Adam jalani fisioterapi – Sinar Harian


Adam jalani fisioterapi
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Jun 2012

Adam jalani rawatan susulan fi sioterapi di Hospital Johns Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat.
SHAH ALAM – Adam Akbar Ali, 10, kini menjalani rawatan susulan fisioterapi di Hospital Johns Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat, kelmarin.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin berkata, kanak-kanak itu semakin pulih dan mampu berjalan beberapa langkah keluar dari biliknya dengan bantuan doktor.

“Bagaimanapun, kaki dan tangannya masih lemah akibat kesan pembedahan tumor saraf tunjang.

“Alhamdulillah, senyuman Adam menggembirakan kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, keputusan pemeriksaan imbasan magnetik resonan (MRI) yang diperoleh semalam menunjukkan lebih 90 peratus daripada tumor berjaya dikeluarkan.

“Setakat ini hanya 10 peratus tumor yang masih belum dikeluarkan di mana risikonya rendah dan tiada sebarang kesan negatif untuk jangka masa panjang,” katanya, semalam.

Akbar berkata, pakar fisioterapi memberitahu Adam akan kembali pulih selepas beberapa hari menjalani sesi fisioterapi berkenaan.

“Adam, akan menjalani rawatan susulan di klinik Dr Jallo, Hospital Johns Hopkins sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia,” katanya.

Adam yang menghidap penyakit saraf tunjang memerlukan RM175,000 untuk kos pembedahan. Banyak pihak, termasuk NGO turut menyumbang. Kerajaan Terengganu menyumbang RM100,000.