PIBG SK LKTP mohon baiki segera – Sinar Harian


PIBG SK LKTP mohon baiki segera

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 September 2012
PIBG SK LKTP mohon baiki segera
Kesan retak yang jelas dapat dilihat dari dalam surau.

FELDA BELARA – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Belara, meminta agar proses membaik pulih surau yang retak akibat mendapan tanah sejak lebih dua tahun lalu segera dibaiki.

Kemudahan surau yang selamat penting untuk  memberi lebih keselesaan kepada murid bagi melakukan aktiviti keagamaan.

Pada 2010, surau yang mampu memuatkan seramai 200 jemaah dalam satu-satu masa itu diarah tutup oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana tidak lagi selamat untuk digunakan.

Lebih membimbangkan, kesan retak di luar dan dalam bangunan dapat dilihat dengan jelas akibat mendapan tanah yang berlaku di kawasan itu.

Menurut Yang Dipertua PIBG SK LKTP Belara, Wan Zaidi Wan Muda, pada awalnya hanya bangunan kayu yang akan dibina di kawasan cerun bukit tersebut untuk dijadikan pusat kegiatan guru tetapi telah diubah kepada bangunan konkrit setelah mendapat peruntukan tambahan.

“Setelah memperoleh bantuan daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM200,000, kita menukar perancangan untuk membina bangunan konkrit dan menjadikannya surau untuk kegunaan murid di sekolah ini.

“Bagaimanapun, kontraktor terlibat pada ketika itu tidak mengubah pelan asal yang dibuat untuk membina bangunan kayu yang mana pelan tersebut tidak sesuai untuk membuat bangunan konkrit di kawasan cerun bukit ini,” katanya ketika ditemui di lokasi surau itu.

Kata Wan Zaidi, sejak surau itu ditutup pihak sekolah terpaksa menggunakan bilik serba guna sebagai surau untuk solat atau mengadakan majlis keagamaan dan ia sudah pasti menimbulkan rasa tidak selesa.

“Permohonan untuk mendapatkan peruntukan membina surau telah pun kita buat dan diharap ia akan dipercepatkan memandangkan surau berkenaan tidak dapat digunakan lagi akibat hakisan dan kedudukannya begitu hampir dengan cerun bukit.

“Disebabkan ketiadaan tempat solat yang khusus juga mengundang pelbagai ketidakselesaan kepada murid dan guru untuk menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan,” katanya.

Katanya, jika ada sebarang majlis yang ingin dilaksanakan pihak sekolah terpaksa menggunakan kelas sebagai dewan.

Sehubungan itu, beliau amat berharap agar masalah itu mendapat perhatian segera oleh pihak berkenaan untuk memastikan anak-anak dapat belajar dengan lebih selesa.

Sekolah yang terletak di kawasan tanah rancangan itu mempunyai sebanyak enam kelas yang menampung seramai 167 murid tahun satu hingga tahun enam serta dibantu oleh 17 guru dan dua kakitangan pentadbiran.

JAKIM kaji kaedah pemberian dana kepada guru KAFA, imam – Bernama


JAKIM kaji kaedah pemberian dana kepada guru KAFA, imam 

2012/02/06

KOTA BHARU: Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) sedang mengkaji kaedah pemberian dana latihan kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta imam di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata langkah itu bagi memastikan dana terbabit dapat memenuhi matlamat membantu golongan sasar.

Tanpa menyebut kos pembiayaan kerajaan, beliau berkata, bantuan itu membabitkan 34,000 guru KAFA dan 14,000 imam di seluruh negara.

“Kita sedang mengkaji kaedah pemberian bantuan kerajaan menerusi dana itu, sama ada akan disalurkan terus kepada kerajaan negeri atau diagihkan secara berpusat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Maulidur Rasul di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, di sini malam tadi. – BERNAMA

Kem Anak Soleh ajar cara solat, baca al-Quran – Sinar Harian


Kem Anak Soleh ajar cara solat, baca al-Quran

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 16, 2012
kem-anak-soleh

TOK BALI – Kem Anak Soleh yang diadakan di enam masjid di Dewan Undangan Negeri (Dun) Semerak memberi pendedahan agama Islam kepada kanak-kanak di sini.

Pengarah program, Mahmud Jaafar berkata, walaupun pendidikan Islam sudah diajar di sekolah masing-masing tetapi penekanan perlu untuk memantapkan lagi ilmu agama dalam kalangan­ anak-anak.

“Pada peringkat ini anak-anak dalam proses mempelajari cara solat, membaca al-Quran dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Masjid Tok Bali di sini.

Kem solat yang diadakan pada musim cuti sekolah tersebut dikendalikan pihak Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Kelantan.

Mahmud berkata, sepanjang kem tersebut peserta didedahkan dengan cara mengambil air sembahyang dengan betul dari segi bacaan dan cara melakukannya.

Beliau berkata, dari segi bacaan dan cara mengerjakan solat juga turut diberikan penekanan serta tidak lupa mengajar mereka menghafal doa harian.

“Melihat kepada sambutan­ yang diterima kami harap program seumpama ini akan diadakan lagi pada masa akan datang kerana ia dilihat lebih mudah difahami dan dituruti oleh peserta.

“Tidak lupa tanpa kerjasama ibu bapa yang sanggup melepaskan anak-anak masing-masing untuk menyertai kem ini kami pasti ia tidak akan berjaya,” katanya.