Air najis depan kelas – Sinar Harian


Air najis depan kelas

IZWAN ROZLIN
7 Oktober 2012
Narayanan (dua, kiri) dan beberapa murid tadika kemas menunjukkan air kumbahan air melimpah keluar d
Narayanan (dua, kiri) dan beberapa murid tadika kemas menunjukkan air kumbahan air melimpah keluar dari salurannya.

PETALING JAYA –  Murid Tabika Perpaduan di Flat Desa Ria PJS 7 terseksa dengan bau busuk dari air kumbahan yang melimpah keluar dari saluran di hadapan bangunan itu .

Masalah yang berlarutan sejak dua minggu lalu itu tidak menemui jalan penyelesaian malah keadaan bertambah teruk.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Flat Desa Ria, M.Narayanan berkata, aduan sudah dibuat kepada pihak pemaju namun tiada sebarang tindakan  diambil.

“Air kumbahan yang melimpah keluar bukan setakat busuk malah turut mencemarkan kawasan sekitar flat,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian  kelmarin  mendapati air najis itu melimpah berikutan saluran utamanya tersumbat menyebabkan banyak program pembelajaran  luaran sekolah terbantut.

Sementara itu guru tadika Ani Nawan berkata sesi pembelajaran menjadi sukar apabila murid-murid terpaksa belajar di bahagian belakang kelas.

“Tingkap dan pintu terpaksa ditutup bagi mengelak bau dan suasana di dalam kelas juga merimaskan  kerana kami  terpaksa berkurung,” katanya.

Menurutnya sebagai guru dia mahu semua anak muridnya dapat belajar dalam suasana selesa tetapi apa yang berlaku  disebaliknya.

Difahamkan sekolah tadika itu yang  mempunyai 40 murid itu memulakan sesi pembelajaran jam 8 pagi dan berahir jam 12 tengah hari setiap hari.

Bagi penduduk Loh Foh Kuen, 40, bimbang jika sekiranya air kumbahan itu terus mengalir ianya menjadi pembawa penyakit berbahaya.