Ponteng sekolah jaga ayah
WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Julai 2012
Ahmad Hamzah menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada Gunari
MERLIMAU – Dengan pendapatan sekadar RM500 sebulan, sudah pastinya sukar untuk membesarkan lima anak.
Namun, bagi Ros Tumpang, 47, dia tetap tabah biarpun suaminya, Gunari Aril, 48, diserang angin ahmar sejak April lalu.
Bukan setakat itu, empat anaknya berusia 8 hingga 16 tahun terpaksa ponteng sekolah secara bergilir-gilir untuk menjaga ayahnya yang masih terlantar sakit.
Ros berkata, dia bernasib baik kerana masih ada ibu dan adik-beradik yang boleh membantu.
“Saya bekerja di ladang estet Merlimau dari 6 pagi saya keluar rumah sehingga 3 petang.
“Memang saya risau dengan keadaan sekarang hendak memikirkan anak-anak yang masih bersekolah dan menyambut ketibaan Aidilfitri,” katanya ketika menerima kunjungan Konvoi Belia
Prihatin Ramadan 2012 anjuran Majlis Gabungan Belia Malaysia (MGMB) yang diketuai Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah.