Ustaz mengaku bersalah sebab kematian pelajar – Bernama


Ustaz mengaku bersalah sebab kematian pelajar

2012/03/06

ALOR SETAR: Seorang ustaz mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap tuduhan pilihan menyebabkan kematian pelajar Tahun Satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, tahun lalu.

Hanif Mohd Ali, 28, mengaku melakukan perbuatan itu di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau, Perlis pada 31 Mac 2011 antara 6 petang dan 12 tengah malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun.

Sebelum ini, Hanif dituduh mengikut Seksyen 302 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pertuduhan itu dipinda kepada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan ketika mahkamah memberikan keputusan di akhir kes pendakwaan semalam.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab berkata, keterangan pihak pendakwaan cukup untuk mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Mohd Zaki berkata, keputusan hukuman terhadap Hanif akan ditetapkan esok kerana pihaknya memerlukan masa untuk berbuat demikian.
Hanif, ketika merayu kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman yang ringan, memohon maaf kepada semua yang terbabit kerana tindakannya menyusahkan banyak pihak.

Hanif yang kelihatan sebak dan menitiskan air mata juga memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman yang selayaknya ke atas dirinya agar dia berpeluang
untuk memperbaiki diri serta bertaubat.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, pula memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh walaupun dia mengaku bersalah kerana mengambil kira kepentingan awam dalam kes itu.

“Mangsa seorang kanak-kanak berusia 7 tahun, baru tiga bulan menuntut di sekolah dan masih boleh dilentur. Tertuduh sudah menyalah guna kuasa, mangsa sepatutnya dididik bukan didera, tiada agama yang membenarkan penderaan untuk mendidik.

“Mangsa dikatakan mencuri namun hukuman terhadapnya tidak setimpal. Mangsa diikat, dipukul dan dicekik hingga kekurangan oksigen dalam otak yang menyebabkan kematiannya,” katanya.

Noorin berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat serius dan hukuman setimpal adalah perlu bagi menunjukkan kebencian terhadap kesalahan yang dilakukan.

Selain Noorin, pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Najib Zakaria, Nadia Hanim Mohd Tajuddin dan Azhar Mokthar, manakala tertuduh diwakili lima peguam terdiri daripada Arif Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri. – BERNAMA

Ustaz sebabkan kematian pelajar dipanggil bela diri – Bernama


Ustaz sebabkan kematian pelajar dipanggil bela diri

5 Mac 2012

ALOR SETAR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang ustaz membela diri esok (Selasa) terhadap tuduhan menyebabkan kematian pelajar Saiful Syazani Saiful Sopfidee, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab memerintahkan tertuduh Hanif Mohd Ali, 28, membela diri terhadap tuduhan menyebabkan kematian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat.

Sebaliknya mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan menyebabkan kematian Saiful Syazani, 7, di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Hanif dituduh melakukan kesalahan itu di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau, Perlis pada 31 Mac 2011 antara pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.

Dalam kejadian itu, Saiful Syazani koma selama tiga hari sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pukul 5.40 pagi pada 3 April 2011 selepas dikatakan dipukul oleh warden berkenaan ketika menyiasat satu kes curi di asrama sekolah itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu Najib Zakaria, Nadia Hanim Mohd Tajuddin dan Azhar Mokthar manakala tertuduh diwakili oleh lima peguam terdiri daripada Arif Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri.- Bernama