Resolusi mantapkan sistem pendidikan negara – Bernama


Resolusi mantapkan sistem pendidikan negara
21 Ogos 2013
  • Abu Shah
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu bersikap tegas dalam mempertimbangkan desakan dan tuntutan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak tertentu yang menyentuh sistem pendidikan negara, menurut seorang tokoh akademik.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tan Sri Ibrahim Abu Shah berkata ini penting bagi memastikan permintaan berkenaan adalah selaras dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan mematuhi Akta Pendidikan 1996.

Langkah ini perlu demi kepentingan negara, perpaduan kaum dan masa depan generasi akan datang, kata beliau yang mempengerusikan bengkel prakongres perdana pendidikan kebangsaan bertajuk ‘Sistem Pendidikan Berkesan Pembina Peradaban dan Nilai Budaya’ di sini hari ini.

Bengkel berkenaan merumuskan tujuh resolusi, yang akan dibentangkan pada Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan, 27 Ogos ini.

Resolusi yang digariskan antaranya adalah melihat kepada objektif pendidikan, menyokong penuh Pelan Pembangunan Pendidikan, menolak desakan yang tidak menyokong Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996 serta penekanan kepada standard nasional, peranan guru dan memperkasa sekolah kebangsaan.

Menjelaskan lanjut resolusi berkenaan, Ibrahim berkata dasar pendidikan negara mesti melihat kembali kepada matlamat utama iaitu membentuk perpaduan kaum bermula di peringkat sekolah.

Mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan, penambahbaikan perlu dilakukan dan beberapa kelemahan perlu diteliti serta diperbetulkan di samping melakukan pemantauan terhadap sistem pendidikan, katanya.

“Mesti ada satu jentera pelaksanaan yang mantap untuk pastikan pelaksanaan dijalankan dengan sesungguhnya tanpa mengingkari Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.

Ibrahim berkata dalam memartabatkan sistem pendidikan negara, kerajaan tidak boleh sentiasa bertolak-ansur dengan pihak tertentu kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat majmuk negara ini.

Katanya kerajaan juga tidak perlu terlalu mengikut standard pendidikan antarabangsa kerana di peringkat nasional, negara mempunyai acuan tersendiri bagi menyelesaikan masalah dalam pembangunan pendidikan negara.

Kerajaan perlu memperkasa sekolah kebangsaan supaya ia lebih menarik minat semua kaum demi mencapai matlamat pendidikan negara untuk membentuk perpaduan di peringkat akar umbi, katanya. – Bernama

Pendidikan Cina diiktiraf – Utusan


Pendidikan Cina diiktiraf

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia merupakan satu-satunya negara di luar China yang mengiktiraf pendidikan Cina sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Namun, menurut Perdana Menteri, masyarakat sering mengambil mudah fakta itu walaupun jelas tiada negara lain khususnya di rantau ini yang mengiktiraf sistem pendidikan Cina kecuali Malaysia.

Malah, Najib menegaskan, beliau pernah menarik semula peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996 yang memberi kebenaran kepada menteri menukar sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) kepada sekolah kebangsaan ketika memegang jawatan Menteri Pelajaran.

“Apa yang dilakukan itu merupakan tanda komitmen dan keikhlasan kita mengiktiraf sistem pendidikan Cina, seterusnya meletakkannya di dalam sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Melody FM Morning Boss terbitan Melody FM iaitu stesen radio berbahasa Cina kedua di bawah rangkaian radio Astro di All Asia Broadcast Centre di Taman Teknologi Malaysia, di sini hari ini.

Program yang ke udara pada pukul 8 pagi itu dikendalikan deejay Chui Ling dan Jentzen Lim.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, kerajaan juga mengiktiraf kewujudan 60 sekolah menengah persendirian Cina yang terdapat di negara ini.

Katanya, sekolah-sekolah itu turut mengambil peperiksaan awam seperti sekolah-sekolah lain.

Dalam program radio itu juga, Najib turut menjelaskan kedudukan terkini permohonan pembinaan sekolah menengah persendirian Cina di Kuantan, Pahang seperti yang dituntut komuniti di kawasan tersebut.

“Kita bersetuju dengan permohonan itu tetapi menetapkan semua pelajar wajib mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan jika pelajar mahu mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), itu terpulang kepada mereka,” katanya.

Menjawab soalan seorang pemanggil, Najib berkata, kerajaan menyediakan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk membangunkan SJKC di seluruh negara.

Selain itu, tambah beliau, kerajaan turut menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar terbaik UEC selain menyelesaikan segera isu kekurangan guru di SJKC.

Dalam pada itu, Najib turut melahirkan harapan melihat masyarakat Cina di negara ini fasih berbahasa Melayu.

Sementara itu, kerajaan mempelawa pemaju perumahan swasta menjalin kerjasama bagi membolehkan lebih banyak golongan pertengahan serta berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri di bawah program model kedua rumah mampu milik.

Najib berkata, berdasarkan model itu, kerajaan sedia menanggung sebahagian kos prasarana yang sebelum ini ditanggung sepenuhnya pemaju bagi membolehkan pemaju menjual rumah di bawah harga pasaran.

“Untuk tujuan ini, saya telah meminta pihak Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mengadakan perbincangan dengan pemaju perumahan swasta supaya mereka boleh membina rumah-rumah yang boleh dijual di bawah harga pasaran,” katanya.

