Perwakilan Wanita Perlis Cadang Pelan Transformasi Profesion Guru – mStar


Perwakilan Wanita Perlis Cadang Pelan Transformasi Profesion Guru

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Perwakilan Wanita Perlis mencadangkan agar pelan transformasi profesion perguruan diwujudkan dalam usaha melahirkan warga pendidik berprestasi tinggi.

Marzita Mansor mencadangkan agar taska diwujudkan di semua sekolah kerana ia dilihat mampu memperkasakan profesion perguruan di negara ini.

“Kita juga mahu sekolah kebangsan diperkasakan dengan kemudahan dan pembelajaran terkini dan prasara moden serta tenaga pengajar yang berkualiti supaya enrolmen murid bangsa India dan Cina lebih meningkat bagi mencapai taraf perpaduan yang lebih tinggi melalui kepelbagaian etnik, agama budaya dan latar belakang sosioekonomi,” katanya ketika membahaskan usul pendidikan, ekonomi dan sosial pada Perhimpunan Wanita Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Wanita Umno Perlis turut mencadangkan agar pimpinan parti menghimpunkan guru-guru pondok dan ulama seluruh Malaysia bagi menjelaskan kepada masyarakat tentang akidah sekaligus menolak kekeliruan liberalisme dan pluralisme.

Jelasnya, perkara itu perlu dilaksanakan segera kerana penularan fahaman Syiah, pluralisme agama, falsafah liberalism dan falsafah kebebasan mutlak serta rasionalisme pada akhir-akhir ini telah menggoncang perpaduan ummah kerana bercanggah dengan akidah fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Individu Islam wajib memahami bahawa fahaman dan falsafah ini semakin berkembang ia bukan sahaja intipati agenda Barat dalam siri penjajahan bentuk baharu bahkan ia merupakan strategi untuk menghancurkan Islam.

“Mereka menggunakan rasionalisme ilmiah berdasarkan kaedah serangan pemikiran. Malahan turut membenarkan perkahwinan berlainan agama, kebebasan beragama, memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT),” katanya.

Tegasnya, sekiranya fahaman tersebut dibiarkan berleluasa ia bakal memberikan implikasi buruk kerana demi kepentingan politik ada golongan yang sanggup menghakis kemurnian akidah generasi muda Islam kini.

“Golongan berfahaman sedemikian melabelkan agama sebagai tidak progresif dan kolot kerana tidak memperakui serta menerima cara hidup yang mereka amalkan.

“Seterusnya menjadi asas kepada penerimaan dan amalan gaya hidup bebas bersandarkan nafsu tanpa dipandu oleh kesedaran terhadap tuntutan agama yang sebenar,” katanya.

Beliau menjelaskan ulama kelahiran Mesir, Yusof al-Qardhawi di dalam fatwanya menyatakan bahawa amalan seks songsang wajib ditentang oleh semua umat Islam termasuk menggunakan kekuatan kerana perbuatan tersebut amat bertentangan dengan hukum Islam serta fitrah manusia.

“Malah beliau turut melarang umat Islam makan atau minum bersama pejuang, penyokong serta pengamal LGBT apatah lagi berada di bawah kepimpinan golongan terbabit kerana keadaan mereka yang sentiasa bergelumang dengan perbuatan yang dilaknat oleh Allah SWT.

“Kerajaan perlu bertegas dengan penyelewengan akidah bentuk ini kerana penularannya dipelopori oleh golongan berimej Islam moden, berpendidikan serta dalam bentuk yang tidak nampak,” katanya.

Justeru, Marzita mencadangkan agar subjek agama Islam dikemaskini agar ia bukan sahaja dijadikan mata pelajaran lulus dalam peperiksaan semata-mata sebaliknya bagi mewujudkan penghayatan yang lebih mendalam dikalangan diri pelajar.

Subjek Sejarah patut dikemas kini – Bernama


Subjek Sejarah patut dikemas kini
2012/06/07

GEORGETOWN: Kementerian Pelajaran disaran mengemas kini sukatan mata pelajaran Sejarah terutama bagi pelajar Tingkatan Enam supaya selaras penemuan teori terkini dan penambahan maklumat oleh sejarawan negara.

Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Abu Talib Ahmad, berkata beberapa tahun kebelakangan ini banyak aspek yang tercicir dalam subjek Sejarah dibangkitkan ahli sejarah melalui penyelidikan mereka.
“Sebagai contoh sudah sekian lama kita percaya bangsa Melayu berasal dari Yunan tetapi hasil kajian terkini mendapati bangsa itu datang dari Taiwan berkembang di Borneo seterusnya Palembang sehinggalah beranak-pinak di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Seminar Antarabangsa Perantauan Sumatera-Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CEnPRIS) di kampus USM di sini, semalam.

Abu Talib berkata, penekanan fakta sejarah juga perlu melihat daripada semua aspek termasuk sosial, agama, budaya, makanan dan sebagainya, bagi membantu pelajar memahami ilmu sejarah dengan lebih terperinci dalam konteks yang lebih luas.

Sementara itu, Sasterawan Negara, Prof Emeritus Muhammad Salleh berkata, tema dalam sukatan mata pelajaran juga perlu diperluas bagi menarik perhatian generasi muda kerana subjek Sejarah itu adalah kunci bagi memupuk semangat nasionalisme kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Kurikulum di sekolah menggalakkan penghafalan menyebabkan kebanyakan pelajar menjauhi mata pelajaran itu kerana ia membosankan. Sebenarnya Sejarah itu lebih menarik jika watak dan kerangka waktu dalam subjek dilakonkan semula,” katanya.
Seminar tiga hari bermula semalam menghimpunkan 26 pembentang dari institusi pengajian tinggi tempatan dan Indonesia bagi mengupas 23 kertas kerja mengenai perkembangan susur galur bangsa Melayu dan menggalakkan kerjasama intelektual bangsa serumpun di rantau ini. – BERNAMA

Sistem sekolah vernakular bukan bererti tak cinta negara – Utusan


Sistem sekolah vernakular bukan bererti tak cinta negara

18/02/2012 7:35pm

 

 

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN & OOI CHOON

 

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Pengekalan sistem persekolahan vernakular bukan bererti pelajar sekolah aliran itu tidak mempunyai perasaan cinta kepada negara kerana mereka turut menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, orang ramai tidak harus menganggap kewujudan sekolah vernakular sebagai tidak cinta kepada negara sebaliknya perlu menghormati agama, budaya dan bahasa kaum lain.

“Walaupun sekolah vernakular, mereka perlu mengikut silibus kementerian dan tiada bezanya sekolah aliran itu dengan sekolah lain. Pelajar sekolah juga tidak terhad kepada satu kaum sahaja.

“Penglibatan pelajar kaum lain dalam sekolah vernakular dapat meningkatkan tahap keharmonian negara apabila mereka saling memahami budaya dan bahasa masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai panel sesi kedua yang bertajuk ‘Perjuangan Sekolah Vernakular: Apakah Implikasi kepada Masyarakat Cina’ pada Persidangan Masyarakat Cina di Persimpangan Politik di Berjaya Times Square di sini hari ini.

Sesi tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Institut Penyelidikan Dasar dan Analisis Strategik (Insap), Tan Sri Dr. Fong Chan Onn dan tiga ahli panel lain iaitu Dekan Institut Pengajian Cina Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Prof. Dr. Ho Khai Leong; Ketua Biro Pendidikan Pemuda MCA, Chong Sin Woon dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Tambah Ka Siong, menerusi sekolah vernakular, pelajar juga dapat mempelajari dan menguasai pelbagai bahasa tempatan serta dapat menyumbang kepada perpaduan negara apabila semua pihak dapat hidup dalam keadaan harmoni.

Sementara itu, Sin Woon pula memberitahu, sejak 2008 kerajaan telah meluluskan pembinaan 22 buah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) dan kira-kira 15 buah sekolah telah pun siap sepenuhnya.

“Peruntukan kerajaan juga mengalami peningkatan setiap tahun iaitu RM50 juta (2008), RM95 juta (2009) dan RM100 juta pada tahun ini.

“Masalah yang dihadapi oleh SRJK seperti kekurangan guru, sekolah dan peruntukan sentiasa mendapat perhatian kerajaan dan MCA akan terus memastikan kelangsungan sekolah berkenaan terjamin pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN