Remaja dituduh miliki dadah – Sinar Harian


Remaja dituduh miliki dadah

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Februari 2013
Remaja dituduh miliki dadah
Anggota polis mengiringi remaja perempuan terbabit (tengah).

BALING – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dihadapkan Mahkamah Majistret Baling atas kesalahan memiliki dadah jenis Heroin seberat 0.90 gram.

Dia berasal dari sebuah kampung di sini melakukan kesalahan itu di stesen minyak Shell Baling kira-kira jam 12.30 tengah malam, 18 Januari lalu.

Namun begitu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syaiful Akma Mohd Razi memohon mahkamah melanjutkan tempoh pertuduhan bagi menunggu laporan kimia.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 April untuk sebutan semula kes dan pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) Akta sama.

Sementara itu, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dikenakan Bon Jaminan Berkelakuan Baik (BJBB) selama setahun dengan seorang penjamin, selain membayar cagaran RM1,000 dan membayar kos pendakwaan RM2,000.

Mohamad Shazwan Afzal Mohd Rizuan dari Desa Keda Kemangi dijatuhi hukuman itu selepas melakukan kesalahan mengikut Sekyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (akta 333) kerana menunggang motosikal secara berbahaya.

Dia melakukan kesalahan itu di kawasan lampu isyarat biliion, batu 42, Baling antara jam 1.30 pagi hingga 3.30 pagi pada 1 Januari lalu.

Dia mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan Jurubahasa Mahkamah di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizzudin Ramli.

Tertuduh ditahan semasa Operasi Ambang Tahun Baru 2013 oleh Unit Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Baling.

Remaja edar dadah ditahan – Sinar Harian


Remaja edar dadah ditahan

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Oktober 2012
Remaja edar dadah ditahan
Baharom (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas.

PORT DICKSON – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai pengedar dadah antara 16 suspek yang ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Port Dickson dan Seremban hujung minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Baharom Othman berkata, remaja yang sudah tidak bersekolah sejak setahun lalu itu ditahan bersama lelaki yang berasal dari Johor Bahru di sebuah rumah di kawasan taman perumahan Bandar Dataran Segar, Lukut pada 12.30 tengah malam, Jumaat lalu.

Menurutnya, daripada pemeriksaan yang dilakukan, polis menemui sejumlah wang tunai dan pelbagai jenis dadah iaitu 800 biji pil eramin 5, 10 paket syabu, satu paket ketamin, satu paket ganja, beberapa biji pil estacy serta peralatan menghisap dadah.

“Hasil ujian saringan kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis syabu. Siasatan juga mendapati lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai penjaga kedai mesin judi itu mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya dan satu kesalahan jenayah.

“Kedua-dua mereka direman sehingga esok (hari ini) bagi membantu siasatan polis,” katanya kepada Sinar Harian ketika sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, semalam.

Baharom berkata, dalam serbuan kedua pula, tiga lelaki ditahan di kawasan tempat letak kereta di sebuah hotel di Port Dickson pada jam 7 malam, hari sama.

Katanya, setelah pemeriksaan, polis menjumpai tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat 500 gram.

“Ketiga-tiga suspek yang merupakan pelajar sebuah kolej, jurujual dan penganggur itu berusia antara 20 hingga 26 tahun berasal dari Selangor.

“Hasil pemeriksaan ujian air kencing, salah seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja dan memiliki rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya. Mereka ditahan reman hingga esok (hari ini),” katanya.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dengan kerjasama anggota polis IPD Port Dickson.

Beliau berkata, manakala dalam serbuan ketiga pada Sabtu lalu, seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah ditahan di hadapan sebuah rumah di kawasan perumahan Sendayan, Seremban pada jam 10.50 pagi.

“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 125 paket plastik berisi serbuk dadah jenis heroin dan syabu.

“Suspek yang berusia 50 tahun itu didapati mempunyai kesalahan lalu melibatkan enam kes di bawah Akta dadah berbahaya dan lapan rekod jenayah. Suspek akan direman sehingga Jumaat ini,” katanya.

Menurutnya, kawasan perumahan itu dipercayai menjadi ‘port’ penagih dadah bagi mendapatkan bekalan.

“Malah sepanjang operasi, polis berjaya menahan 10 penagih dadah yang mana mereka datang ke lokasi ini untuk mendapatkan bekalan tanpa menyedari ada serbuan.