Kerajaan sebelum ini memperkenalkan program rumah mampu milik khusus untuk golongan pertengahan dan berpendapatan rendah. Projek itu dibina sepenuhnya oleh PR1MA dan Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) di lokasi-lokasi utama seluruh negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, rumah mampu milik yang bakal dibina PR1MA dan SPNB dijangka berada di pasaran dua tahun lagi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121018/po_02/Pendidikan-Cina-diiktiraf#ixzz29cnHMTAl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Muhyiddin: Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan akan laksana KBSM – Bernama


Muhyiddin: Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan akan laksana KBSM

27 September 2012

KUALA LUMPUR – Sekolah Menengah Chong Hwa, Kuantan yang telah diluluskan sebagai institusi pendidikan swasta pada 26 Julai lepas, akan menjalankan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) seperti yang termaktub dalam surat kelulusan dan permohonan asal.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pada masa yang sama, sekolah itu ada melaksanakan kurikulum di luar kurikulum kebangsaan yang ditentukan oleh pihak sekolah.

Katanya kewujudan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) diberi “status quo” mengikut peruntukan Seksyen 151, Akta Pendidikan 1995 selari dengan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran semasa membentangkan Rang Undang-undang Pendidikan 1995 pada 18 Disember tahun itu.

“Sejak Akta Pendidikan 1996 berkuatkuasa, semua SMPC dikawal selia oleh Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pelajaran Malaysia.

“Kewujudan 60 buah SMPC adalah berdasarkan latar belakang sejarah di mana setelah Akta Pelajaran 1961 berkuatkuasa, sebahagian sekolah-sekolah menengah Cina memilih untuk menjalankan kurikulum kebangsaan lalu digelar sebagai Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) atau sekolah conforming manakala selebihnya berdikari menjadi SMPC,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) mengenai status sebenar Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan serta sama ada SMPC hanya kekal sejumlah 60 buah sepertimana yang ada sekarang. – Bernama

Mahasiswa dan peduli pendidikan – Sinar Harian


Mahasiswa dan peduli pendidikan
MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH
11 Jun 2012
FALSAFAH Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta 550 – Akta Pendidikan 1996 dengan jelas menyatakan: “Pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan”. Frasa ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai definisi pendidikan yang ditunjangi falsafah yang tersendiri dan termaktub secara rasmi dalam undang-undang negara.

Walau bagaimanapun, sistem dan pengamalan pendidikan nasional dilihat masih di takuk yang kurang memberangsangkan. Isu-isu berkaitan pendidikan, persekolahan, perguruan, keciciran pelajar dan prestasi yang memalukan mengikut piawaian antarabangsa dilihat sebagai sesuatu petanda kemerosotan dan masalah besar sistem pendidikan negara.

Dalam usaha mentransformasi sistem pendidikan negara, Kementerian Pendidikan kini mengambil inisiatif mengadakan dialog nasional pedidikan negara yang diadakan di seluruh negara bagi memungut suara dan pendapat rakyat Malaysia nerhubung isu pendidikan. Keprihatinan dan usaha Kementeroan Pelajaran ini wajar dipuji, namun mahasiswa dan pelajar tidak mahu perbincangan seluruh negara ini sekadar menjadi suatu sandiwara tanpa tindakan yang konkrit dan menguntungkan.

Mengambil peluang daripada inisiatif Kementerian Pelajaran ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah menganjurkan Diskusi Meja Bulat isu Halatuju Pendidikan Nasional dan Masa Depan Negara. Diskusi tidak hanya tertumpu kepada isu pendidikan melibatkan persekolahan malah menjangkau isu di Institut Pengajian Tinggi dan keseluruhan sistem berkaitan seperti ekonomi dan sistem sokongan sosial.

Diskusi Meja Bulat ini telah diadakan pada 10 Jun 2012 bertempat di Kolej Dar al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam, Kajang Selangor.

Diskusi ini dihadiri oleh wakil-wakil Persatuan Pelajar Islam negeri-negeri seluruh Malaysia. Persatuan-persatun yang terlibat dalam diskusi ini ialah Persatuan Pelajar Islam Selangor (Pepias), Persatuan Pelajar Islam Wilayah Persekutuan (PPIWP), Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP), Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ), Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Pulau Pinang (PEMBIMBING), Ikatan Pelajar Islam Pahang (IKATAN), Persatuan Pelajar Islam Darul Aman, Kesatuan Pelajar Islam Terengganu, Persatuan Pelajar Islam Kelantan, Persatuan Pelajar Islam Melaka, Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan dan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak.

Pelbagai dapatan dan cadangan diterima daripada para perwakilan meja bulat. Antara isu hangat yang dibincangkan ialah isu pendidikan Islam, tulisan jawi dan bahasa kebangsaan, pendidikan untuk golongan kurang upaya, pendidikan jasmani, pendidikan berteraskan prinsip Sembilan Kebijaksanaan, pendidikan guru, pengisian Latihan Dalam Perkhidmatan, bebanan subjek, peranan masyarakat, pengkomoditian ilmu, politisasi dalam institusi pendidikan dan lain-lain lagi.

Diskusi Meja Bulat ini diharap dapat membantu pihak Kementerian Pelajaran untuk menggubal sistem pendidikan sedia ada yang dilihat sedang tenat dan memerlukan transformasi segera.
Mohammad Fazril Mohd Saleh, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia