Alasan anak jatuh elak kes dera dikesan – Metro


Alasan anak jatuh elak kes dera dikesan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Terjatuh ketika meraikan Aidilfitri dan cuba mendisiplinkan anak hingga lebam seluruh badan dijadikan alasan dua keluarga berasingan ketika disoal siasat polis serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kedua-dua kes itu membabitkan dua kanak-kanak lelaki, masing-masing berusia dua dan tujuh tahun, mereka dipercayai didera keluarga masing-masing hingga lebam di muka selain seluruh badan.
Dalam kes pertama, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun menangis tanpa henti dipercayai akibat dipukul bapanya menyebabkannya mengalami puluhan kesan lebam di seluruh badan.

 

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, mangsa yang tinggal bersama bapa berusia 41 tahun dan ibu tirinya di Taman Sri Skudai, di sini, didapati menjadi mangsa dera sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, bapa kanak-kanak itu yang bekerja sebagai pemandu teksi memberi alasan mahu mendisiplinkan mangsa yang nakal hingga bertindak memukulnya.
“Perbuatan lelaki itu melampaui batas apabila memukul anak hingga cedera dan mengakibatkan mangsa menangis tanpa henti.

 

 

“Jiran yang terdengar tangisan mangsa membuat laporan polis sebelum kami meninjau rumah mangsa.
“Siasatan mendapati, banyak kesan lebam dan luka di seluruh badan hingga mangsa menjadi agak lemah,” katanya.

 

Menurut Eng Lai, mangsa diselamatkan polis sebelum dirujuk ke HSA bagi menjalani rawatan, manakala bapa kanak-kanak itu ditahan bagi membantu siasatan.
“Polis masih menunggu laporan perubatan daripada HSA berkaitan keadaan mangsa sama ada mengalami pendarahan dalaman atau sebaliknya,” katanya.
Dalam kes berlainan, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Manayi Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan satu kes dera membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.
Hasil siasatan, katanya, ibu kanak-kanak itu lingkungan 20-an mendakwa anaknya terjatuh ketika mereka pulang ke Melaka untuk menyambut Aidilfitri.
“Bagaimanapun, kenyataan wanita itu meragukan kerana sambutan Aidilfitri hampir dua minggu berlalu, manakala kesan lebam di muka, mata dan mulut kanak-kanak itu agak baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08