Adam selamat tiba di AS – Sinar Harian


Adam selamat tiba di AS
NORSHAHZURA MAT ZUKI
18 Jun 2012

Adam(tiga dari kanan) ketika mengadakan laeatan ke Pejabat Perdana Menteri, 7 Jun lalu
BALTIMORE, AMERIKA SYARIKAT – “Alhamdulillah…” Itulah kalimah pertama diucap Akbar Ali Mohamed Noordin, 43, sebaik beliau sekeluarga selamat tiba di Amerika Syarikat bagi menjayakan pembedahan anak sulungnya, Adam, 10, yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang.

Akbar berusaha merealisasikan hasrat memberikan rawatan yang terbaik kepada Adam dengan berbekalkan doa dan pelbagai bentuk bantuan daripada banyak pihak.

Setibanya di Amerika Syarikat, Akbar merasakan hasrat sudah begitu hampir tercapai dan mereka sekeluarga bersyukur kepada Ilahi walaupun berada jauh di beribu batu dari tanah air, perasaan kasih sayang terpancar dalam kalangan rakyat Malaysia yang berada di sana.

Akbar bersama isterinya, Siti Rogayah Syed Ismail dan Adam diberikan layanan terbaik daripada keluarga kakitangan Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat.

Menurutnya, kepenatan menempuhi perjalanan selama 36 jam dalam kapal terbang hilang sekelip mata apabila menerima layanan mesra daripada mereka.

“Hanya ALLAH yang dapat membalas jasa mereka. Mereka juga memberikan peluang kepada kami untuk berehat setelah menempuhi perjalanan yang jauh kerana terpaksa transit di Narita, Los Angeles dan Charlotte,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Akbar berkata, pihaknya menghargai segala bantuan yang diberikan kepada mereka walaupun pertama kali bertemu dan menganggap mereka seperti saudara sendiri kerana keikhlasan mereka menghulurkan bantuan.
“Kami juga menghargai keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pegawai Pejabat Perdana Menteri yang juga banyak membantu kami,” katanya.

Akbar berkata, mereka sekeluarga merasa bertuah kerana segala urusan Adam yang akan menjalani pembedahan di Hospital Johns Hopkins di Baltimore pada 21 Jun ini dipermudahkan.

“Terima kasih juga kepada Sinar Harian yang memungkinkan segalanya berlaku dengan izin ALLAH,” katanya. Adam berlepas ke Amerika Syarikat jam 11 pagi waktu Malaysia pada 15 Jun lalu untuk menjalani pembedahan yang akan dilakukan oleh Pakar Neuro, Dr George Jallo.

Kos pembedahan Adam adalah RM175,000 yang dikumpulkan dengan bantuan orang ramai dan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Terengganu dan beberapa pertubuhan bukan Kerajaan (NGO).