Desak Koperal Jenain mohon maaf secara terbuka – Sinar Harian


Desak Koperal Jenain mohon maaf secara terbuka

RUWAIDA MD ZAIN
8 Disember 2012
Desak Koperal Jenain mohon maaf secara terbuka
Khalid, Azura, dan Norsiah ketika sidang media di Pejabat Parlimen Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM – Koperal Jenain Subi  didesak memohon maaf secara bersemuka dengan ibu dan keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah, 15 yang mati terkena tembakan anggota polis terbabit dua tahun lalu.

Kakak mangsa, Aisyah berkata, Jenain, 42, perlu menemui ibunya, Norsiah Mohamad, 62, untuk meminta maaf dan menceritakan segala yang berlaku kepada mereka pada malam kejadian.

“Dia (Jenain) perlu datang berjumpa, bersemuka dan meminta maaf dengan kami, terutamanya ibu. Kami hendak dengar dari mulut dia sendiri, apa sebenarnya berlaku pada malam tersebut,” katanya.

Norsiah kesal dengan tindakan Jenain yang hanya memohon maaf kepada keluarganya  di hadapan pemberita, selepas dibebaskan  daripada hukuman penjara dalam kes tersebut Rabu lalu.

Beliau juga terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Jenain atas alasan hanya menjalankan tugas dan membunuh tanpa niat.

Seorang lagi kakak Allahyarham, Azura, berkata, walaupun keluarga mereka menghormati keputusan mahkamah itu mereka berasa mereka tiada berpeluang untuk membela diri seadilnya.

“Saya amat berharap semakan berhubung kes kematian adik kami dibuat semula,” katanya pada sidang media di Pejabat Parlimen Shah Alam di sini semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang hadir di sidang media tersebut, berkata, pihak Peguam Negara mesti menyemak dan melihat semula keputusan mahkamah berkenaan.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menerima rayuan Jenain dan membebaskan dia daripada hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya pada September 2011 berhubung kes menembak mati remaja lelaki itu, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempertimbangkan rayuannya memutuskan demikian selepas mendapati Jenain, 49, tidak mempunyai niat untuk membunuh remaja berkenaan tetapi tujuan utamanya hanya untuk memberhentikan kenderaan dipandunya.

Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Beliau juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.

Jenain yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Dua acara untuk kanak-kanak di Fiesta Bera – Kosmo


Dua acara untuk kanak-kanak di Fiesta Bera

BERA – Dua acara menarik akan diadakan khusus bagi golongan kanak-kanak pada Fiesta Bera di sini pada 4 hingga 6 Oktober depan.

Acara tersebut ialah pertandingan Imam Cilik@Bera dan Futsal Cilik yang dibuka kepada kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Tahzir Hussain, berkata, kedua-dua program itu diilhamkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera.

“Imam Cilik@Bera merupakan pertandingan yang menguji tahap kemampuan bercerita kanak-kanak tentang topik-topik berkaitan keagamaan selain kemampuan mereka melaungkan azan.

“Pertandingan itu terbuka kepada kanak-kanak lelaki berusia di bawah 12 tahun dan saringan akan diadakan pada 5 Oktober,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tahzir berkata, Futsal Cilik pula bakal disertai oleh kanak-kanak yang berusia di bawah tujuh tahun dan saringan bakal diadakan pada 6 Oktober.

“Kedua-dua acara itu memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memeriahkan lagi Fiesta Bera kali ini. Kita juga berhasrat menjadikannya acara tetap pada masa depan,” katanya.

Bagi yang ingin mengetahui mengenai acara tersebut boleh menghubungi talian 012-247 3105 dan 012-284 6811.

Netbook 1Malaysia: Jabatan Pelajaran, sekolah pilih penerima – Sinar Harian


Netbook 1Malaysia: Jabatan Pelajaran, sekolah pilih penerima

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 September 2012

JOHOR BAHRU – Proses pemilihan dan pemberian bagi program Netbook 1Malaysia ditentukan Jabatan Pelajaran dan sekolah yang mengenal pasti keperluan penerima, kata Pemangku Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Wilayah Selatan, Mohamed Faiezal Othman.

Beliau berkata, pengagihan netbook atas Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) itu berbeza mengikut negeri.

Menurutnya, 110,285 diperuntukkan bagi negeri Johor sejak program pemberian itu dilancarkan pada 2010.

“Kita memasuki fasa ketiga pengagihan di mana fasa pertama sebanyak 22,500 dan fasa kedua sebanyak 48,585 telah diberikan kepada penerima layak dengan menyasarkan pelajar sekolah.

