3 anak terpaksa berhenti sekolah – Sinar Harian


3 anak terpaksa berhenti sekolah

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
22 Oktober 2012
3 anak terpaksa berhenti sekolah
Sungai di tepi rumah yang menjadi tempat mandi dan membasuh.

KERIAN – Kekangan wang menyebabkan sembilan beranak di Kampung Dew, di sini, terpaksa berteduh di sebuah rumah uzur hasil pemberian pengurusan kilang membakar kayu arang untuk sementara.

Tambah menyedihkan, tiga daripada tujuh anak keluarga itu tidak bersekolah demi memberi laluan kepada adik-beradik lain untuk meneruskan persekolahan.

Mereka juga menggunakan air sungai di belakang rumah sebagai tempat mandi dan membasuh pakaian.

Suri rumah, Rohana Ajid, 40, berkata, bekalan air bersih terpaksa diambil daripada paip utama pejabat kilang setelah mendapat keizinan dan ada kalanya mereka memasak air sungai untuk diminum jika bekalan air tiada.

Menurutnya, rumah yang didiami lebih dari 20 tahun itu adalah ihsan pengurusan kilang yang membenarkan mereka menumpang.

“Bekalan elektrik yang diperoleh juga hasil ihsan mereka yang membuat penyambungan ke rumah kami dan saya bersyukur pengurusan kilang prihatin terhadap kesusahan kami,” katanya Kepada Sinar Harian.

Menurut Rohani, suaminya, Goriaman Barikan, 40, merupakan warga asing yang mendapat kerakyatan tetap dan kini hanya bekerja sebagai pengutip kayu bakau dengan pendapatan RM400 sebulan.

Jelasnya, pendapatan suami yang tidak menentu menyebabkan tiga anaknya terpaksa berhenti sekolah demi menyara keluarga.

“Anak sulung saya, Mohd Anaz Syazman 17, dan dua adiknya Norshahira, 15, dan Norsyazila, 14, tidak lagi bersekolah selepas  darjah enam disebabkan kekangan wang.

“Mereka terpaksa bekerja di kilang membakar kayu arang dan saya terharu tiga beradik ini sanggup mengorbankan zaman persekolahan untuk membiayai tiga lagi adik mereka, ” katanya.

Rohana berkata, keluarganya ada menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM300 sebulan yang sedikit sebanyak meringankan beban mereka terutama kos persekolahan tiga anaknya.

“Selain itu, seorang anak yang masih bersekolah turut mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

“Bagaimanapun, saya merayu kepada mana-mana pihak untuk membaik pulih rumah kami agar lebih selesa dan memberi peluang kepada dua anak saya kembali bersekolah,” katanya.

Kesusahan keluarga berkenaan mendapat perhatian Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Gunong Semanggol, Zainal Abidin Hanafiah yang bertandang ke rumah mereka.

Zainal Abidin menyerahkan sumbangan kepada Rohana dan memberi jaminan akan membawa masalah itu ke Mesyuarat Kumpulan Fokus peringkat daerah.

Katanya, beliau sudah mendapat kebenaran pengurusan kilang untuk membolehkan kerja membaik pulih rumah keluarga Rohana dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Mengenai bekalan air, kami akan cuba memohon dari Lembaga Air Perak (LAP) Kerian.

“Sebelum itu kami akan berbincang dan meminta kerjasama pengurus kilang itu kerana tanah dan rumah ini hak milik kilang sepenuhnya,” katanya.

2 beradik lemas jatuh sungai – Berita Harian


2 beradik lemas jatuh sungai
Oleh Norliza Wasilan

2012/02/02

PASIR PUTEH: Tindakan berani seorang budak lelaki untuk menyelamatkan adiknya yang tergelincir dalam sungai berakhir dengan tragedi apabila kedua-dua beradik itu lemas di Sungai Alor Pasir, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Mohd Amirul Zulhaiqal Abd Rahim, 7, dari Taman Kobena di sini, tergelincir ke dalam sungai ketika berdiri di batu untuk membuang air kecil.

Terkejut melihat adiknya terjatuh, Mohd Afeq Zulfikrie, 12, nekad terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkannya, namun gagal menyebabkan kedua-duanya lemas.

Abang kedua-dua mangsa, Mohd Alif Zulhakimi, 14, turun terjun ke sungai apabila menyedari adiknya hilang, namun gagal menyelamatkan mereka kerana air sungai itu terlalu dalam.

Malah, Mohd Alif Zulhakimi hampir lemas tetapi sempat ditarik rakannya yang dikenali sebagai Naim.

“Saya terjun selepas melihat selipar biru adik di sungai dan tepi sungai.

