Pelajar wanita 15 tahun antara ditahan edar dadah – Bernama


Pelajar wanita 15 tahun antara ditahan edar dadah

5 April 2013

PETALING JAYA – Enam individu termasuk dua wanita ditahan sementara sepucuk pistol bersama 631 gram dadah dianggarkan bernilai RM65,000 dirampas di Taman Medan di sini Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, polis pada mulanya menahan seorang lelaki berumur 24 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah, di dalam sebuah kereta di Taman Medan Baru pada pukul 10 malam Rabu lepas.

“Polis merampas satu paket plastik dipercayai dadah jenis heroin seberat 470 gram dan pistol jenama Ruger P85 MK II beserta kelongsong peluru yang berisi lima butir peluru hidup di tepi kotak gear dalam kereta itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Arjunaidi berkata lelaki itu yang memiliki enam rekod jenayah melibatkan samun ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.

Beliau berkata, sejurus penahanan pertama, polis memberkas tiga lagi lelaki dan dua wanita tempatan, seorang daripadanya pelajar perempuan berumur 15 tahun di sebuah kedai yang dipercayai dijadikan lokasi pengedaran dadah di Taman Medan Baru.

“Dalam serbuan itu, kita merampas 500 biji pil yang disyaki dadah jenis Eramin 5 seberat 150 gram dan 19 paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu seberat 11 gram,” katanya.

Arjunaidi berkata siasatan masih dibuat untuk mengetahui sama ada pelajar yang ditahan itu terlibat dalam pengedaran dadah. Kesemua suspek direman mulai semalam hingga Isnin.- Bernama

Remaja ditahan edar dadah – Sinar Harian


Remaja ditahan edar dadah

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Mac 2013

ALOR GAJAH – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai menjadi pengedar dadah ditahan polis ketika sedang menunggu pelanggan di sebuah ladang sawit di Machap Baru, di sini, kira-kira jam 2.15 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, gerak geri suspek yang mencurigakan apabila menunggu sendirian di dalam ladang itu sudah diperhatikan kira-kira seminggu lalu menerusi Ops Tapis.

Menurutnya, suspek yang memegang satu beg plastik warna cerah bertindak membuang ke dalam semak sebaik menyedari kehadiran polis sebelum melarikan diri ke dalam ladang sawit.

“Bagaimanapun polis berjaya mengepung kawasan itu sebelum menahan suspek dan membawanya ke lokasi plastik berkenaan dicampak.

“Selepas diperiksa, polis mendapati beg plastik berkenaan berisi 27 paket plastik lutsinar mengandungi dadah heroin dianggarkan seberat 41.6 gram” katanya.

Umar Ali berkata, suspek yang tidak bersekolah dipercayai menjadi pengedar di sekitar Machap dan Durian Tunggal datang ke ladang sawit menaiki motosikal yang diletakkan berdekatan jalan besar.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek beralamat di Jasin positif dadah jenis heroin dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum gantung sampai mati (mandatori) dan ditahan reman di bawah Seksyen KPJ selama tujuh hari sehingga 13 Mac ini,” katanya.

Remaja dituduh miliki dadah – Sinar Harian


Remaja dituduh miliki dadah

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Februari 2013
Remaja dituduh miliki dadah
Anggota polis mengiringi remaja perempuan terbabit (tengah).

BALING – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dihadapkan Mahkamah Majistret Baling atas kesalahan memiliki dadah jenis Heroin seberat 0.90 gram.

Dia berasal dari sebuah kampung di sini melakukan kesalahan itu di stesen minyak Shell Baling kira-kira jam 12.30 tengah malam, 18 Januari lalu.

Namun begitu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syaiful Akma Mohd Razi memohon mahkamah melanjutkan tempoh pertuduhan bagi menunggu laporan kimia.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 April untuk sebutan semula kes dan pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) Akta sama.

Sementara itu, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dikenakan Bon Jaminan Berkelakuan Baik (BJBB) selama setahun dengan seorang penjamin, selain membayar cagaran RM1,000 dan membayar kos pendakwaan RM2,000.

Mohamad Shazwan Afzal Mohd Rizuan dari Desa Keda Kemangi dijatuhi hukuman itu selepas melakukan kesalahan mengikut Sekyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (akta 333) kerana menunggang motosikal secara berbahaya.

Dia melakukan kesalahan itu di kawasan lampu isyarat biliion, batu 42, Baling antara jam 1.30 pagi hingga 3.30 pagi pada 1 Januari lalu.

Dia mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan Jurubahasa Mahkamah di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizzudin Ramli.

Tertuduh ditahan semasa Operasi Ambang Tahun Baru 2013 oleh Unit Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Baling.