“Manakala baki 39,200 bagi fasa ketiga ini sedang berjalan dan dijangkakan akan diberikan menjelang akhir tahun ini dengan baki sehingga hari ini (semalam) 22,700 yang belum diedarkan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Mohamed Faeizal berkata, bagi fasa terakhir pemberian netbook ini dipilih oleh Ahli Parlimen kerana ia diagihkan kepada komuniti dengan sasaran 50 peratus isi rumah tangga Malaysia mempunyai akses jalur lebar.

Katanya, SKMM Wilayah Selatan mengakui menerima aduan berbentuk lisan mengenai kerosakan netbook tersebut, namun tiada aduan secara rasmi dibuat kepada pihaknya.

Jelasnya, sebarang kerosakan dan masalah berkaitan gajet itu perlu dikemuka kepada pembekal dilantik.

“Setiap netbook yang diberikan dibekalkan dengan jaminan setahun dengan nombor talian hotline tertera di bawah netbook terbabit,” katanya.

Bagi negeri Johor, sebanyak 18 pembekal dilantik mengendalikan pemberian Netbook ini sepanjang tiga tahun program ini dijalankan.

Kertas percubaan SPM bocor di FB – Sinar Harian


Kertas percubaan SPM bocor di FB

IZWAN ROZLIN
13 September 2012
Kertas percubaan SPM bocor di FB
Pautan kertas percubaan SPM yang tersebar di sebuah laman sosial Facebook.

KUALA LUMPUR – Soalan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini bagi Kuala Lumpur dan Selangor, yang berjalan dari 29 Ogos lalu hingga 21 September ini, didakwa  sudah tersebar menerusi laman sosial Facebook.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, maklumat tersebut diperolehi daripada seorang guru tuisyen yang memberitahu bahawa pautan kepada soalan itu dimuat turun di Facebook sehari sebelum tarikh peperiksaan bagi setiap subjek.

”Selalunya  mereka akan letak soalan itu  sehari sebelum tarikh peperiksaan bagi setiap subjek, namun  apa yang menimbulkan tanda tanya sekarang mengapa tiada tindakan diambil meskipun ada guru sekolah yang mengetahui tentang perkara ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Sementara itu, semakan Sinar Harian di laman sosial  berkenaan pada awal pagi mendapati terdapat 23,000 orang telah menerima laman tersebut, namun  selepas maklumat mengenainya tersebar di media, laman itu telah  tiada pada jam 3 petang tadi.

Hasil semakan itu mendapati terdapat 10 subjek yang didakwa kertas percubaan SPM sebenar peperiksaan telah dimuat turun  di laman tersebut.

“Saya harap pihak berkuasa termasuk Kementerian Pelajaran dapat menyiasat dan mengenakan tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat kerana kertas percubaan yang dimuat turun adalah 99.9 peratus  tepat seperti soalan sebenar,” katanya.

Bekas Timbalan Menteri Pelajaran Meninggal Dunia – mStar


Bekas Timbalan Menteri Pelajaran Meninggal Dunia

 

Dr Mahadzir Mohd Khir. Foto mykedah2.com

 

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir disahkan meninggal dunia pada petang Rabu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5 petang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat serangan jantung petang pada Selasa.

Beliau dilahirkan di Kedah pada 16 Mei 1945 dan pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani setelah memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 1999.

Allyarham merupakan bekas guru dan pernah menjadi pensyarah di Jabatan Sejarah di Universiti Malaya, presiden Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (KKAUM).

Sewaktu memegang jawatan sebagai timbalan menteri pelajaran, beliau memberi penekanan utama kepada para pelajar sekolah rendah terhadap pendidikan berasaskan teknologi maklumat terutama komputer.

Mempunyai minat membaca, beliau telah memperluaskan kewujudan Pusat Bacaan Rakyat (PUBARA) yang terdapat dibanyak daerah dalam Negeri Kedah.

Allahyarham turut memberi lebih perhatian kepada perpustakaan sekolah rendah untuk memantapkan lagi kemudahan sedia ada.

Jenazah allahyarham akan dibawa ke kediamannya di Seksyen 14, Petaling Jaya dan dijangka akan dikebumikan pada pagi Khamis.

Pendidikan agenda utama – TPM – Utusan


Pendidikan agenda utama – TPM

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

Muhyiddin Yassin melihat barangan jualan ketika melawat ke gerai-gerai selepas pelancaran Jom Beli Barangan Raya di Kompleks Sukan, Pagoh, Johor, semalam. – BERNAMA
PAGOH 4 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru umat Islam meletakkan pendidikan sebagai antara agenda utama dalam kehidupan kerana ia merupakan aspek penting dalam memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan amat mementingkan bidang pendidikan dengan memastikan setiap rakyat mendapat peluang bersekolah dan mempelajari ilmu tanpa mengira kaum atau agama.

