Perlu jalani fisioterapi intensif – Sinar Harian


Perlu jalani fisioterapi intensif
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Julai 2012

Tabung Adik Adam
SHAH ALAM – Pesakit tumor saraf tunjang, Adam Akbar Ali,10, perlu menjalani fisioterapi secara intensif bagi memastikan keadaannya pulih dan kembali normal.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, selain fisioterapi, Adam juga perlu rehat secukupnya bagi memulihkan tenaga hilang sebelum ini.

” Setiap pagi kami bawanya ke hospital dan sebelah petang Adam disaran melakukan aktiviti ringan.

“Sokongan rakan sebaya dan sukarelawan di Childrens House, Johns Hopkins juga banyak membantu Adam menyemarakkan semangatnya,” katanya menerusi e-mel kepada Sinar Harian, semalam.

Adam yang menjalani pembedahan 22 Jun lalu diketuai Pakar Neuro, Dr Geore Jallo dijangka pulang apabila keadaannya pulih.

Akbar berkata, mereka sekeluarga juga dikunjungi adiknya dan keluarga sebelah mentua yang kini menetap di Texas, Amerika Syarikat.

Adam jalani fisioterapi – Sinar Harian


Adam jalani fisioterapi
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Jun 2012

Adam jalani rawatan susulan fi sioterapi di Hospital Johns Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat.
SHAH ALAM – Adam Akbar Ali, 10, kini menjalani rawatan susulan fisioterapi di Hospital Johns Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat, kelmarin.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin berkata, kanak-kanak itu semakin pulih dan mampu berjalan beberapa langkah keluar dari biliknya dengan bantuan doktor.

“Bagaimanapun, kaki dan tangannya masih lemah akibat kesan pembedahan tumor saraf tunjang.

“Alhamdulillah, senyuman Adam menggembirakan kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, keputusan pemeriksaan imbasan magnetik resonan (MRI) yang diperoleh semalam menunjukkan lebih 90 peratus daripada tumor berjaya dikeluarkan.

“Setakat ini hanya 10 peratus tumor yang masih belum dikeluarkan di mana risikonya rendah dan tiada sebarang kesan negatif untuk jangka masa panjang,” katanya, semalam.

Akbar berkata, pakar fisioterapi memberitahu Adam akan kembali pulih selepas beberapa hari menjalani sesi fisioterapi berkenaan.

“Adam, akan menjalani rawatan susulan di klinik Dr Jallo, Hospital Johns Hopkins sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia,” katanya.

Adam yang menghidap penyakit saraf tunjang memerlukan RM175,000 untuk kos pembedahan. Banyak pihak, termasuk NGO turut menyumbang. Kerajaan Terengganu menyumbang RM100,000.

Adam tenang menanti pembedahan – Sinar Harian


Adam tenang menanti pembedahan
WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Jun 2012

Tabung Adik Adam
SHAH ALAM – Beberapa jam sebelum jalani pembedahan, Adam Akbar Ali, 10, tenang dan seakan sudah bersedia melalui operasi tersebut.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin berkata, anaknya itu tidak menunjukkan rasa takut, malah lebih bersedia daripada kedua orang tuanya.

“Saya bersyukur kerana Adam tidak gentar malah tidak sabar dibedah.

Mungkin setelah tiga kali memasuki dewan bedah, dia sudah biasa.

“Walaupun bimbang, tapi kami berharap semuanya berjalan seperti yang dirancang. Saya bersyukur kerana Adam sentiasa positif.

“Saya serahkan semuanya kepada ALLAH. Hanya doa dan mohon diberi kesenangan dalam operasi ini serta Adam dapat menjalani kehidupan seperti biasa selepas ini,” katanya menerusi kiriman e-mel kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, mengikut laporan doktor pakar yang mengendalikan kes Adam iaitu Dr George Jallo, pembedahan akan mengeluarkan 90-95% tumor di saraf tunjangnya pada tahap risiko yang minima.

“Insya-ALLAH, selepas ini, Adam akan sembuh walaupun perlu menjalani rawatan susulan,” katanya.

Tumor Adam semakin membesar – Sinar Harian


Tumor Adam semakin membesar
WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Jun 2012

‘Adam derita, saya sengsara’
SHAH ALAM – Sejak kisah Adam Akbar Ali, 10 menghidap penyakit tumor saraf tunjang disiarkan oleh Sinar Harian dua minggu lalu, sumbangan orang ramai kepada Adam meningkat kepada RM55,700 hingga petang semalam.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, sumbangan tersebut masih belum mencukupi untuk menampung pembiayaan pembedahan Adam di Hospital Johns Hopkins, Amerika Syarikat yang berjumlah RM175,000.

