Tukang perabot dipenjara 12 bulan, sebabkan anak lelaki cedera – Bernama


Tukang perabot dipenjara 12 bulan, sebabkan anak lelaki cedera

2012/10/24 – 18:27:21 PMCetakEmel Kawan
JOHOR BAHRU: Seorang tukang perabot dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak lelakinya, Khamis lalu.

Norrizam Sapuan, 40, didakwa melakukan kesalahan terhadap Nazirul Mubim Norrizam, 9, di rumahnya di 0301, Blok G, Flat Pekaka, Jalan Pekaka 3, Taman Perling, di sini, kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias memutuskan hukuman terhadap Norrizam bermula dari tarikh tangkapan iaitu 18 Oktober lalu.

Pendakwaan kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

Pemandu teksi ditahan dera anak – Sinar Harian


Pemandu teksi ditahan dera anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2012

SENAI – Seorang pemandu teksi ditahan selepas dipercayai mendera anak lelakinya berusia tujuh tahun di rumah mereka di Taman Sri Skudai, di sini semalam.

Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.40 pagi selepas polis menerima maklumat orang ramai.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, ketika pemeriksaan, kanak-kanak terbabit dilihat mempunyai kesan lebam baru dan lama di seluruh badan.

“Kami menahan bapa kandung kanak-kanak terbabit selepas dia mengaku memukul anaknya dengan menggunakan penyangkut baju dan dia akan direman esok pagi (hari ini) untuk siasatan lanjut,” katanya, semalam.

Menurutnya, kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Pengawal Keselamatan Didakwa Dera Anak Saudara – Bernama


Pengawal Keselamatan Didakwa Dera Anak Saudara
KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan mendera anak saudara lelakinya yang berumur tujuh tahun dengan membaling sebuah periuk ke arahnya.

G. Devarajan, 44, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap K. Pavitran di bahagian dapur rumahnya beralamat di no 10 J11, Rumah Panjang Awam, Jinjang Utara, Jinjang di sini, antara 1 tengah hari hingga 1.30 tengah hari, pada 19 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Kee Wei Lon menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tertuduh tidak tinggal bersama mangsa dan mengganggunya.

Devarajan diwakili peguam S. Narasimhan memohon jaminan tersebut dikurangkan memandangkan anak perempuan tertuduh yang hadir sebagai penjamin hanya bekerja biasa di sebuah kedai kasut.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 5 September ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Remaja lelaki ditahan hingga dapat perkenan Yang Dipertuan Besar – Bernama


Remaja lelaki ditahan hingga dapat perkenan Yang Dipertuan Besar

14 Jun 2012
SEREMBAN – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan seorang remaja berusia 17 tahun yang didapati bersalah membunuh seorang wanita warga Indonesia di Simpang Durian, Jelebu, dekat sini, tahun lalu, ditahan selama tempoh mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Hakim Datuk Zulkifli Bakar menjatuhkan hukuman tersebut ke atas remaja lelaki itu mengikut Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-kanak 2001 memandangkan dia berusia 16 tahun ketika melakukan kesalahan itu.

Mengikut Seksyen 97 akta tersebut, seorang kanak-kanak yang didapati bersalah tidak boleh dikenakan hukuman mati dan akan dipenjarakan di satu tempat selagi mendapat perkenan sultan atau raja.

Remaja terbabit bersama sepupunya yang berusia 24 tahun, didapati bersalah atas dakwaan membunuh Christy Erny, 19, di No. 13, Taman Desa Permai, Simpang Durian, Jelebu, dekat sini antara 2 petang dan 5 petang pada 12 Mei, tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sepupu remaja terbabit, Mohd Azmi Ibrahim telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah sama, 1 Jun lalu.

Mahkamah juga sebelum ini telah membenarkan pihak pembelaan mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat mengenai remaja terbabit untuk dinilai sebelum menjatuhkan hukuman pada hari ini.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, remaja terbabit bersama sepupunya memasuki sebuah premis judi untuk bermain judi di pekan Simpang Durian, Jelebu, dekat sini yang pada waktu itu terdapat dua pekerja yang sedang bertugas iaitu Christy Erny dan ibunya Sumirnah.

Setelah habis beratus-ratus ringgit, sepupu remaja tersebut iaitu Mohd Azmi pergi berjumpa dengan Sumirnah untuk meminjam wang, manakala remaja terbabit berada di luar bersama Christy Erny yang sedang melayari laman Facebook.