“Tiada sebab kita tidak dapat belajar ilmu dunia, ilmu agama dan sebagainya kerana dengan ilmu inilah akan dapat mengurangkan kemiskinan serta meningkatkan taraf hidup kita.

“Kerajaan memang mementingkan pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis tahlil dan berbuka puasa UMNO Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Kampung Baru Batu 28, Lenga, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat dan ADUN Jorak, Datuk Dr. Shaharuddin Md. Salleh.

Terdahulu, beliau melawat dan beramah-mesra dengan orang ramai sebelum merasmikan Program Jom Beli Barang Raya @ Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, dekat sini, yang diadakan selama tiga hari bermula semalam.

Muhyiddin berkata, usaha kerajaan membangunkan rakyat dan negara selepas merdeka kini mencatatkan kadar positif apabila kemiskinan ketika ini hanya dua hingga tiga peratus berbanding 70 peratus sewaktu negara baru merdeka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh menambah, kerajaan tidak mahu melihat rakyat terbiar atau terpinggir kerana asas untuk menjadi negara maju adalah menerusi pendidikan yang seterusnya dapat meningkatkan ekonomi serta menangani cabaran kos sara hidup yang tinggi.

Beliau turut mengingatkan umat Islam mengambil peluang sepanjang Ramadan kali ini untuk memperbaiki diri dan meningkatkan ibadat kerana bulan tersebut penuh dengan rahmat dan keberkatan.

“Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi lebih daripada itu dapat membentuk jati diri selain merasai kesusahan orang lain kerana umat Islam di negara ini tidak merasai kesusahan seperti di negara Islam lain yang dilanda musibah dan kebuluran,” katanya.

Sekolah Di PJ Setuju Pulangkan Telefon Yang Dirampas Kepada Pelajar – mStar


Sekolah Di PJ Setuju Pulangkan Telefon Yang Dirampas Kepada Pelajar
Oleh JEANNETTE GOON

PETALING JAYA: Seorang pembantu kanan di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya bersetuju untuk memulangkan telefon mudah alih yang telah dirampas daripada pelajar Tingkatan Enam semasa pemeriksaan mengejut baru-baru ini.

Seorang ibu, Lee Peng Peng berkata, dia hanya mengetahui tentang telefon milik anaknya telah dirampas apabila diberitahu mengenainya.

“Saya datang untuk mengambil telefon tersebut tetapi diberitahu yang ia hanya akan dipulangkan semula pada akhir semester. Pihak sekolah berkata bahawa semua telefon mudah alih yang dirampas dalam tempoh tiga bulan akan datang akan dipulangkan pada waktu yang sama,” tambahnya.

Lee berkata, tiada pemberitahuan secara bertulis diberikan mengenai rampasan telefon mudah alih dan menyatakan kebimbangan tentang siapakah yang akan bertanggungjawab sekiranya ia hilang.

Pada masa ini, para pelajar tidak dibenarkan membawa telefon mudah alih ke sekolah.

Lee dan dua lagi ibu bapa berjumpa dengan pihak berkuasa sekolah mengenai hal tersebut pada Jumaat di mana pihak berkenaan bersetuju untuk memulangkan telefon mudah alih itu kepada ibu bapa pada Isnin ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mewakili mereka berkata, seorang penjaga telah menghubungi beliau dan mengadu mengenai bagaimana sekolah tersebut tidak mahu memulangkan telefon mudah alih milik pelajar kepada ibu bapa serta-merta, yang mendakwa bahawa mereka perlu menunggu sehingga berakhirnya semester pada 30 Oktober depan.

“Walaupun terdapat peraturan yang mengatakan bahawa para pelajar tidak dibenarkan membawa telefon mudah alih ke sekolah, pihak sekolah seharusnya menggunakan budi bicara mereka,” kata beliau.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong baru-baru ini berkata bahawa para pelajar dibenarkan untuk membawa telefon mudah alih dan gajet ke sekolah bermula tahun depan selepas peraturan dan undang-undang di bawah Akta Pelajaran 1996 dipinda.

Perubahan itu, tambahnya, selaras dengan pelaksanaan program pengajaran dan pembelajaran maya dinamakan sebagai “1Bestari” yang menawarkan WiFI percuma.

10 pelajar Parlimen Lumut terima biasiswa Bakti – Sinar Harian


10 pelajar Parlimen Lumut terima biasiswa Bakti
WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Jun 2012
MANJUNG – Seramai 10 pelajar dari Parlimen Lumut menerima Biasiswa Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti) sebanyak RM600 setiap seorang. Majlis penyampaian cek biasiswa berkenaan telah disempurnakan isteri Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Lumut, Datin Seri Chan Tat Chin.

Tat Chin berkata, biasiswa itu bertujuan untuk membantu meringankan bebanan pelajar dalam menyediakan keperluan mereka. “Kita mahu mereka menggunakan wang biasiswa ini untuk memberi peralatan sekolah termasuk buku-buku dan kelengkapan lain.

“Gunakan sebaik mungkin wang yang diberikan supaya mencapai matlamat yang diinginkan. “Kita mahu melahirkan modal insan yang cemerlang melalui bantuan yang disediakan ini,” katanya. Biasiswa itu ditawarkan kepada pelajar tingkatan empat dan lima yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik sejak 2004 lalu.

Sembilan sekolah agama baru sedang dan akan dibina di Parlimen Pontian – Sinar Harian


Sembilan sekolah agama baru sedang dan akan dibina di Parlimen Pontian

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Mei 2012
Sembilan sekolah agama baru sedang dan akan dibina di Parlimen Pontian
Ahmad menyerahkan pencetak komputer kepada wakil SRAB Benut, Pontian

BENUT – Sebanyak sembilan sekolah agama sedang dan akan dibina di kawasan Parlimen Pontian tahun ini dengan kos dianggarkan kira-kira RM12.6 juta.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, sekolah agama tersebut ialah Sekolah Agama (SA) Seri Pulai, Seri Sekawan Desa, Tanjung Air Hitam, Seri Semangat, Seri Bugis, Jaya Mulia, Seri Anom, dan bangunan tambahan SA Parit Semerah.

Menurutnya, setiap bangunan akan menelan belanja di antara RM1.2 hingga 1.5 juta yang meliputi pembinaan satu atau dua blok bangunan dengan enam bilik darjah, bilik guru, pejabat guru dan kantin.

Beliau berkata, dengan pembinaan sembilan sekolah agama berkenaan akan meleraikan penantian penduduk kampung di kawasan terbabit sejak 10 tahun lalu, bagi memiliki sekolah agama sendiri untuk kemudahan pembelajaran anak mereka.

“Selama ini, mereka menumpang di sekolah kebangsaan yang kadang kala menimbulkan sedikit masalah apabila berkongsi bangunan sama,” katanya pada perasmian pelancaran Dana Pembangunan Insan, Sekolah Rendah Arab Bersepadu (SRAB), Pontian, di sini, semalam.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana telah meluluskan peruntukan bagi membina SA di kawasan Parlimen Pontian.

“Diharap dengan adanya bangunan sendiri ini, ia bakal memberi keselesaan kepada murid-murid yang dianggarkan berjumlah kira-kira 7,000 orang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap Dana Pembangunan Insan SRAB ini bakal meringankan beban kewangan sekolah untuk mengadakan program atau menambah baik kemudahan sekolah.

“Langkah menubuhkan dana pembangunan insan ini memberikan peluang kepada orang ramai untuk memberikan sumbangan kepada pembangunan pendidikan sekolah.

“Ia juga wajar dijadikan contoh kepada sekolah lain kerana banyak faedah yang mampu diperoleh sekolah dan pelajar,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut memberikan sumbangan sebanyak RM1,000 dan menyerahkan empat unit pencetak komputer untuk kegunaan sekolah.

Tanam sifat prihatin sejak di bangku sekolah – Utusan


Tanam sifat prihatin sejak di bangku sekolah

Najib Tun Razak menyerahkan replika cek sebagai simbolik penyerahan bantuan aktiviti ekonomi tambahan projek jahitan kepada salah seorang peserta, Nor Ayu Ali (kiri) di Rompin, semalam. Turut sama, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua dari kanan) dan Rosmah Mansor (tiga dari kanan).

ROMPIN 6 Mei – Persatuan Pandu Puteri perlu menanam sifat prihatin dan peka di kalangan ahlinya bermula dari peringkat sekolah supaya generasi akan datang menjadi lebih bertanggungjawab dan sedia bekerjasama sesama mereka.

Yang Dipertua persatuan itu, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pada masa sama ahli Pandu Puteri perlu berusaha dengan ikhlas tanpa memikirkan balasan kerana semakin tinggi keikhlasan maka, semakin baik balasan yang diperolehi.

“Hidup kita akan sentiasa mulia kalau kita terus mempunyai keinginan untuk sentiasa berbakti pada masyarakat. Saya percaya peranan ini akan memberi kesan lebih-lebih lagi jika membawa perubahan melalui khidmat yang bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pandu Puteri Turun Padang yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Pahang, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

Rosmah seterusnya menggesa ahli-ahli Pandu Puteri seluruh negara supaya mengatur langkah mengibarkan panji persatuan supaya menjadi badan yang aktif dan penuh prihatin dalam mendekati masyarakat.