Ajar Kristian: Jawi hantar pegawai siasat dakwaan murid – Utusan


Ajar Kristian: Jawi hantar pegawai siasat dakwaan murid

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini menghantar sepasukan pegawainya ke sebuah sekolah di Jalan Kuchai Lama di sini hari ini, untuk menyiasat dakwaan seorang murid yang cuba dipengaruhi ajaran Kristian di tempat tuisyennya.

Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali (gambar) berkata, pegawai tersebut hadir pada awal pagi bagi mengambil keterangan daripada murid tersebut.

“Saya akan melihat laporan daripada penyiasatan pegawai dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak.

“Insya-Allah, esok atau lusa kami akan keluarkan laporan tersebut. Diharap semua pihak bersabar dan tidak bertindak luar batasan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, sepasukan pegawai dari Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur dipercayai mengunjungi sebuah sekolah di Jalan Kuchai Lama di sini, untuk mengambil keterangan murid tersebut.

Pasukan dari Bahagian Sektor Pendidikan Islam itu difahamkan hadir pada pukul 8.30 pagi sebelum dilihat keluar dari sekolah tersebut kira-kira empat jam selepas itu.

Jelas Che Mat, pihaknya akan sentiasa memastikan isu seumpama itu diselesaikan segera kerana ia melibatkan akidah dan sensitiviti rakyat.

“Diharap orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang akan menjejaskan integriti sesama anggota masyarakat. Kita perlu siasat dahulu baru bertindak,” ujarnya.