Adam sukar bernafas
24 Mei 2012

‘Adam derita, saya sengsara’
SHAH ALAM – Tangisan Adam Akbar Ali, 10 sering meresahkan hati ayahnya, Akbar Ali Mohamed Noordin kerana ia petanda Adam tidak dapat menahan kesakitan akibat penyakit tumor saraf tunjang yang semakin kritikal.
Akbar Ali berkata, sejak kebelakangan ini, Adam bukan sahaja diserang sakit kaki dan perut malah beliau sukar untuk bernafas dan mengalami sakit dada.
“Saya lihat keadaan itu kerap menyerangnya semula dan mengingatkan saya pada 2010, saya mengambil keputusan membawanya ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura untuk jalani pembedahan. Kini keadaan Adam yang sakit untuk bernafas menyerangnya semula disebabkan penyakit tumor di saraf tunjang yang membengkak.
“Bila saraf tunjangnya rosak akibat tumor itu, ia boleh menyebabkan kerosakan pada saraf- saraf utama yang bersambung daripada bahagian bawah kepalanya sampai ke kakinya. Ia akan mengakibatkan kelumpuhan dan risiko kematian,”katanya.
Menurutnya, beliau dan isteri, Siti Rogayah Sheik Ismail kini hanya mampu berdoa supaya Adam dapat bertahan dan sering memberikan motivasi kepada anak sulung mereka supaya bersabar dan bertawakal kepada ALLAH.
“Adam akan menangis dan bertanyakan kepada kami bila pembedahan akan dilakukan kerana beliau tidak mahu tumor berada dalam badannya lagi. Saya hanya menasihatkannya bersabar kerana ramai cuba membantuny,” katanya.
Beliau berkata, Adam mempunyai minat membaca yang mendalam akan menghabiskan masanya dengan membaca buku mengenai sains dan penyakitnya. “Kadang- kadang Adam tidak dapat melelapkan matanya pada waktu malam dan berbicara dengan saya serta menceritakan apa yang dibacanya,” katanya. Katanya, kutipan untuk membiayai kos pembedahan Adam kini adalah RM35,900. “Alhamdulilah, saya bersyukur kepada ALLAH. Saya berterima kasih kepada mereka yang menderma, memberikan sokongan moral serta nasihat kepada kami menghadapi ujian ini. Hanya ALLAH dapat membalasnya.
“Saya terharu kerana sumbangan diberikan kebanyakannya daripada rakyat Malaysia berbilang kaum. Beliau berkata, pihak Qatar Airways juga telah membuat kutipan untuk didermakan kepada Adam.
“Mereka mengetahui kisah Adam yang memerlukan RM300,000 untuk melakukan pembedahan di Amerika Syarikat melalui portal Sinar Harian Online,” katanya. Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan bolehlah disalurkan ke akaun Maybank 512101054830 dan Bank Islam 12038025182964.