhi oleh keadaan politik semasa, katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berhubung kemungkinan sukatan pelajaran Sejarah peringkat sekolah akan dikaji semula selepas didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan terdapat percanggahan fakta mengenainya.

Perkara itu dibuat selepas meneliti kajian ahli falsafah dan teologi negara, Prof Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam buku terbarunya Historical fact and fiction.