Menurutnya, beliau sekeluarga berterima kasih kepada penyumbang dan orang ramai yang sentiasa memberikan semangat, nasihat dan sokongan kepada mereka untuk menghadapi ujian itu.

“Saya berharap hasrat saya untuk memberikan rawatan terbaik kepada Adam akan tercapai.

Keadaan Adam sekarang membimbangkan kami sekeluarga kerana Adam kerap sakit kepala dan terpaksa diberikan ubat tahan sakit bagi mengurangkan sakit yang dialaminya.

“Adam dilihat semakin lemah dan kurang selera makan. Kami juga dimaklumkan oleh Pakar Neuro dari Hospital Johns Hopkins, Dr George Jallo bahawa tumor Adam sedang membesar atau air bertakung di dalam saraf tunjang Adam semakin banyak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Akbar berkata, keadaan tersebut menyebabkan beliau mengambil keputusan membuat ujian Magnetik Resonance Imaging (MRI) di Hospital Pantai, Bangsar, semalam untuk mendapatkan perkembangan Adam yang sebenarnya.

“Saya akan menghantar keputusan MRI tersebut kepada Dr. Jallo dengan segera. Saya juga berharap panel yang dilantik bagi menguruskan perubatan Adam dapat memberikan keputusan secepat mungkin,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan kepada Adam, bolehlah disalurkan ke akaun Maybank 512101054830 dan Bank Islam 12038025182964.

Adam sukar bernafas – Sinar Harian


Adam sukar bernafas

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Mei 2012
Tabung adik Adam
‘Adam derita, saya sengsara’

SHAH ALAM – Tangisan Adam Akbar Ali, 10 sering meresahkan hati ayahnya, Akbar Ali Mohamed Noordin kerana ia petanda Adam tidak dapat menahan kesakitan akibat penyakit tumor saraf tunjang yang semakin kritikal.

Akbar Ali berkata, sejak kebelakangan ini, Adam bukan sahaja diserang sakit kaki dan perut malah beliau sukar untuk bernafas dan mengalami sakit dada.

“Saya lihat keadaan itu kerap menyerangnya semula dan mengingatkan saya pada 2010, saya mengambil keputusan membawanya ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura untuk jalani pembedahan. Kini keadaan Adam yang sakit untuk bernafas menyerangnya semula disebabkan penyakit tumor di saraf tunjang yang membengkak.

“Bila saraf tunjangnya rosak akibat tumor itu, ia boleh menyebabkan kerosakan pada saraf- saraf utama yang bersambung daripada bahagian bawah kepalanya sampai ke kakinya. Ia akan mengakibatkan kelumpuhan dan risiko  kematian,”katanya.

Menurutnya, beliau dan isteri, Siti Rogayah Sheik Ismail kini hanya mampu berdoa supaya Adam dapat bertahan dan sering memberikan motivasi kepada anak sulung mereka supaya bersabar dan bertawakal kepada ALLAH.

“Adam akan menangis dan bertanyakan kepada kami bila pembedahan akan dilakukan kerana beliau tidak mahu tumor berada dalam badannya lagi. Saya hanya menasihatkannya bersabar kerana ramai cuba membantuny,” katanya.

Beliau berkata, Adam mempunyai minat membaca yang mendalam akan menghabiskan masanya dengan membaca buku mengenai sains dan penyakitnya. “Kadang- kadang Adam tidak dapat melelapkan matanya pada waktu malam dan berbicara dengan saya serta menceritakan apa yang dibacanya,” katanya. Katanya, kutipan untuk membiayai kos pembedahan Adam kini adalah RM35,900. “Alhamdulilah, saya bersyukur kepada ALLAH. Saya berterima kasih  kepada mereka yang menderma, memberikan sokongan moral serta nasihat kepada kami menghadapi ujian ini. Hanya ALLAH dapat membalasnya.

“Saya terharu kerana sumbangan diberikan kebanyakannya daripada rakyat Malaysia berbilang kaum. Beliau berkata, pihak Qatar Airways juga telah membuat kutipan untuk didermakan kepada Adam.

“Mereka mengetahui kisah Adam yang memerlukan RM300,000 untuk melakukan pembedahan di Amerika Syarikat melalui  portal Sinar Harian Online,” katanya. Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan bolehlah disalurkan ke  akaun Maybank 512101054830 dan Bank Islam 12038025182964.