Terap nilai tangkis pengaruh globalisasi – Muhyiddin – Utusan


Terap nilai tangkis pengaruh globalisasi – Muhyiddin

SHAH ALAM 12 Sept. – Golongan pendidik terutama mereka yang berada di sekolah-sekolah agama perlu memastikan para pelajar memiliki gagasan, budaya, nilai dan etika moral yang tinggi bagi menangkis pengaruh globalisasi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perhatian juga perlu diberikan kepada pendidikan watak atau karakter di samping menekankan elemen kreatif dan inovatif.

“Hanya dengan cara dan pendekatan itu kita akan dapat melahirkan masyarakat yang berfikir serta memiliki keperibadian luhur.

“Inilah ciri-ciri modal insan yang dikehendaki negara,” kata beliau.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berucap merasmikan Majlis Makan Malam Amal sempena Sambutan 20 Tahun Penubuhan Sekolah Kiblah dan Maahad Tahfiz Kiblah di sini malam ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan penyerahan cek bernilai RM4.2 juta yang disampaikan wakil Emir Qatar, Sheikh Abdullah Al-Jalaly kepada Yayasan Kebajikan Nusantara (Yakin) bagi tujuan pembangunan Sekolah Kiblah.

Penyampaian cek itu turut disaksikan Mufti Masjidil Haram, Mekah, Sheikh Sulaiman As-Saloomi.

Hadir sama, Pengerusi Yakin merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah dan Maahad Tahfiz Kiblah, Tan Sri Hashim Meon.

Sekolah Kiblah merupakan salah sebuah daripada 22 sekolah menengah agama swasta berdaftar dengan Kementerian Pelajaran yang melaksanakan sistem pendidikan dwikurikulum iaitu kurikulum kebangsaan dan kurikulum dini/Azhari.

Muhyiddin berkata, para pelajar perlu diterapkan dengan nilai-nilai aspirasi budaya kecemerlangan dan membuang sikap-sikap negatif yang boleh meninggalkan sesuatu bangsa ke belakang.

“Masyarakat tetap melihat pendidikan keagamaan sesuatu yang penting dalam membentuk keperibadian dan akhlak mulia generasi negara di samping membangkitkan kesedaran hidup beragama, mengajar, membimbing dan mendidik masyarakat melalui penanaman iman dan amal soleh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap sekolah agama swasta seperti Sekolah Kiblah dapat mengatur langkah ke hadapan dan menyusun strategi tertentu untuk meletakkan statusnya seiring dengan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di bawah kementerian.