BERITA HARIAN BERTARIKH 22 JANUARI 2013 – SMS BERKAITAN 1MURID 1SUKAN


BERITA HARIAN BERTARIKH 22 JANUARI 2013 – SMS BERKAITAN 1MURID 1SUKAN

22 February 2013

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada SMS “RUFFEY:BHA20234” dalam ruangan Rakan@bh akhbar Berita Harian bertarikh 22 Januari 2013.

 

KPM merujuk kepada SMS – Pembangunan sukan di sekolah dan merealisasikan satu murid, satu sukan memerlukan pentadbir yang meminati sukan dan betul-betul turun padang. Bukan sekadar pandai mengarah.

 

Ingin dimaklumkan bahawa hasil kajian yang telah dilakukan oleh Bahagian Sukan KPM  mengenai Pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan; Persepsi dan Penerimaan Pengetua dan Guru Besar didapati bahawa 95% Pengetua dan Guru Besar bersedia untuk memberi kerjasama dalam melaksanakan Dasar 1Murid 1Sukan.

 

Selain itu, semua Pengetua dan Guru besar sedia maklum bahawa sukan merupakan salah satu komponen wajib dalam kokurikulum sekolah. Oleh yang demikian, pihak pentadbir seharusnya memainkan peranan secara positif dan turut serta dalam memastikan komponen sukan ini dilaksanakan dengan baik oleh semua pihak terutamanya di sekolah.

 

Pihak pentadbir sekolah turut dibantu oleh Penolong Kanan Kokurikulum dan juga Setiausaha Sukan Sekolah. Mereka merupakan tonggak dan kumpulan penggalak yang telah dipilih berdasarkan penglibatan aktif mereka di dalam bidang sukan. KPM berharap semua Pengetua dan Guru Besar termasuk juga golongan 5% lagi dapat sama-sama “turun padang” dan menjayakan Dasar 1Murid 1Sukan ini. Selain itu, penerangan dan bahan bantu mengajar boleh diperolehi di laman webwww.moe.gov.my/bsukan

 

 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

BERITA HARIAN BERTARIKH 5 JANUARI 2013 – PELAJAR BANDAR BERHAK KE ASRAMA PENUH


BERITA HARIAN BERTARIKH 5 JANUARI 2013 – PELAJAR BANDAR BERHAK KE ASRAMA PENUH

08 February 2013

 

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Ibu Kecewa, Wilayah Persekutuan” dalam ruangan Forum akhbar Berita Harian bertarikh 5 Januari 2013 – Pelajar bandar berhak ke asrama penuh.

 

Sekolah Berasrama Penuh (SBP), KPM sentiasa patuh kepada matlamat asal penubuhannya. Dasar pengambilan murid, tiga puluh peratus (30%) murid bandar dipatuhi dalam melaksanakan keputusan pengambilan murid ke SBP, disamping akur kepada syarat-syarat permohonan kemasukan murid untuk tingkatan satu (1) dan tingkatan empat (4) seperti yang telah ditetapkan oleh KPM.

 

Kedudukan (ranking) murid juga disusun menggunakan Sistem Pemilihan dan Penempatan SBP KPMberdasarkan merit mengikut skor akademik (UPSR), skor pencapaian kokurikulum, matriks status sosio-ekonomi keluarga dan skor kepimpinan murid. Bagi pemohon yang tidak berjaya, mereka boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui e-rayuan bagi tempoh yang telah ditetapkan.

 

Untuk mengetahui secara lebih lanjut tentang kedudukan murid secara individu, pengadu boleh terus menghubungi Unit Pengambilan dan Kemasukan Murid, Sektor Pengurusan Hal Ehwal Murid SBP, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK), KPM, Aras 3, Blok 2251 Jalan Usahawan 1, 63000 Cyberjaya, Selangor.

 

 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

BERITA HARIAN BERTARIKH 21 DISEMBER 2012 – ANAK DINAFI HAK BELAJAR SEKOLAH BARU DI RAWANG


BERITA HARIAN BERTARIKH 21 DISEMBER 2012 – ANAK DINAFI HAK BELAJAR SEKOLAH BARU DI RAWANG

21 January 2013

 

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Insan Teraniaya, Rawang” dalam ruangan Forum akhbar Berita Harian bertarikh 21 Disember 2012 – Anak dinafi hak belajar sekolah baru di Rawang.

