57 remaja dicekup dalam Ops Sayang – Sinar Harian


57 remaja dicekup dalam Ops Sayang

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 April 2012
57 remaja dicekup dalam Ops Sayang
Pelajar ditempatkan sementara di Dewan Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Muda.

SUNGAI PETANI – Seramai 57 pelajar dicekup ponteng sekolah dalam Ops Sayang melalui Kempen Jom Pi Sekolah dan Sekolah Penyayang anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Muda Yan dengan kerjasama 10 agensi lain Khamis lalu.

Penolong Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Hal Ehwal Murid, Salmah Hamdan berkata, 150 anggota daripada pelbagai agensi terlibat sama-sama turun padang dalam membanteras gejala ponteng sekolah yang dilaporkan sekitar bandar ini.

Menurutnya, kawasan panas yang sering menjadi lokasi pelajar ialah di kafe siber selain bangunan kosong, taman rekreasi, tangki air dan pusat membeli-belah turut menjadi tumpuan operasi.

“Operasi yang dimulakan jam 9 pagi sehingga jam 2 petang berjaya mengesan 57 remaja bawah umur yang sepatutnya berada di sekolah” katanya.
Salmah berkata, sesi kaunseling, motivasi dan ikrar aku janji diadakan di mana ibu bapa dipanggil pada hari sama selain meminta pelajar menandatangani surat aku janji di hadapan waris masing-masing.

“Kita akan menghantar senarai nama ke pihak sekolah.

“Kami juga akan memantau perkembangan pelajar selepas ini selain menganjurkan program dari semasa ke semasa bagi membentuk sahsiah pelajar,” katanya.

Setiap pelajar akan melalui saringan ujian air kencing yang dikendalikan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan tindakan selanjutnya akan diambil pihak berkaitan sekiranya keputusan positif.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Ops Sayang termasuk sokongan padu Pegawai Pelajaran Daerah.

“Kita juga mengharapkan keberkesanan selepas operasi di mana ada penurunan kadar ponteng sekolah dicatatkan,” katanya.

Operasi yang dijalankan di kawasan panas sekitar daerah Kuala Muda itu turut melibatkan PPD, pihak sekolah, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah dan AADK.

Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Kesihatan, Pejabat Agama, Rela, Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Penjara Sungai Petani turut terlibat.

Rogol bergilir-gilir, empat remaja direman – Sinar Harian


Rogol bergilir-gilir, empat remaja direman

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 April 2012
Suspek direman 7 hari untuk siasatan.

BALING – Ketika golongan seusia mereka sibuk mengejar cita-cita untuk masa depan, lain pula berlaku terhadap empat remaja berusia antara 13 sehingga 18 tahun, di sini yang direman tujuh hari setelah dipercayai merogol seorang gadis 15 tahun di Pasar Awam Kuala Ketil kira-kira 2.30 pagi, pada 11 April lalu.

Difahamkan mangsa dirogol lebih daripada lima orang secara bergilir-gilir mengakibatkannya terpaksa dihantar ke Hospital untuk rawatan lanjut.

Terdapat dua suspek yang masih bebas dan salah seorangnya daripadanya dipercayai tinggal di Sungai Petani.

Menurut sumber, gadis berusia 15 tahun itu dibawa oleh salah seorang rakan mereka dari Sungai Petani sebelum dia dirogol beramai-ramai.

Seorang daripada suspek telah dibuang sekolah dan terlibat dalam pengawasan Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Pelajar ponteng kena baca al-Quran – Berita Harian


Pelajar ponteng kena baca al-Quran

2012/02/07

KOTA BHARU: Seramai 29 pelajar lelaki dari beberapa sekolah menengah di jajahan ini yang ditahan kerana ponteng, semalam diarah mengikuti kaunseling dan membaca al-Quran.

Semua pelajar terbabit ketika ditahan masih beruniform dan mereka dipercayai keluar tanpa pengetahuan sekolah, serta ada sudah membawa pakaian lain untuk menukarnya.

Kebanyakan yang ditahan dipercayai keluar untuk membeli dan menghisap rokok di tempat tersembunyi yang sering kali dijadikan `port’ ponteng bersama rakan lain.

Pengarah Pelajaran (JPN) Kelantan, Hussin Awang, berkata semua pelajar yang ditahan itu dibawa ke Masjid Mukim Telipot di sini, untuk diberi kaunseling dan diarah membaca al-Quran di bawah bimbingan imam masjid itu, Ahmad Yunus.

Pelajar terbabit yang berumur antara 15 dan 18 tahun itu ditahan di pusat beli-belah, taman perumahan dan surau.

“Kesemua pelajar menjalani ujian air kencing yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mengesan sama ada mereka mengambil dadah.

“Ibu bapa pelajar juga dipanggil untuk datang bagi melihat sendiri keadaan anak mereka supaya tahu apa yang dilakukan pelajar terbabit,” katanya ketika ditemui, semalam.
Hussin berkata pelajar terbabit kemudiannya dibebaskan selepas diambil kenyataan dan latar belakang mereka oleh guru disiplin atau kaunselor untuk tindakan lanjut.

Operasi bersepadu yang dipanggil ‘Ops Ponteng” itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), AADK serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).