Pelajar bawa telefon galak kes kecurian – Metro


Pelajar bawa telefon galak kes kecurian
KUALA LUMPUR: Meskipun cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah akan disertakan beberapa syarat jika dikuatkuasakan, ia dikhuatiri tetap mendatangkan implikasi buruk berbanding kebaikan, termasuk kemungkinan melahirkan pesalah juvana.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata telefon bimbit adalah alat komunikasi yang mempunyai nilai pasaran tertentu, sekali gus memberi peluang kepada pelajar memilikinya meskipun ada antara mereka tiada berkemampuan.
“Kita tidak boleh menafikan risiko berlaku kecurian jika pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit. Mungkin ada pelajar berminat terhadap telefon bimbit milik rakan mereka tetapi dia tidak mampu membeli.

“Kecenderungan untuk mereka mencuri lebih tinggi. Guru dan pengurusan sekolah tidak mampu menangani masalah disiplin pelajar yang ketika ini pun dibebani pelbagai kerenah termasuk salah laku, buli dan ponteng.
“Bagi pihak kami, biarlah satu cadangan itu difikirkan secara lebih mendalam dan terperinci bagi mengelak masalah lebih besar,” katanya di sini, semalam.
Lee berkata, kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong kelmarin bahawa keputusan mengenai cadangan itu akan dibuat akhir tahun ini sedikit sebanyak melegakan semua pihak.

Bawa telefon, iPad ke sekolah – Utusan


Bawa telefon, iPad ke sekolah

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 16 Julai – Kementerian Pelajaran sedang merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang akan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya bagaimanapun akan menetapkan garis panduan yang mengawal penggunaan alat komunikasi tersebut bagi mengelakkan ia mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di kelas.

Menurutnya, keputusan untuk membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah adalah selari dengan perkembangan semasa serta mengambil kira faktor keselamatan pelajar.

”Sebelum ini, para ibu bapa pernah beberapa kali meminta Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, ini bagi membolehkan mereka mengawasi pergerakan anak mereka,” katanya.