 

Merujuk kepada aduan dan penjelasan pengadu, terdapat salah faham pengadu terhadap proses pertukaran Sekolah anak beliau. Dimaklumkan, pertukaran sekolah bagi sesi persekolahan 2013 dibuka pada 15 Disember 2012 bagi menyelaraskan enrolmen murid semasa di sekolah-sekolah Daerah Gombak.

Bagi penempatan Tingkatan 4 ke SMK Tun Perak, mesyuarat akan diadakan pada 26 Disember 2012 untuk menempatkan murid daripada SEMEKAR ke SMK Tun Perak. Penempatan ini merupakan perpindahan secara berkelompok mengikut kriteria perpindahan yang akan diputuskan oleh panel mesyuarat terdiri daripada wakil SEMEKAR dan SMK Tun Perak bersama dengan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Gombak.

 

Pertukaran anak pengadu dari SEMEKAR ke SMK Tun Perak tidak diluluskan pada masa pengadu membuat permohonan kerana anak pengadu masih di aliran sains pertanian manakala SMK Tun Perak hanya mempunyai dua aliran iaitu aliran Kemahiran Teknikal dan aliran Perdagangan. Pertukaran aliran akan memberi impak yang besar dalam penilaian PBS. Walau bagaimanapun, murid masih boleh menukar aliran. Pihak PPD menasihati pengadu untuk membuat permohonan pertukaran aliran di sekolah yang asal. Setelah selesai pertukaran aliran, barulah pengadu boleh menukar sekolah tanpa sebarang masalah.

 

Pihak PPD tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa sekolah akan kosong disebabkan murid berpindah ke SMK Tun Perak dan tidak timbul isu perlu belajar sekurang-kurangnya enam bulan sebelum boleh memohon pertukaran.

 

 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Berita Harian bertarikh 13 Oktober 2012 – KAJI DASAR PERTUKARAN SETARA


Berita Harian bertarikh 13 Oktober 2012 – KAJI DASAR PERTUKARAN SETARA

14 January 2013

 

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Guru Teraniaya, Sabah” dalam ruangan Forum akhbar Berita Harian bertarikh 13 Oktober 2012 – Kaji dasar pertukaran setara.

 

Dimaklumkan bahawa Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang telah dinaikkan pangkat ke Gred DG44 secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK) Khas Untuk Penyandang (KUP) boleh memohon untuk mengisi jawatan PPPS Gred DG44 sama ada di sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri tertakluk kepada kekosongan jawatan dan persetujuan Pengarah Pelajaran Negeri.

 

Dari segi kemajuan kerjaya, seseorang PPPS Gred DG44 boleh memohon kenaikan pangkat ke Gred DG48 sama ada secara KUP melalui laluan kenaikan pangkat TBBK atau laluan Guru Cemerlang dan kenaikan pangkat laluan Bidang Umum/ Bidang Teknikal/ Bidang Pendidikan Islam tertakluk kepada kekosongan jawatan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran.

 

 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

SURAT KEPADA PENGARANG – PERMOHONAN BERTUKAR DITOLAK dan 14 November 2012 – GAGAL BERPINDAH SELEPAS 8 TAHUN MENGAJAR


SURAT KEPADA PENGARANG

 

Berita Harian bertarikh 12 November 2012 – PERMOHONAN BERTUKAR DITOLAK dan 14 November 2012 – GAGAL BERPINDAH SELEPAS 8 TAHUN MENGAJAR

02 January 2013

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Guru Dedikasi, Ipoh” dan “j-QAF Senior, Sarawak” dalam ruangan Forum akhbar Berita Harian bertarikh 12 November 2012– Permohonan bertukar ditolak dan 14 November 2012 – Gagal berpindah selepas 8 tahun mengajar.

 

Dasar pertukaran guru adalah seperti perkhidmatan lain iaitu berasaskan kepada keperluan perkhidmatan yang bersandarkan keperluan opsyen ataupun mata pelajaran yang diajar. Pengisian pertukaran juga melihat kepada kekosongan jawatan Anggaran Belanja Mengurus (ABM) semasa di negeri yang dipohon.