Apabila permintaannya enggan dituruti, Mohd Azmi yang ketika itu baru empat hari mendirikan rumah tangga, telah memulas leher dan menghentakkan kepala Sumirnah ke lantai dan pada masa yang sama Christy Erny yang melihat kejadian itu menjerit meminta tolong.

Remaja terbabit yang berada dekat dengan Christy Erny kemudian menyerang dari belakang sebelum Mohd Azmi membantu remaja itu dengan menendang dan menghentak kepala mangsa ke lantai beberapa kali.

Kedua-dua tertuduh kemudiannya cuba memusnahkan kamera litar tertutup di premis tersebut namun tidak berjaya dan melarikan diri setelah mengambil wang RM500 dari premis itu.

Christy Erny yang akan melangsung perkahwinan sebulan dari hari kejadian maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala ibunya yang parah ditemui orang awam dan sempat menerima rawatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala remaja terbabit diwakili peguam Hanif Hassan. – Bernama

Kanak-kanak lelaki dipercayai didera bapa tiri – Bernama


Kanak-kanak lelaki dipercayai didera bapa tiri
2012/06/13

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera di bahagian punggung dan jari dipercayai didera oleh bapa tirinya.

Penderaan itu dipercayai dilakukan antara 4 hingga 9 Jun ketika kanak-kanak itu berada di rumah ibunya Kampung Gong Machang, Besut pada cuti persekolahan lalu.
Namun insiden itu hanya disedari bapa kanak-kanak itu pada Isnin lalu kira-kira 12.30 tengah hari selepas anaknya itu mengadu sakit di bahagian punggung selepas beberapa hari mengambil anak tunggalnya itu dari rumah bekas isterinya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K Manoharan, berkata selepas diperiksa bapa kanak-kanak itu yang bekerja sebagai pemandu jentolak itu melihat ada kesan melecur terkena objek panas pada punggung sebelah kiri anaknya dan selepas didesak, kanak-kanak itu memberitahu bapa tirinya mencucuhnya menggunakan objek panas.

“Ketika kejadian mangsa berada di rumah ibunya, bagaimanapun bapanya mengambil anaknya itu pada Sabtu lalu kira-kira jam 7.30 malam dan menghantar anaknya ke rumah neneknya di Kampung Raja, Besut kerana mempuyai urusan di Selangor.

“Selepas pulang anaknya mengadu sakit. Selepas diperiksa bapanya yang berusia 29 tahun itu mendapati kesan luka dan terus membuat laporan di Balai Polis Besut pada hari yang sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Manoharan berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Besut untuk rawatan luka sepanjang kira-kira satu sentimeter di bahagian punggung itu.
Katanya, susulan laporan itu, polis menahan suspek yang berusia 40 tahun di kediamannya kira-kira 2 pagi semalam.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempuyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang berasal dari Bandar Permaisuri, Besut ini positif dadah jenis metamphetamine.”

Suspek yang juga penternak ikan sangkar kini direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Suami isteri disyaki dera tiga anak guna kayu hoki – Bernama


Suami isteri disyaki dera tiga anak guna kayu hoki

26 April 2012

 

JOHOR BAHRU – Polis menahan sepasang suami isteri rakyat Singapura dua hari lepas kerana dipercayai mendera tiga anak mereka di Kampung Melayu, Gelang Patah, di sini. Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata bapa kandung dan ibu tiri berumur 40 dan 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang di rumah mereka di kampung tersebut selepas polis menerima laporan mengenai jenayah berkenaan pada pukul 11 pagi, hari yang sama.

“Laporan polis dibuat oleh mangsa, seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun dengan ditemani guru sekolahnya. Turut dipercayai menjadi mangsa dera itu adalah seorang adik perempuannya yang berumur 12 tahun dan adik lelaki berumur lapan tahun,” katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya di sini hari ini.

