Calon SPM maut dalam kemalangan di Bayan Lepas – Bernama


Calon SPM maut dalam kemalangan di Bayan Lepas

9 September 2012

GEORGE TOWN – Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Bukit Belah, Bayan Lepas hari ini.

Nur Syazana Azeme, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di kepala.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md. Zin berkata kejadian pukul 7.30 pagi itu turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal cedera parah.

Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu laju dari arah Balik Pulau cuba memotong sebuah lori, namun pemandu kereta itu gagal mengawal kenderaannya lalu bertembung dengan dua motosikal dari arah bertentangan, katanya ketika dihubungi, di sini.

“Kemalangan itu menyebabkan motosikal yang dinaiki Nur Syazana terpelanting sementara sebuah lagi motosikal yang dinaiki lelaki berusia 40-an terbabas dan terperosok di bahagian hadapan lori berkenaan,” katanya.

Beliau berkata lelaki itu dikejarkan ke Hospital Balik Pulau untuk mendapat rawatan.

Hatta berkata pemandu kereta itu kemudian menyerah diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. – Bernama

Remaja maut, motosikal rempuh kereta ketika merempit – Bernama


Remaja maut, motosikal rempuh kereta ketika merempit

24 Julai 2012
BUKIT MERTAJAM – Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal yang ditunggang memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Merah, Permatang Pauh, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ASP S. Manogaran berkata Aqmar Azwar Zulkifli, 16, dari Taman Ara Indah di sini, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan pukul 10.40 malam itu.

Remaja itu dipercayai menunggang dengan laju bersama sekumpulan rakan apabila motosikalnya memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan kereta tersebut, katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Manogaran berkata pelajar itu juga tidak memiliki lesen memandu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 41 (1)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Bernama