Salah pelajar, bukan sekolah – Kosmo


Salah pelajar, bukan sekolah

MAHADZIR memujuk Muhammad Faiz supaya tabah dalam pertemuan
di rumah mereka di Bukit Beruntung semalam.

 

KUALA LUMPUR – Siasatan Jabatan Pelajaran Selangor mendapati dakwaan seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) Bukit Beruntung, Rawang bahawa dia dilarang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kelmarin sebagai tidak berasas.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, apa yang sebaliknya berlaku ialah pelajar itu, Muhammad Faiz Mahadzir tidak hadir ke sekolah pada hari pertama peperiksaan itu kelmarin.

Katanya, pelajar itu juga tidak hadir ke sekolah untuk beberapa hari sebelum itu.

“Pihak sekolah tidak menghalang pelajar itu menduduki peperiksaan.

“Rekod sekolah menunjukkan dia tidak hadir pada hari pertama peperiksaan walaupun Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SUP) telah memaklumkan kepada pelajar untuk hadir,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau perjalanan peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan kenyataan bapa pelajar itu, Mahadzir Mokhtar, 42, yang mendakwa sewaktu Muhammad Faiz datang ke sekolah pada Isnin lalu, guru besar sekolah tersebut telah meminta anaknya itu supaya tidak menduduki UPSR atas alasan dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi sekolah berkenaan.

Muhammad Faiz kemudian dikatakan merajuk sehingga tidak mahu ke sekolah bagi menduduki UPSR pada Selasa lalu walaupun selepas puas dipujuk oleh bapanya.

Mahadzir kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa serta Pejabat Pelajaran daerah Hulu Selangor.

Abd. Ghafar menjelaskan, pihaknya setakat ini menerima sembilan aduan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan berkaitan UPSR, namun siasatan mendapati kesemuanya tidak berasas.

Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!

Mati ngeri digilis, diseret treler – Kosmo


Mati ngeri digilis, diseret treler
Oleh NUZULSHAM
SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my

PASUKAN keselamatan mengusung mayat Muhammad Nazhif yang maut selepas diseret sejauh 50 meter oleh sebuah treler dalam kemalangan di Melaka kelmarin.

MELAKA – Seorang pelajar menemui ajal dalam keadaan mengerikan apabila dia digilis dan diseret sejauh 50 meter oleh sebuah treler membawa muatan jubin dalam kemalangan di Lebuh Ayer Keroh berhampiran Hospital Pantai di sini kelmarin.

Kejadian pukul 10 malam itu mengakibatkan Muhammad Nazhif Sharif, 17, (gambar) mati di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan ke pusat bandar untuk membeli baju raya di Ayer Keroh.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah kereta Proton Wira sehingga menyebabkan mangsa terjatuh.

“Pada masa sama, sebuah treler yang berada di belakang menyambar tubuh mangsa lalu diseret sejauh 50 meter sebelum kenderaan berat itu berhenti,” katanya.

Sementara itu, mengimbau semula tragedi itu, rakan mangsa, Ng Kok Leng, 16, berkata, sebelum kejadian dia dan dua rakan termasuk mangsa baru pulang dari sebuah pasar raya.

Katanya, mangsa kemudian mengajak mereka ke Bazar di Taman Cempaka, Peringgit untuk mencari baju raya selepas pakaian di pasar raya itu tidak berkenan di hatinya. Jarak antara dua tempat itu kira-kira lima kilometer.

Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!

Datuk mahu guru pukul cucu diambil tindakan – Utusan


Datuk mahu guru pukul cucu diambil tindakan

ZULKEFLI Lop dan isterinya, Rokiah Arshad menunjukkan halaman akhbar Kosmo! yang turut memaparkan berita mengenai cucu mereka, Muhamad Ziqril Hakin Mohd. Farol di rumahnya di Kampung Baru Changkat Jong, Teluk Intan, semalam.

 

TELUK INTAN 18 Jan. – Jabatan Pelajaran negeri diminta mengambil tindakan terhadap seorang guru yang memukul seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Jalan Changkat Jong, di sini sehingga pengsan semalam.