 

Selain itu, pemohon juga tertakluk kepada perjanjian semasa menerima tawaran jawatan tersebut. Bagi sekolah rendah, permohonan untuk masuk ke negeri yang tiada kekosongan jawatan dan opsyen tidak dapat diluluskan kerana emolumen (gaji) sesebuah negeri berasaskan kepada ABM yang diluluskan untuk negeri tersebut.

 

KPM perlu menimbangkan kebajikan murid-murid mengatasi guru kerana kekurangan guru sesebuah negeri akan menjejaskan pelan tranformasi KPM dan pembangunan modal insan.

 

Kedudukan guru sehingga 31 Oktober 2012, negeri-negeri berikut tidak dapat diluluskan kerana tiada kekosongan jawatan iaitu:

 

  1. Perlis
  2. Kedah
  3. Pulau Pinang
  4. Perak
  5. Pahang
  6. Kelantan
  7. Terengganu

 

KPM memberi pertimbangan sewajarnya dalam memberi kelulusan permohonan guru khususnya bagi kumpulan guru yang menghadapi masalah kesihatan kritikal seperti kanser dan sakit jantung.

 

 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Didik, Minda bantu pelajar cemerlang – Berita Harian


Didik, Minda bantu pelajar cemerlang

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
bhnews@bharian.com.my
2012/05/20

MOHD RAUF beramah mesra dengan warga pendidik pada  majlis Hari Penghargaan Guru 2012 anjuran Jabatan Pengedaran Kumpulan NSTP, di Kuantan, semalam.

MOHD RAUF beramah mesra dengan warga pendidik pada majlis Hari Penghargaan Guru 2012 anjuran Jabatan Pengedaran Kumpulan NSTP, di Kuantan, semalam.

Sisipan BH berjaya tingkat proses pembelajaran 

KUANTAN: Sisipan Didik, Minda, Skor akhbar Berita Harian dan School Times dalam New Straits Times (NST) boleh membantu meningkatkan proses pembelajaran dan pengajaran guru dalam kelas selain buku teks.

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri, Mohd Rauf Jali, berkata sisipan berkenaan penting untuk menambah pengetahuan dan membuat latihan berulangan sebagai persediaan meng-hadapi peperiksaan.

Beliau berkata demikian pada perasmian majlis Hari Penghargaan Guru 2012 anjuran Jabatan Pengedaran Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) untuk 200 guru dari Pahang, Terengganu dan Kelantan, di sini, semalam.

Program bertemakan ‘Gaya Hidup Sihat’ itu menghargai sekolah yang menjadikan sisipan berkenaan alat bantuan mengajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran guru dalam kelas.

Mohd Rauf berkata, sekolah yang melanggan akhbar itu boleh menggunakan sisipan itu sebagai bahan sampingan secara berterusan untuk memastikan kejayaan masing-masing.

Pelbagai acara diadakan termasuk senamrobik, ceramah oleh Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), demonstrasi masakan Mychef Celebrity oleh Chef Zam, pertunjukan drift, persembahan artis oleh Alif AF6 dan cabutan bertuah.
Antara penaja utama program yang memasuki tahun ketiga itu ialah MyChef Celebrity, Speed City dan LPPKN. Kuantan adalah lokasi ketiga selepas Kedah dan Melaka serta lokasi terakhir di Putrajaya pada 17 September ini.

Sementara itu, Guru Sekolah Kebangsaan Pahi, Kuala Krai, Kelantan, Mohd Norizan Yusof, berkata penggunaan sisipan Didik berjaya meningkatkan prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah itu sejak tiga tahun lalu.

“Sisipan Didik menjadi tarikan baru kepada murid Tahun Enam, malah penggunaannya sentiasa dinantikan pelajar kerana soalan yang tersiar dalam akhbar itu mirip kepada soalan sebenar UPSR,” katanya.

Guru SK Bendang Pauh, Pasir Mas, Kelantan, Hasnidawati Hassan, berkata sisipan Didik digunakan seawal Tahun Lima bagi memudahkan mereka mengikutinya ketika di Tahun Enam.

“Penggunaannya sebagai alat bantuan mengajar mencapai matlamat apabila murid mencapai kejayaan 100 peratus dalam UPSR tahun lalu,” katanya.