Buku teks ada unsur Syiah tidak benar – Sinar Harian


Buku teks ada unsur Syiah tidak benar
WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2013
  • Buku teks ada unsur Syiah tidak benarMuka Depan Sinar Harian 30 Julai 2013
< 1 / 1 >

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan menafikan dakwaan kononnya terdapat buku teks berunsurkan Syiah digunakan di sekolah rendah dan menengah seperti yang didakwa Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis), Julai lalu.

Merujuk kepada laporan muka hadapan akhbar Sinar Harian bertarikh 30 Julai itu, KPM berkata, pihaknya sudah membuat semakan dan mendapati dakwaan tersebut tidak benar di samping ia bukanlah buku teks terbitannya.

“KPM telah meneliti dakwaan berkenaan dan mendapati buku teks yang dimaksudkan tersebut bukan buku teks KPM.

“Ia adalah terbitan pihak swasta bagi rujukan murid Tingkatan Enam yang mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM),” jelas KPM dalam kenyataan itu.

Giptis sebelum ini menggesa kerajaan supaya mengkaji semula sejarah Islam yang terdapat dalam buku teks Pendidikan Islam rendah dan menengah yang didakwa mempunyai kecenderungan ke arah fahaman Syiah.

Pengerusinya, Prof Madya Dr Abd Aziz Hanafi berkata, perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana ada silibus pengajian yang menggambarkan seolah-olah para sahabat nabi terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman.

“Saya khuatir perkara ini boleh merosakkan akidah pelajar. Sebabnya, sahabat nabi tidak seorang pun yang terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman. Malah, mereka murka terhadap pembunuhan yang dilakukan itu,” katanya.

Namun KPM menegaskan, setelah meneliti beberapa halaman buku teks Pendidikan Islam Tingkatan Lima, didapati tiada sebarang unsur yang cenderung mempromosikan fahaman Syiah.

“Kandungan buku teks tersebut ialah fakta-fakta mengenai penyelewengan Syiah dan bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Di samping itu, dalam Bahagian Aqidah buku teks ini memperjelaskan pegangan-pegangan lain yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti Qadiani, Bahai dan Taslim, yang dikategorikan sebagai ajaran sesat.

“Berdasarkan dapatan tersebut, KPM menolak  dakwaan yang dikemukakan oleh Giptis kerana buku teks yang dimaksudkan itu diterbikan oleh swasta sebagai rujukan murid Tingkatan Enam yang mengambil peperiksaan STPM,” tegas kenyataan itu.

Pihak KPM juga menegaskan buku teks Pendidikan Islam Tingkatan Lima KPM juga telah disemak dan dikenal pasti bebas daripada kecenderungan atau mempromosikan fahaman Syiah.

‘Doakan pembedahan berjaya’ – Sinar Harian


‘Doakan pembedahan berjaya’
NOR RAIDAH AWANG
16 Jun 2012

Adam (empat kiri) bergambar bersama sukarelawan Kelab Awan Adventure yang hadir memberi kata-kata semangat kepadanya di KLIA.
SHAH ALAM – Adam Akbar Ali, 10, yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang berlepas ke Amerika Syarikat semalam, dijadualkan akan menjalani pembedahan pada 21 Jun ini di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin, 43, berkata, Adam akan dimasukkan ke wad pada 18 Jun ini, bagi menjalani pemeriksaan tahap kesihatannya, sebelum pembedahan dilakukan.

Menurutnya, pihak hospital sebelum ini memaklumkan tempoh rawatan di sana mengambil masa selama dua atau tiga minggu, bergantung pada tahap kesihatan Adam.

“Doakan moga pembedahan ini berjaya. Saya harapkan dengan pembedahan itu mudah-mudahan Adam akan sembuh dengan segera dan kembali ceria,” katanya kepada Sinar Harian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, ibu Adam, Siti Rogayah Syed Ismail, 34, menitiskan air mata sebaik sahaja ditemui wartawan Sinar Harian, dan melahirkan rasa terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang sanggup menyalurkan sumbangan sehingga Adam dapat menjalani pembedahan.

“Dengan masalah kewangan yang dihadapi kami sekeluarga, mungkin sukar bagi kami membayar kos pembedahan Adam sebanyak RM175,000,” katanya.

Siti berkata, selama empat tahun dia dan suami menjaga Adam yang sakit, mereka terpaksa menjual rumah untuk pembedahan pertama Adam pada Julai 2010 di Hospital Queen Elizabeth, Singapura yang menelan belanja RM240,000.

Namun, pembedahan itu hanya memberi penyelesaian sementara dengan mengurangkan risiko dan kesakitan dialaminya.

“Pada waktu itu, saya hanya fikirkan nyawa anak sahaja. Saya dan suami terpaksa gunakan semua kad kredit dan buat pinjaman peribadi bagi membiayai kos pembedahan pada masa itu,” katanya,

Beliau berkata, mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih pada akhbar Sinar Harian yang banyak melaporkan kisah adik Adam dan sumbangan orang ramai sehingga terkumpulnya dana.

Sehubungan itu, Siti berharap pembedahan Adam berjalan lancar, tanpa komplikasi dan selamat selain berharap rakyat Malaysia mendoakan kesihatan anaknya.