Penjaga yang juga datuk kepada pelajar tersebut, Zulkefli Lop, 61, berkata, guru tersebut tidak sepatutnya menggunakan kekerasan dengan memukul cucunya sehingga pengsan dan dimasukkan ke hospital.

“Saya akui cucu saya nakal dan saya tiada masalah jika guru menggunakan rotan untuk mendidik, tetapi jangan pukul sampai dia masuk hospital.

“Pukul pula di tempat bahaya iaitu di tengkuk. Macam mana kalau terputus urat atau berlaku kematian, siapa yang hendak bertanggungjawab kerana bapanya tiada di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Changkat Jong di sini hari ini.

Dalam laporan Utusan Malaysia hari ini, pelajar berkenaan mendakwa dipukul sehingga pengsan oleh seorang guru sekolah tersebut semalam.

Pelajar tersebut, Muhamad Ziqril Hakin Mohd. Farol, 14, mendakwa kejadian itu berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika dia sedang bergaduh dengan seorang pelajar lain di tingkat atas sekolah berkenaan.

Menurut Zulkefli lagi, dia kesal kerana tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai kejadian yang menimpa Muhamad Ziqril dan hanya mengetahuinya melalui seorang rakan kepada cucunya petang semalam.

“Sampai pukul 6 petang saya tunggu cucu saya tidak pulang ke rumah. Selepas itu, seorang kawan dia beritahu Muhamad Ziqril ada di perhentian bas depan sekolah kerana baru keluar hospital akibat dipukul guru.

“Saya pun terus pergi ke sana untuk membawa cucu saya pulang ke rumah,” katanya sambil menyatakan turut kesal kerana pihak sekolah tidak membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Susulan kejadian itu, Zulkefli memberitahu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini tengah hari ini.

Dalam pada itu, seorang Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Changkat Jong, Ayub Harun, 58, yang melawat pelajar itu berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana seorang guru sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada murid dan masyarakat.

“Memang ada sesetengah murid sangat nakal di sekolah, tetapi kita ada undang-undang. Kalau hendak pukul untuk mengajar, guna rotan supaya tidak mendatangkan kecederaan kepada pelajar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mohd. Rauhi Mohd. Isa ketika dihubungi berjanji akan menyiasat perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika guru tersebut didapati bersalah.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai insiden tersebut.

Rotan jika salah, bukan belasah – Kosmo


Rotan jika salah, bukan belasah

 

Oleh AINSAFRE BIDIN
berita@kosmo.com.my

 

ZULKEFLImenunjukkan laporan akhbar Kosmo! mengenai kejadian cucunya dibelasah sambil diperhatikan oleh isterinya, Rokiah Arshad di Teluk Intan semalam.

 

TELUK INTAN – Datuk kepada seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini kecewa apabila cucunya yang mendakwa dipukul seorang guru sekolah kelmarin telah menjadi mangsa perbuatan pihak yang sepatutnya mendidik dan bukan bertindak di luar batas undang-undang.

Zulkefli Lope, 61, berkata, tindakan keterlaluan guru terbabit menyebabkan cucunya, Muhammad Ziqril Hakin Mohd. Farol pengsan dan terpaksa dirawat di Hospital Teluk Intan di sini.

Tambah mengecewakan Zulkefli ialah dia selaku penjaga pelajar itu hanya mengetahui kejadian tersebut daripada rakan sekelas Muhammad Ziqril Hakin selepas waktu sekolah.

“Sudahlah saya tidak dimaklumkan langsung, cucu saya itu pula ditinggalkan bersendirian di perhentian bas untuk pulang ke rumah selepas mendapat rawatan di hospital.

“Saya akui dia nakal sebab berkelahi di sekolah dan saya tak kisah dia dirotan tapi janganlah dibelasah sampai begitu sekali,” kata Zulkefli ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Batu 8, Jalan Changkat Jong di sini semalam.

Dalam kejadian kelmarin, Muhammad Ziqril Hakin mendakwa dipukul tiga kali di muka dan leher oleh seorang guru sehingga pengsan.

Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu berlaku selepas pelajar berkenaan berkelahi dengan seorang pelajar lain hingga menyebabkan guru terbabit masuk campur.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohd. Rauhi Mohd. Isa memandang serius kejadian tersebut dan telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak membuka kertas siasatan.