Budak tadika dirotan di kepala – Metro


Budak tadika dirotan di kepala
IPOH: Akibat bising dalam kelas, seorang budak lelaki berusia enam tahun dirotan di kepala oleh guru tadika di Taman Canning, di sini, menyebabkan kanak-kanak itu trauma dan enggan ke sekolah.

Dalam kejadian pagi Isnin lalu, Eswin Khoo Mun Jun, mengadu sakit di kepala selepas pulang dari tadika yang terletak berhampiran rumahnya.
Bapa kanak-kanak itu yang juga ahli perniagaan, Khoo Kian Heng, 35, mendakwa anaknya mengadu sakit di kepala dan mendesak anaknya menceritakan perkara sebenar sebelum memberitahu dia dirotan di kepala oleh guru.

Menurutnya, dia tidak menyangka guru wanita berkenaan tergamak memukul anaknya di kepala.
“Saya mengaku anak saya sedikit nakal, namun guru berkenaan tidak patut memukulnya di kepala kerana boleh menyebabkan kecederaan serius termasuk menjejaskan saraf otak serta mendatangkan trauma kepadanya.
“Saya tidak kisah anak saya di rotan di tangan jika dia nakal, tetapi bukan di kepala kerana ia bahagian tubuh paling sensitif,” katanya ketika ditemui selepas membuat aduan di Pusat Khidmat Aduan Bercham di sini, semalam.

Katanya, dia berjumpa dengan guru berkenaan sehari selepas kejadian dan guru itu mengaku memukul kepala anaknya menggunakan rotan.
Kian Heng berkata, guru besar sekolah itu sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu, tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap guru berkenan menyebabkan dia membuat satu laporan di Balai Polis Simee, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/12

Lima sekeluarga termasuk warga emas dibunuh kejam – Bernama


Lima sekeluarga termasuk warga emas dibunuh kejam

03/01/2012 1:19pm

 

SIBU 3 Jan. — Lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak ditemui dibunuh dengan kejam di rumah mereka di RTM Road Lane 13B1 di sini kira-kira 7 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail berkata mangsa dikenal pasti sebagai wanita warga emas berusia 80 tahun, anak lelakinya yang merupakan ahli perniagaan berusia 36 tahun serta tiga anaknya iaitu seorang perempuan berumur 10 tahun dan dua lelaki masing-masing berusia lapan dan tujuh tahun.

“Anak yang bongsu meninggal dunia dunia di Hospital Sibu sejurus selepas tiba untuk rawatan akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Shafie berkata, polis percaya pelaku lebih daripada seorang dan mereka menggunakan objek tumpul dan objek tajam untuk membunuh mangsa.

Satu sidang media akan diadakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Law Hong Soon petang ini berhubung kes itu, katanya. —BERNAMA