Polis tahan 17 lelaki kes serang pelajar sekolah – Bernama


Polis tahan 17 lelaki kes serang pelajar sekolah

16 Jun 2012
KUALA LUMPUR – Polis menahan 17 lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam serangan ke atas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana di luar kawasan sekolah itu semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata kesemua suspek yang ditahan itu berumur antara 15 hingga 21 tahun dan enam daripada mereka sudah menamatkan persekolahan.

“Polis memberkas tiga suspek sejurus selepas kejadian terbabit berdasarkan penemuan motosikal di lokasi kejadian yang ditinggalkan selepas kejadian.

“Susulan daripada itu, polis menahan 17 lagi suspek sehingga malam tadi ,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan hampir 30 pelajar sekolah SMK Cheras Perdana diserang oleh sekumpulan remaja yang bersenjata kayu, besi, cota dan topi keledar sehingga menyebabkan 10 pelajar dan seorang guru Penolong Kanan Sekolah cedera parah.

Menurut laporan akhbar itu lagi, serangan terbabit berlaku pukul 12.30 tengah hari sejurus pelajar tingkatan tiga, empat dan lima keluar dari perkarangan sekolah selepas tamat sesi pagi persekolahan.

Sehubungan itu, Adnan berkata bagi mengelakkan penularan budaya gangsterism dan kes pergaduhan di sekolah, polis akan bertindak segera dalam mengesan suspek yang terlibat sekaligus menyelesaikan kes sedemikian secara menyeluruh.

Beliau berkata 10 pelajar dan seorang guru yang cedera dalam serangan terbabit dilaporkan stabil dan kini dirawat di Hospital Columbia Asia Cheras sebagai pesakit luar.

Katanya kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing juga didapati negatif.

Polis masih menyiasat sekiranya terdapat saki baki mereka yang terbabit dan motif kejadian masih dalam siasatan. Kesemua mereka ditahan reman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan, katanya. – Bernama

‘Dia masuk bilik saya’ – Metro


‘Dia masuk bilik saya’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLUANG: “Dia (suspek) masuk ke bilik tidur saya dan menekup muka menggunakan kain sebelum cuba menyentuh kemaluan saya,” kata adik Nurul Amin Mohamed Ishak yang hanya mahu dikenali sebagai Alya, 15.

Menurutnya, dalam kejadian jam 2 pagi Selasa lalu, suspek yang juga rakan abangnya memasuki kediaman mereka dalam keadaan mabuk bersama seorang lagi rakannya. “Mereka memang sering datang ke sini. Bagaimanapun, pada malam kejadian mereka berkelakuan pelik dipercayai akibat mabuk.
“Ketika seorang lagi rakannya tidur di ruang tamu, dia menyelinap masuk ke bilik sebelum cuba merogol saya,” katanya.

 

Alya berkata, dalam kejadian itu, dia meronta dan berjaya meloloskan diri, manakala suspek melarikan diri bersama rakannya.
“Saya memaklumkan kejadian itu kepada ibu sebelum sampai ke pengetahuan abang.
“Berikutan itu, abang (Nurul Amin) mencari suspek, namun tidak menemuinya hinggalah mereka bertemu di satu kawasan di bandar Kluang, malam kelmarin.

 

 

“Sebaik menemuinya, abang membawa rakannya itu ke kawasan stor berhampiran rumah kami untuk berbincang sebelum keadaan menjadi tegang,” katanya.
Harian Metro difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai buruh kasar di sini dipercayai maut akibat parah pada lehernya selepas dikelar menggunakan objek tajam.

 

Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kehilangan banyak darah sebelum dihantar ke Hospital Kluang, di sini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan berkata, akan membuat sidang akhbar hari ini.