Sebak kenang kawan – Metro


Sebak kenang kawan

Oleh MOHD HELMI IRWADI MOHD NOR
mohdhelmi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Biarpun lebaran tahun ini disambut meriah, namun mengenangkan 11 rakan yang sudah tiada, ia sesuatu yang memilukan,” kata Muhammad Awie Abdul Latif, 13, penghuni Rumah Anak Yatim dan Hidayah Al-Hijrah (Rayda Hijrah) yang dahulunya dikenali sebagai Madrasah At-Taqwa, Hulu Langat, di sini.

Muhammad Awie yang ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri Dusun Tua, Ismail Sani di Padang Pekan Batu 14, Hulu Langat, semalam, berkata, dia masih terkenangkan kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa 11 rakannya, Mei tahun lalu.
“Saya sebak mengenangkan rakan yang tiada, apa lagi ketika meraikan sambutan Aidilfitri. Saya sangat merindui mereka,” katanya.

 

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil itu berkata, sudah dua kali Aidilfitri diraikan selepas kejadian itu, namun setibanya lebaran, perasaan sedih semakin bertambah.
“Saya seronok berhari raya, mendapat pakaian dan duit raya, tapi semua ini tidak dapat dikongsi bersama 11 rakan yang sudah tiada,” katanya.
Berkongsi pengalaman rayanya, anak yatim tujuh beradik itu berkata, tahun ini dia meraikan lebaran bersama ibu, abang, kakak dan adiknya di rumah mereka di Kajang.

 

 

“Raya tahun ini sangat seronok berbanding tahun lalu kerana banyak sumbangan dan duit raya diterima,” katanya.
Zulkhairi Aminuddin, 14, yang juga pelajar SMK Abdul Jalil berkata, pengalaman belajar di Rayda Hijrah sesuatu yang menggembirakan kerana dia dan rakan menuntut ilmu dunia dan akhirat.

 

“Saya dihantar ke Rayda Hijrah kerana degil tapi bersyukur diri ini sudah berubah dan ibu bapa turut gembira dengan perubahan ini,” katanya.
Pengetua Rayda Hijrah, Khairrul Anwar Mohd Amin berkata, nama madrasah itu ditukar kerana pihaknya mewujudkan pentadbiran baru.
Katanya, selepas kejadian tanah runtuh, mereka ditempatkan di Lembah Azwin Resort selama seminggu sebelum dipindahkan sementara di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
“Baru-baru ini, kami diberi penempatan baru di Lot 833, Jalan Semungkis, sehubungan itu tindakan mengubah nama madrasah turut dibuat,” katanya yang memberitahu 31 pelajar kini di bawah jagaannya. Ismail berkata, program tahunan itu dibuat bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri dan pelbagai kunjungan kaum diterimanya.

Syiling 50 sen dalam perut anak – Metro


Syiling 50 sen dalam perut anak

Oleh MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN
anbia@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Sepasang suami isteri pucat lesi apabila anak kecil mereka yang berusia enam tahun menelan sekeping syiling 50 sen.

Lebih membimbangkan apabila syiling itu didapati masih tersangkut di usus perutnya sejak lapan hari lalu walaupun pelbagai cara dilakukan untuk mengeluarkannya.
Ibu mangsa yang juga produser rangkaian televisyen Al-Hijrah, Harlida Abu Bakar, 37, berkata, anaknya Ilhan Hadiff Isnawan, 6, menelan syiling itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari tadika pada 19 Januari lalu.

 

Menurutnya, suaminya, Isnawan Lamidi, 37, yang memandu kereta terkejut apabila anaknya tiba-tiba memberitahu menelan syiling yang ditemui di dalam kereta.
“Panik dengan apa yang berlaku, suami berusaha mengeluarkan syiling itu dengan menjolok tekak Ilhan.
“Malangnya, syiling itu melepasi tekaknya sebelum jatuh ke perut. Kami bimbang syiling itu boleh menyebabkan keracunan atau saluran usus tersumbat,” katanya.

 

 

Menurutnya, dia dan suami kemudian segera membawa anak mereka ke sebuah hospital swasta di sini untuk menjalani ujian X-Ray sebelum mendapati syiling itu masih melekat di perutnya.
“Doktor kemudian memberikan ubat bagi membolehkan anak saya membuang air besar bersama syiling itu, namun ia masih terperangkap di dalam perutnya.

 

“Doktor memberitahu syiling itu perlu dikeluarkan dari tubuh anak saya berikutan bimbang ia boleh menyebabkan keracunan atau berak berdarah,” katanya.
Dia berkata, anaknya bagaimanapun tidak membuang air besar selama empat hari, menyebabkan mereka bimbang walaupun mendapati kesihatannya tidak terjejas.
“Doktor menasihati kami supaya segera membawanya mendapatkan rawatan jika Ilhan mengadu sakit perut atau tanda-tanda lain yang membimbangkan,” katanya.
Harlida berkata, dia bagaimanapun yakin syiling itu dapat dikeluarkan dari perut anaknya tidak lama lagi berdasarkan kenyataan doktor pakar ditemui kelmarin.