Lepasan SPM maut, adik parah motosikal dirempuh lori – Bernama


Lepasan SPM maut, adik parah motosikal dirempuh lori

4 April 2013

ALOR SETAR – Seorang remaja perempuan maut manakala adik lelakinya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah lori mengangkut tanah di Kampung Syed Ahmad, Pendang, hari ini.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, Nor Hasnita Abu Hassan, 18, dari Risda Bukit Perak, Pendang, maut di tempat kejadian, manakala adiknya Mohd Afiq Izani, 13, cedera di kepala dan patah paha kanan.

Menurut ibu mereka, Rosni Zainul, 52, kejadian berlaku ketika Nor Hasnita dalam perjalanan menghantar adiknya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Triang yang terletak tiga kilometer dari rumah mereka.

“Dia (Nor Hasnita) selepas habis SPM setiap hari keluar dari rumah pukul 6.40 pagi hantar adik ke sekolah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Nor Hasnita, anak kedua daripada tiga beradik itu dipercayai memasuki laluan bertentangan ketika mengelak sebatang pokok yang tumbang sebelum dirempuh lori terbabit.

Menurut Rosni, anaknya itu baharu sahaja menerima tawaran menyambung pengajian daripada sebuah universiti dan dijadual mendaftar pada Jun ini.

“Dia bercita-cita nak masuk universiti seperti kakaknya Nor Haniza, 22, dan mahu belajar dalam bidang Pelancongan dan mahu ke luar negara. Itu yang dia selalu idamkan sebelum ini,” katanya.

Mayat mangsa akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Syed Ahmad petang ini. – Bernama