Ahli keluarga penyerang tadika hadir minta maaf
![]() |
LOI Hui Yen (kanan) kakak kepada lelaki yang menjadikan sekumpulan kanak-kanak dan guru sebagai tebusan bersalaman dengan kakitangan dan tenaga pengajar Pusat Jagaan dan Didikan (Tadika) Serikids di Muar, Johor, semalam.
|
MUAR 12 Julai – Ahli keluarga kepada lelaki yang menjadikan warga Pusat Jagaan dan Didikan (Tadika) Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang, sebagai tebusan Khamis lalu, hari ini mengambil peluang bertemu semua tenaga pengajar pusat itu untuk meminta maaf.
Pertemuan selama 45 minit bermula pukul 10 pagi itu berlangsung dalam suasana hiba dengan dihadiri lima ahli keluarga lelaki terbabit.
Kesemuanya disambut oleh tenaga pengajar di tadika itu termasuk empat guru yang menjadi tebusan dalam kejadian tersebut serta ibu bapa.
Menurut kakak lelaki itu, Loi Hui Yen, 43, dia dan ahli keluarganya meminta maaf kepada seluruh warga kerja Tadika Serikids tersebut serta ibu bapa kepada kanak-kanak terlibat di atas kejadian yang berlaku.
“Kami datang hari ini untuk meminta maaf, perkara ini sudah terjadi dan walaupun kami tidak menyangka ia terjadi, kami semua terpaksa menghadapinya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, nyawa 30 kanak-kanak dan empat orang guru menjadi taruhan apabila dijadikan tebusan seorang lelaki bersenjatakan tukul besi dan parang yang menceroboh masuk tadika tersebut.
Drama itu bagaimanapun berakhir dengan tiada mangsa tebusan yang mengalami kecederaan manakala lelaki berkenaan ditembak mati oleh pihak polis yang melakukan serbuan.