PIBG SK LKTP mohon baiki segera – Sinar Harian


PIBG SK LKTP mohon baiki segera

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 September 2012
PIBG SK LKTP mohon baiki segera
Kesan retak yang jelas dapat dilihat dari dalam surau.

FELDA BELARA – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Belara, meminta agar proses membaik pulih surau yang retak akibat mendapan tanah sejak lebih dua tahun lalu segera dibaiki.

Kemudahan surau yang selamat penting untuk  memberi lebih keselesaan kepada murid bagi melakukan aktiviti keagamaan.

Pada 2010, surau yang mampu memuatkan seramai 200 jemaah dalam satu-satu masa itu diarah tutup oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana tidak lagi selamat untuk digunakan.

Lebih membimbangkan, kesan retak di luar dan dalam bangunan dapat dilihat dengan jelas akibat mendapan tanah yang berlaku di kawasan itu.

Menurut Yang Dipertua PIBG SK LKTP Belara, Wan Zaidi Wan Muda, pada awalnya hanya bangunan kayu yang akan dibina di kawasan cerun bukit tersebut untuk dijadikan pusat kegiatan guru tetapi telah diubah kepada bangunan konkrit setelah mendapat peruntukan tambahan.

“Setelah memperoleh bantuan daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM200,000, kita menukar perancangan untuk membina bangunan konkrit dan menjadikannya surau untuk kegunaan murid di sekolah ini.

“Bagaimanapun, kontraktor terlibat pada ketika itu tidak mengubah pelan asal yang dibuat untuk membina bangunan kayu yang mana pelan tersebut tidak sesuai untuk membuat bangunan konkrit di kawasan cerun bukit ini,” katanya ketika ditemui di lokasi surau itu.

Kata Wan Zaidi, sejak surau itu ditutup pihak sekolah terpaksa menggunakan bilik serba guna sebagai surau untuk solat atau mengadakan majlis keagamaan dan ia sudah pasti menimbulkan rasa tidak selesa.

“Permohonan untuk mendapatkan peruntukan membina surau telah pun kita buat dan diharap ia akan dipercepatkan memandangkan surau berkenaan tidak dapat digunakan lagi akibat hakisan dan kedudukannya begitu hampir dengan cerun bukit.

“Disebabkan ketiadaan tempat solat yang khusus juga mengundang pelbagai ketidakselesaan kepada murid dan guru untuk menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan,” katanya.

Katanya, jika ada sebarang majlis yang ingin dilaksanakan pihak sekolah terpaksa menggunakan kelas sebagai dewan.

Sehubungan itu, beliau amat berharap agar masalah itu mendapat perhatian segera oleh pihak berkenaan untuk memastikan anak-anak dapat belajar dengan lebih selesa.

Sekolah yang terletak di kawasan tanah rancangan itu mempunyai sebanyak enam kelas yang menampung seramai 167 murid tahun satu hingga tahun enam serta dibantu oleh 17 guru dan dua kakitangan pentadbiran.

Maidam tawar pelajar cemerlang SPM belajar perubatan di Jordan – Bernama


Maidam tawar pelajar cemerlang SPM belajar perubatan di Jordan

31 Mac 2012

BESUT – Fatin Hamimi Abdullah, 17, pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 Terengganu yang memperoleh 11A+ ditawar mengikuti pengajian Ijazah Kedoktoran di bawah Program Sakit Puan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Jika menerima tawaran itu, Fatin Hamimi dari SMKA Nurul Ittifaq, Kuala Besut, akan memulakan pengajian di Universiti Sains Teknologi Jordan pada September ini.

Surat tawaran itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman kepada Fatin Hamimi di rumahnya di Kampung Gong Manak, Kuala Besut di sini hari ini.

Anak kedua daripada enam beradik pasangan guru itu memperolehi A+ dalam Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Al-Sunnah dan Al-Quran, Pendidikan Syariah Islamiah dan Bahasa Arab Tinggi.

Pelajar itu akan diminta mengikuti kursus permulaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Kuala Terengganu selama sebulan dari 4 Jun hingga 5 Julai sebelum berlepas ke Jordan pada September.

Wan Harujan berkata pihaknya memilih pelajar itu setelah mendapatinya seorang yang konsisten dengan pencapaian cemerlang semasa ujian akhir di sekolah sehinggalah keputusan SPM sebenar.

Katanya, Fatin Hamimi antara tiga pelajar dari negeri ini yang ditawarkan  mengikuti kursus tersebut sebagai usaha kerajaan negeri untuk melahirkan anak tempatan yang pakar dalam bidang sakit puan.

Menurutnya, ini kali kedua Maidam menawarkan peluang itu dengan kumpulan pertama tiga pelajar cemerlang SPM telah menerima tawaran sama tahun lalu.

Sementara itu, Fatin Hamimi yang terkejut dengan tawaran itu berkata dia bersyukur kerana terpilih untuk mengikuti kursus perubatan di Jordan sebagaimana yang dicita-citakannya selama ini.

Dia berjanji akan melakukan yang terbaik dan berharap merealisasikan hasratnya menjadi pakar sakit puan yang dapat memberi khidmat kepada golongan memerlukan. – Bernama