Aidilfitri lebih bermakna – Metro


Aidilfitri lebih bermakna

Oleh Mohamad Naufal Mohamad Idris
metahad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: “Dapat juga saya beli baju Melayu, songkok dan samping. Jarang saya dapat peluang begini,” kata Salman Hakimi Malik, 7, antara anak yatim dari Rumah Kesayanganku Bukit Beruntung dan Kondo Rakyat Pantai Dalam yang diberi peluang membeli-belah dalam Program Bubur Lambuk 1Malaysia Amal Media anjuran Kelab Kebajikan, Sukan & Rekreasi, Jabatan Pengarang The New Straits Times Press (NSTP) di Pasaraya Giant, Seksyen 13 di sini, semalam.

Salman ketika ditemui berkata, dia gembira dapat bersama kawan-kawan membeli-belah barang keperluan Aidilfitri dan merasakan sambutan kali ini lebih bermakna.
“Saya dan rakan-rakan bersyukur kerana dapat pilih macam-macam barang untuk Aidilfitri dan saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menaja kami,” katanya.

 

Salman adalah antara 180 anak yatim yang dibawa khas untuk program anjuran Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi NSTP bersama Giant dan Adabi itu.
Semua anak yatim diberi baucar Giant RM70 setiap seorang untuk membeli kelengkapan hari raya di pasar raya itu, selain menerima sumbangan duit raya daripada Adabi.
Pengerusi Kelab, Shahiman Sharip berkata, 1Malaysia Amal Media adalah sebahagian daripada projek kebajikan warga NSTP membantu golongan kurang bernasib baik ketika Ramadan dan Syawal, sekali gus menyahut seruan kerajaan ke arah masyarakat prihatin dan penyayang.

 

 

“Selain meraikan anak yatim ini, kita juga adakan program bubur lambuk 1Malaysia yang sudah bermula sejak 22 Julai lalu dan akan berakhir pada Isnin ini. Permulaan program ini diadakan di Ibu Pejabat NSTP di Bangsar dan akan berakhir di Seri Pentas TV3, Bandar Utama,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program itu di sini.
Pada majlis itu, sebanyak 14 periuk bubur lambuk dimasak di pekarangan Giant untuk diagihkan kepada orang ramai. Hadir sama Pengurus Pemasaran Adabi, Adrian Roslan; Pengurus Pemasaran GCH Retail (M) Sdn Bhd, Ho Mun Chu dan Duta Program Bubur Lambuk 1Malaysia Amal Media, artis Farawahida.

 

Shahiman berkata, Program Bubur Lambuk 1Malaysia Amal Media itu yang mula diperkenalkan sejak sembilan tahun lalu diteruskan tahun ini berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/13