Remaja 13 tahun mengedar dadah – Sinar Harian


Remaja 13 tahun mengedar dadah

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Disember 2012
Remaja 13 tahun mengedar dadah
Shahadan menunjukkan dadah yang dirampas selepas menahan tiga lelaki di sebuah rumah di Kampung Kelantan, Parit Perupuk, Selasa lalu.

MUAR – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun antara tiga yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan sindiket pengedaran dadah kecil-kecilan yang didalangi lelaki berusia 38 dan 53 tahun, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Shahadan Jaafar berkata, kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan anggota narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menyerbu sebuah rumah di Kampung Kelantan, Parit Perupuk di sini, kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM12,000 dijumpai dalam serbuan tersebut.

“Antara dadah yang dirampas ialah syabu seberat 4.4 gram (gm), heroin (20.9 gm) dan sebiji pil ectasy.  Bahan terlarang ini dipercayai boleh menampung keperluan 900 penagih.

“Remaja yang berasal dari Kajang, Selangor itu, sudah tidak bersekolah dan   didapati baru enam bulan terjebak dalam kegiatan ini selepas berkenalan dengan kedua-dua suspek,” katanya pada sidang media di IPD Muar di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika serbuan, kesemua suspek sedang leka membungkus dadah dalam bilik rumah berkenaan dan dipercayai untuk edaran sekitar daerah ini juga daerah berhampiran.

Kata Shahadan lagi, remaja terbabit termasuk dua lagi suspek yang berasal dari kampung berkenaan juga didapati positif dadah jenis heroin.

“Suspek berusia 53 tahun memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah sejak 1991, manakala suspek berusia 38 tahun pula mempunyai lima rekod jenayah lampau juga berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Kesemua suspek ditahan reman sehingga 28 Disember ini untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat saki baki ahli kumpulan yang masih bebas,” katanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Remaja 17 tahun ditahan bersama kekasih, disyaki edar dadah – Bernama


Remaja 17 tahun ditahan bersama kekasih, disyaki edar dadah

2 Oktober 2012

KUANTAN – Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun dan kekasihnya yang berusia 23 tahun, ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah di sekitar daerah Temerloh.

Mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pukul 3 petang semalam, di Jalan Pintasan Perindustrian Mentakab.

Menurut pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood, pasangan terbabit ditahan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva dipercayai sedang menunggu pelanggan di kawasan itu.

Hasil pemeriksaan polis ke atas kereta berkenaan, mereka menemui satu beg sandang yang mengandungi 17 peket serbuk putih dan hijau disyaki dadah jenis heroin, seberat 219.9 gram, katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

“Polis turut menemui tiga peket plastik yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 9.90 gram dan semua bahan terlarang itu dibawa masuk dari negeri jiran untuk pasaran di daerah ini,” katanya.

Zundin berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,280 dipercayai hasil kegiatan menjual dadah.

Lelaki berkenaan yang juga seorang duda dipercayai terbabit menjual dadah sejak beberapa bulan lepas setelah bercerai dengan isterinya, kata Zundin dan menambah pasangan itu baharu sahaja berpacaran.

Katanya pasangan terbabit direman selama dua minggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – Bernama

Baru dua hari bersalin ditahan kes dadah – Metro


Baru dua hari bersalin ditahan kes dadah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLANG: Seorang remaja berusia 17 tahun yang baru dua hari melahirkan anak ditahan selepas pelbagai jenis dadah ditemui di rumahnya di Bayu Perdana, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamed Mat Yusuf, berkata suspek yang diberkas bersama empat lelaki serta dua wanita lain kini direman hingga 15 Januari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
“Pada jam 12 tengah hari pada 8 Januari lalu selepas melakukan risikan, polis menyerbu sebuah apartmen di Bayu Perdana, Klang, yang dijadikan tempat pembungkusan dadah.

 

“Sebelum diserbu, penghuni di dalam pangsapuri berkenaan enggan bekerjasama menyebabkan polis memecahkan pintu.
“Sehubungan itu, polis menahan empat lelaki dan tiga wanita warga tempatan berusia 17 hingga 40 tahun dan menemui pelbagai jenis dadah termasuk 11 peket plastik lut sinar berisi syabu seberat lebih 170 gram dan lima peket plastik lut sinar berisi 1,480 pil ecstasy.
“Semua dadah berkenaan yang dirampas itu ditemui di ruang tamu apartmen berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

 

 

Menurutnya, ujian air kencing mendapati semua suspek termasuk remaja yang baru dua hari melahirkan anak serta tidak mempunyai pekerjaan itu positif dadah jenis methaphetamin dan amphetamin.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.