Noor Hashim berkata mengikut keterangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah itu, ketiga-tiga mereka menetap di rumah berkenaan bersama ayah kandung dan ibu tiri yang merupakan guru muzik, sejak tahun 2007. Beliau berkata mereka tidak pernah berhubung dengan ibu kandung sejak berlakunya penceraian ibu bapa mereka, malah mereka sering dipukul dengan kayu hoki dan ditampar sehingga kejadian yang sama berulang pada Ahad dan Selasa lepas.
Katanya kedua-dua beradik perempuan itu turut dibotakkan kepala dan mengalami kesan lebam di beberapa bahagian badan, bagaimanapun, adik lelaki mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Polis berjaya merampas sebatang kayu hoki di rumah berkenaan dan pasangan terbabit kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Ketiga-tiga mangsa pula dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Dalam kes lain, Noor Hashim berkata pihaknya berjaya menumpaskan kumpulan pecah rumah di sekitar bandar raya ini selepas menahan lima lelaki di sebuah rumah di Taman Mutiara Rini, di sini semalam.

Beliau berkata kesemua mereka yang berumur 35 hingga 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari selepas bilik gerakan IPD Nusajaya menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan berlakunya kejadian pecah rumah di Jalan Bakti 56, perumahan terbabit.

Katanya polis tiba di rumah tersebut lima minit kemudian dan merampas pelbagai barangan serta peralatan pecah rumah daripada suspek termasuk dua kereta curi, 14 telefon bimbit, televisyen plasma, beg tangan, minuman keras dan kuku kambing.

Katanya kesemua lelaki yang dipercayai terlibat dengan sembilan kes pecah rumah sejak tujuh bulan lepas itu kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — Bernama

Wanita dipenjara 8 tahun dera anak teman lelaki – Bernama


Wanita dipenjara 8 tahun dera anak teman lelaki

2012/04/09

KLANG: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah mendera anak perempuan teman lelakinya, berusia 13 tahun, hingga menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.

Shalina Sundiri Abdullah, 42, mendera mangsa dengan menyimbah air panas, memukul menggunakan getah paip dan kayu besar serta memasukkan batang kayu mop dan cili padi ke dalam kemaluan kanak-kanak malang itu.

Hakim Siti Noraida Sulaiman memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bagi kelima-lima pertuduhan itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 7 Mei 2011.

Siti Noraida turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas bapa kanak-kanak itu selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa dengan memukulnya menggunakan kayu.

Shalina didakwa melakukan kesemua perbuatan itu ke atas mangsa di sebuah pangsapuri di sini, antara 25 Disember 2010 sehingga akhir April tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 326, Seksyen 324 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Bapa kanak-kanak malang itu yang berumur 40 tahun dan berasal dari Bentong, Pahang juga didakwa menyebabkan kecederaan fizikal ke atas mangsa di tempat dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, bapa kanak-kanak itu membawa anaknya tinggal bersama-sama dengan teman wanitanya pada cuti sekolah pada akhir tahun 2010.

Sepanjang berada di sana, Shalina mengarahkan kanak-kanak itu membuat kerja-kerja rumah dan tidak membenarkan mangsa ke sekolah selepas sesi persekolahan tahun berikutnya bermula.

Malah mangsa dipukul setiap hari oleh tertuduh atas alasan kanak-kanak itu tidak melakukan apa yang disuruhnya.

Pada masa sama, budak perempuan itu turut didera oleh bapa kandungnya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus.

Akhbar sebelum ini melaporkan penderaan ke atas kanak-kanak itu terbongkar apabila teman wanita bapanya menghantar mangsa ke satu pusat jagaan kanak-kanak di Taman Radzi di sini pada 6 Mei tahun lalu.

Kakitangan pusat itu ternampak kesan kecederaan pada kanak-kanak itu dan kemudian membuat laporan polis.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika melawat kanak-kanak itu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini pada Mei tahun lalu memberitahu pemberita bahawa mangsa perlu diberikan kaunseling secara berterusan berikutan trauma penderaan dahsyat ke atasnya. – BERNAMA

Bantu ibu, anak adegan terlarang – Metro


Bantu ibu, anak adegan terlarang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis kini mengesan seorang wanita yang sering dipaksa suaminya melakukan aksi seks termasuk di luar tabii di hadapan ketiga-tiga anaknya di ruang tamu rumah sejak tujuh tahun lalu.

Jurucakap JKM negeri berkata, pihaknya mahu mengumpul maklumat lengkap mengenai kejadian terbabit selain cuba memberi khidmat kaunseling dan perlindungan kepada mangsa berusia 30-an serta tiga anaknya berusia tujuh hingga 15 tahun.
Katanya, ketiga-tiga anak mangsa boleh dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menghalang mereka diperlakukan dengan kejam oleh bapa mereka.