“Mereka yang kesemuanya lelaki adalah penduduk di kawasan berhampiran berusia antara 23 hingga 35 tahun,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga serbuan itu membabitkan jumlah keseluruhan rampasan pelbagai jenis dadah sebanyak RM35,600 tidak termasuk wang tunai berjumlah RM22,238.

“Kesemua 16 suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Remaja 17 tahun ditahan bersama kekasih, disyaki edar dadah – Bernama


Remaja 17 tahun ditahan bersama kekasih, disyaki edar dadah

2 Oktober 2012

KUANTAN – Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun dan kekasihnya yang berusia 23 tahun, ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah di sekitar daerah Temerloh.

Mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pukul 3 petang semalam, di Jalan Pintasan Perindustrian Mentakab.

Menurut pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood, pasangan terbabit ditahan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva dipercayai sedang menunggu pelanggan di kawasan itu.

Hasil pemeriksaan polis ke atas kereta berkenaan, mereka menemui satu beg sandang yang mengandungi 17 peket serbuk putih dan hijau disyaki dadah jenis heroin, seberat 219.9 gram, katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

“Polis turut menemui tiga peket plastik yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 9.90 gram dan semua bahan terlarang itu dibawa masuk dari negeri jiran untuk pasaran di daerah ini,” katanya.

Zundin berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,280 dipercayai hasil kegiatan menjual dadah.

Lelaki berkenaan yang juga seorang duda dipercayai terbabit menjual dadah sejak beberapa bulan lepas setelah bercerai dengan isterinya, kata Zundin dan menambah pasangan itu baharu sahaja berpacaran.

Katanya pasangan terbabit direman selama dua minggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – Bernama

Pelajar kaki lalok kena cekup – Sinar Harian


Pelajar kaki lalok kena cekup

NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
31 Mei 2012
Pelajar kaki lalok kena cekup
Toon Khuan

KUANTAN – Seorang pelajar berusia 14 tahun dari sebuah sekolah menengah di sini antara 30 individu yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Tapis Bersepadu siri 5/2012 di kawasan Panching Timur dan Felda Lepar Hilir dekat sini, kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Yap Tooon Khuan berkata, selain pelajar terbabit, 29 individu lain berusia antara 14 hingga 41 tahun yang ditahan itu terdiri daripada 27 buruh, seorang juru ukur dan seorang juruteknik landskap.

Menurutnya daripada 34 kes yang dicatatkan membabitkan 30 tangkapan itu, 26 kes (24 tangkapan) melibatkan kesalahan mengambil dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala empat kes (4 tangkapan) mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (APD).

“Manakala terdapat dua kes dengan satu tangkapan di bawah Seksyen 12(2) ADB, satu kes (1 tangkapan) di bawah Seksyen 39A(2) ADB dan satu kes mengikut Seksyan 39A(1) ADB bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan bagi kes tersebut,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Toon Khuan berkata, sepanjang Ops Tapis Bersepadu Siri 5 yang dijalankan bermula 25 hingga 29 Mei lalu, pihaknya berjaya menahan 263 individu daripada 298 kes membabitkan pelbagai kesalahan dadah di seluruh negeri.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 145 kes dengan 117 tangkapan dilakukan atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB, 111 kes dengan 110 tangkapan bagi kes di bawah Seksyen 3(1) AAPD (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan 20 kes (18 tangkapan) mengikut Seksyen12 (2) ADB.

“Kita juga berjaya menahan lima suspek disyaki pengedar dadah daripada lima kes di bawah Seksyen 39B ADB yang dicatatkan dan lima kes dengan empat tangkapan bagi kesalahan mengikut Seksyen 39A(2) ADB.

“Pada masa sama, empat kes dengan empat tangkapan dibuat bagi kes di bawah Seksyen 39A(1) ADB, empat kes dengan satu tangkapan di bawah Seksyen 6 ADB dan dua kes (2 tangkapan) mengikut Seksyen 3 (1) ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1983,” katanya.

Toon Khuan berkata, sepanjang ops itu, seramai 649 individu diarahkan menjalani ujian saringan air kencing dan daripada jumlah itu, 256 didapati positif pelbagai jenis dadah manakala 393 negatif.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi bagi membendung kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di negeri ini.

“Kita juga akan menjalankan operasi di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berlaku kegiatan ini dari masa ke semasa.

“Dalam kes di kawasan Panching Timur dan Felda Lepar Hilir dekat sini misalnya, kita menerima banyak aduan berhubung kes-kes pecah rumah yang disyaki perbuatan penagih dadah lalu satu operasi digerakkan dan 30 penagih berjaya ditahan di kawasan itu, kelmarin,” katanya.