Pelajar panik diserbu – Metro


Pelajar panik diserbu

Oleh Amir Abd Hamid dan Mohamad Naufal Mohamad Idris
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLANG: Keseronokan enam pelajar sekolah berusia antara 12 dan 16 tahun berhibur di sebuah pusat ‘karaoke jamban’, di sini, bertukar panik apabila premis berkenaan diserbu Jabatan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, petang semalam.

Ketika ditanya mengenai kehadiran mereka di situ, ada di antara pelajar terbabit memberikan alasan untuk menenangkan fikiran selepas waktu persekolahan tetapi mereka mengaku tidak memberitahu ibu bapa sebab takut dimarahi.
Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Izwan Abd Karim berkata, operasi di tiga pusat karaoke bermula pada jam 4.30 petang hingga 6.30 petang itu dilakukan selepas mendapat aduan awam berhubung ada pengunjung premis berkenaan yang mabuk sehingga mengganggu ketenteraman.

 

“Pusat karaoke itu turut menyediakan arak kepada pengunjung. Terdapat aduan mendakwa pengunjung mengganggu orang awam selepas berkaraoke dan mabuk.
“Dalam serbuan tadi (semalam) seramai 60 pengunjung diperiksa berusia antara 19 hingga 36 tahun.
“Ada juga antara warga asing itu gagal menunjukkan dokumen sah dan semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk proses dokumentasi dan ujian urin,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

 

 

Apa yang dikesalkan, katanya, pembabitan kanak-kanak seawal usia 12 tahun hingga 16 tahun yang mengunjungi pusat berkenaan.
Beliau berkata, pelajar terbabit juga perlu menjalani ujian air kencing dan diberi khidmat kaunseling.

 

Sehubungan itu polis menasihatkan ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak bagi mencegah mereka terjebak dalam kegiatan tidak bermoral.
Izwan berkata, ibu bapa perlu berhati-hati kerana ada pusat hiburan menghidangkan minuman keras kepada pengunjung dan dibimbangi kanak-kanak serta remaja terpengaruh dengannya.
“Selain itu, aktiviti tidak bermoral seperti berpeleseran tanpa arah, melepak, samseng dan ponteng sekolah berpunca daripada pusat hiburan seperti ini,” katanya.
Sementara itu, pemeriksaan terhadap premis mendapati satu daripada tiga premis yang diserbu itu menjalankan operasi tanpa lesen dan akan dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut.