Rogol: Buruh berdepan penjara 20 tahun – Sinar Harian


Rogol: Buruh berdepan penjara 20 tahun

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 November 2012
Rogol
Tertuduh keluar dari mahkamah selepas menafikan tuduhan merogol seorang gadis, 20 November lalu.

KOTA BHARU – Seorang buruh berdepan penjara sehingga 20 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan rogol.

Pemuda berusia 21 tahun itu dituduh merogol seorang remaja berusia 15 tahun sembilan bulan, minggu lalu.

Muhamad Lukman Mohd Fouzi,20, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Beta Hilir di sini, jam 1 pagi, 20 November lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusuf.

Pada prosiding semalam, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Susulan itu, Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menetapkan sebutan semula pada 31 Disember depan. Jamin terhadapnya tidak dibenarkan.

Dituduh rogol remaja – Sinar Harian


Dituduh rogol remaja
ROSMIZA KASIM FOTO:KHIRU SHALLEH ABDULLAH
6 Ogos 2012

Mohammad Izdihar tenang ketika dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
KOTA BHARU – Seorang pemuda dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol remaja berusia 14 tahun di sebuah rumah di Taman Haji Mustafa, Ketereh pada 27 Julai lalu.

Bagaimanapun, Mohammad Izdihar Abdullah, 21, ketika dihadapkan di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nariman Badruddin mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan memohon untuk dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Izdihar didakwa merogol remaja berusia 14 tahun 4 bulan itu di sebuah rumah di Taman Haji Mustafa, Ketereh pada 1.30 pagi, bulan lalu.

Dakwaan ke atas lelaki dari Kampung Pagut, Ketereh itu dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahmad Salam tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh dan Nariman menetapkan tiada jaminan dibenarkan ke atas Mohammad Izdihar.

Mahkamah menetapkan 6 September ini untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan kimia dan perubatan mangsa.

Buruh hadapi tuduhan rogol gadis bawah umur – Sinar Harian


Buruh hadapi tuduhan rogol gadis bawah umur

ADILA SHARINNI WAHID
17 Mei 2012

KOTA BHARU – Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol gadis bawah umur di sebuah pondok di sini, Mac lalu.

Mohd Jahari Razmi, 22, dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun tiga bulan.

Berdasarkan pertuduhan, kejadian berlaku di sebuah pondok di kampung tertuduh di Wakaf Mek Zainab di sini, pada jam 10 pagi, 14 Mac.

Mohd Jahari berdepan penjara antara lima dan 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia yang diwakili peguam bela, Ahmad Ridhuan Awang mengaku tidak bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Salam Yusof tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan ke atas tertuduh berikutan dakwaan serius yang dihadapi.

“Sekiranya mahkamah membenarkan jamin, saya mohon jaminan berjumlah RM15,000 dengan syarat tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi-saksi pihak kami,” katanya.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Kes akan didengar pada 17 Jun depan.