 

“Mangsa yang juga isteri suspek juga boleh dilindungi di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang memberi perlindungan kepadanya daripada dianiaya suami walaupun tinggal sebumbung.
“Kami akan berjumpa mangsa bagi mendapatkan gambaran kejadian dan menyiasat kes ini sama ada dia serta anaknya benar diperlakukan sedemikian rupa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, pada masa sama, pihaknya perlu terlebih dulu mendapatkan laporan perubatan mangsa jika suaminya pernah melakukan hubungan seks di luar tabii ke atasnya.

 

 

Katanya, pihaknya juga akan berhubung dengan polis bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan siasatan bagi tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri (JPWN) Perlis, Muhamad Hazimin Jamaludin berkata, pihaknya bersedia untuk memberi khidmat kaunseling kepada mangsa jika dia bercerai, sekali gus bergelar ibu tunggal.

 

Selain itu, katanya, pihaknya akan membantu daripada segi sokongan moral dan bantuan sokongan perniagaan kepadanya bagi menampung kos kehidupan pada masa depan.
“Di Perlis, terdapat lebih 5,000 ibu tunggal berdaftar dengan JPWN bagi mendapat bantuan yang dimaksudkan.
“Kami bukan menggalakkan mangsa untuk bercerai, cuma mahu orang ramai tahu perceraian itu bukan satu perkara yang bermaksud pengakhiran bagi kehidupan seseorang wanita,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan seorang penjawat awam mengharungi neraka dunia apabila sering dipaksa suaminya melakukan aksi seks termasuk aksi luar tabii di hadapan ketiga-tiga anak mereka di ruang tamu rumah mereka.
Lebih menjijikkan, suami bernafsu binatang itu juga sudah merakam aksi ‘bersama’ mereka sejak dari malam pertama perkahwinan sehingga kini.

Perbicaraan kes bapa kurung anak 5 Mac – Bernama


Perbicaraan kes bapa kurung anak 5 Mac

2012/02/03

BUTTERWORTH: Mahkamah Majisteret di sini menetapkan 5 Mac ini untuk perbicaraan kes Tan Hooi Keong, 43, yang dituduh mengurung dua orang anaknya berusia enam dan dua tahun di dalam bilik air yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.

Majisteret Mohd Zamir Suhaimee membuat keputusan itu bagi membolehkan mahkamah memperoleh laporan perubatan kedua-dua kanak-kanak itu yang masih belum siap.

Tan menghadapi dua pertuduhan, yang pertama menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap Tan Ming Zhi, 6, dengan merantai kaki anak perempuannya itu dengan rantai besi dan mengurungnya di dalam bilik air pada 28 Disember 2011, antara 3 petang dan 8 malam.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap Tan Ming Han, 2, dengan merantai kaki anak lelakinya itu dengan rantai besi dan mengurungnya di dalam bilik air juga pada 28 Disember 2011 antara 3 petang dan 8 malam.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah nombor 21, Jalan Mawar, Taman Dahlia di sini.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun atau denda tidak kurang RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Masnuraznim Abdul Malik manakala Tan diwakili peguam bela Abdul Rahim Mohamed. – BERNAMA

JKM siasat dakwaan pelajar jadi ‘buruh’ – Metro


JKM siasat dakwaan pelajar jadi ‘buruh’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan siasatan terhadap dakwaan terdapat pelajar sebuah pusat tahfiz di Kedah dipergunakan untuk bekerja atau menjadi buruh di ladang kelapa sawit milik pengasasnya.

Ketua Pengarahnya, Hadzir Md Zain (gambar) berkata, kanak-kanak bawah usia 18 tahun dilindungi Akta Kanak-kanak 2001 yang tidak membolehkan mereka menjadi buruh dan siasatan akan dilakukan terhadap pihak terbabit seperti didakwa.
“Jika mendapat laporan daripada orang ramai, kita akan menyiasat segera mengikut maklumat diterima. Justeru, saya minta orang ramai memberikan maklumat yang boleh disalurkan melalui talian Nur termasuk dalam isu menjadikan kanak-kanak sebagai buruh.

 

“Jika perlu didakwa pihak terbabit, kita akan buat pendakwaan terhadap mereka,” katanya.