Pelajar 15 tahun import senjata tiruan – Metro


Pelajar 15 tahun import senjata tiruan

 148  1 Google +0  0  0

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

IPOH: Seorang pelajar berusia 15 tahun ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas disyaki mengimport lima senjata tiruan dari Amerika Syarikat, China dan Taiwan yang dibeli secara online dengan alasan untuk dijadikan koleksi peribadi.

Senjata api jenis M16, pistol Glock, Colt 45 automatik dan Air Rifle MP5 dikesan oleh anggota Unit Kastam Pos, JKDM, Cawangan Ipoh menerusi mesin pengimbas di Pejabat Pos Ipoh, tengah hari Sabtu lalu.

Pengarah Kastam negeri Datuk Mohd Nasir Said berkata, susulan rampasan pada pukul 12 tengah hari itu, pihaknya menahan remaja lelaki dari Kuala Kangsar mengikut Seksyen 116 Akta Kastam 1967 sebelum dilepaskan dengan jaminan.

“Lima senjata tiruan berkualiti tinggi itu dianggar bernilai RM2,043.90 dan duti terlibat ialah RM878.88. Kesemua senjata itu menyerupai senjata sebenar tetapi menggunakan peluru getah manakala Air Rifle itu menggunakan peluru tembaga.
“Remaja yang masih bersekolah itu telah dilepaskan dengan jaminan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Difahamkan remaja sekolah tingkatan tiga terbabit memperolehi wang dari ibu bapanya untuk membeli senjata api tiruan berkenaan.

Beliau berkata, lima senjata api yang dirampas itu adalah sebahagian daripada 10 unit senjata yang dirampas pasukan penguatkuasaan kastam negeri bagi tempoh Januari hingga Jun termasuk dua unit dirampas di Kompleks Bukit Berapit, Pengkalan Hulu manakala, tiga unit lain dikesan di pejabat pos negeri,” katanya.

Katanya, pihaknya memandang serius pengimportan tanpa permit senjata api tiruan berkenaan kerana ia bukan sahaja mampu mengancam keselamatan negara sebaliknya boleh disalah guna untuk tujuan jenayah.

Bekas guru seludup mercun, rokok – Sinar Harian


Bekas guru seludup mercun, rokok

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Ogos 2012
Bekas guru seludup mercun, rokok
Sebanyak 15 bungkusan mercun bola dirampas daripada suspek.

GERIK – Seorang bekas guru sanggup memandu kereta sejauh kira-kira 300 kilometer menyeludup 15 bungkus mercun bola dan 90 karton rokok untuk dijual di pasar malam di Sungai Petani, Kedah.

Bagaimanapun lelaki berusia 41 tahun yang berasal dari Bachok, Kelantan itu ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 4.2, Jalan Gerik-Kupang dekat sini pada jam 8.45 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, suspek menyumbat penuh but keretanya dengan mercun bola yang dibungkus plastik hitam supaya tidak mudah dikesan pihak berkuasa.

“Suspek ditahan dalam operasi mencegah kegiatan menyalahi undang-undang dan anggota kami mudah mengesan kesalahan lelaki itu kerana tidak membungkus kotak rokok dalam kereta.

“Pemeriksaan di but belakang keretanya pula mendapati sejumlah 15 bungkusan mercun bila pula disimpan. Hasil rampasan bernilai lebih RM5,000,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan membawa rokok seludup yang diambil melalui Rantau Panjang, Kelantan manakala, mercun bola pula diambil dari Kota Bharu.

“Suspek menjual rokok berkenaan dengan harga RM30 se-karton dan sebungkus mercun bola dijual dengan harga RM25 sebungkus berikutan ada permintaan tinggi di sana.

“Suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini dan akan dikenakan dua tuduhan kes,” katanya.

Abdul Manab berkata, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 bagi kes mercun dan kes rokok pula di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang-barang belum cukai.