“Saya sedih tidak dapat menyelamatkan mereka,” katanya yang sebak dengan tragedi itu.
Ibu bapa mangsa, Abd Rahim Mohamad, 38, dan Normah Mohd Rahim, 35, tidak dapat ditemu ramah kerana terlalu sedih.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Kaharuddin Yahya, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7 petang dan segera menghantar satu jentera dengan enam anggota.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, mayat Mohd Afeq Zulfikrie sudah ditemui datuk mangsa, Mohd Rahim Mohd Adam, 58, yang membantu gerakan mencari mencari kanak-kanak itu.

“Mayat Mohd Amirul Zulhaiqal ditemui pasukan bomba pada jam 7.16 petang,” katanya.

Tiga sekolah habis awal, air Sungai Golok melimpah – Metro


Tiga sekolah habis awal, air Sungai Golok melimpah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Limpahan air Sungai Golok yang memasuki kawasan sekolah dan laluan keluar masuk di daerah Tumpat menyebabkan tiga sekolah rendah di daerah itu menghentikan sesi persekolahan lebih awal tengah hari semalam.

Tiga sekolah itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Pak Yong, SK Teluk Jering dan SK Simpangan ditutup selepas sesi persekolahan dihentikan pada jam 12.30 tengah hari.
Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, limpahan air yang semakin membahayakan menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan arahan supaya sesi persekolahan terpaksa dihentikan lebih awal.

 

“Ini berikutan lokasi ketiga-tiga sekolah terbabit yang hampir dengan Sungai Golok,” katanya.
Menurutnya, selain tiga sekolah terbabit, empat sekolah iaitu dua di Gua Musang dan dua di Rantau Panjang turut ditutup.
Katanya, ia menjadikan semua sekolah yang ditutup di Kelantan hari ini adalah tujuh sekolah membabitkan 2,076 murid.

 

 

“Tujuh sekolah di Rantau Panjang yang ditutup akibat banjir hari ini (semalam), kembali memulakan sesi persekolahan 2012 esok (hari ini).
“Dua buah sekolah di daerah Rantau Panjang iaitu Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Falah Siram dan SABK Diniah Bongor masih lagi ditutup, manakala di Gua Musang pula, dua sekolah yang masih ditutup ialah SK Bihai dan SK Balar,” katanya.

Hajat ke sekolah terhalang – Metro


Hajat ke sekolah terhalang

Oleh Nazdy Harun
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SETIU: “Saya bersemangat memulakan sesi persekolahan baru dan membuat persiapan sejak awal pagi lagi tetapi hajat saya terhalang apabila sekolah ditutup berikutan masih kotor akibat banjir,” kata Nur Farhana Umar, 12, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bukit, Hulu Nerus, dekat sini, semalam.

Dia antara 53 murid yang tidak dapat mengikuti hari pertama persekolahan sesi 2012 apabila sekolah mereka belum sempat dibersihkan akibat dilanda banjir kelmarin selain tandas mengalami kerosakan.
Meskipun air sudah surut, namun kesan kekotoran akibat banjir yang dikatakan mencecah kedalaman satu meter di sekolah itu hanya dapat dibersihkan semalam.

 

Nur Farhana berkata, dia sedih kerana tidak dapat mengikuti kelas sedangkan sebelum itu semangatnya berkobar-kobar memulakan sesi persekolahan baru berikutan akan mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
“Saya harap kejadian banjir seperti itu tidak berulang kerana bimbang akan menjejaskan pembelajaran saya.
“Bagaimanapun, saya bersyukur apabila guru besar memaklumkan sekolah akan dibuka esok (hari ini),” katanya ketika ditemui di sekolahnya, semalam.

 

 

Muhammad Sayazman Abdullah, 10, berkata, walaupun tidak dapat ke sekolah hari ini, namun dia gembira kerana dapat memakai baju sekolah baru.
“Saya tidak sabar memulakan sesi pembelajaran dan akan bangun lebih awal untuk ke sekolah,” katanya.

 

Guru besar, Rohaya Harun, 55, berkata sekolah terpaksa ditutup sehari bagi kerja pembersihan dan memastikan keselamatan pelajar terjamin berikutan bimbang air Sungai Kampung Bukit melimpah naik kerana cuaca masih tidak menentu.
“Kami bimbang keselamatan murid di sekolah ini terjejas menyebabkan pengurusan sekolah kemudian memaklumkan permasalahan ini kepada pihak atasan sebelum mencapai persetujuan penutupan sekolah dilakukan.
“Memandangkan cuaca bertambah baik, sekolah akan dibuka esok,” katanya.
Selain SK Kampung Bukit, sebuah sekolah lagi yang terpaksa ditutup akibat masalah banjir adalah Sekolah Kebangsaan Kuala Besut, di sini, yang mempunyai 201 pelajar.