Hanya 29 murid tapi cemerlang – Metro


Hanya 29 murid tapi cemerlang

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: “Besar atau kecil (bilangan murid) di sekolah tidak menjadi masalah, yang penting usaha kita… tanpa komitmen memang tidak boleh dicapai, jika berjaya ia atas kerjasama semua pihak termasuk guru besar, guru, ibu bapa, pekerja, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan murid, semua harus sehaluan,” kata R Paramaswary, guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Rem, Johor yang diiktiraf Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) kohort empat, di sini, semalam.

SJKT Ladang Rem yang ditubuhkan pada 1935 dan hanya mempunyai 29 murid adalah SJKT pertama di negara ini diiktiraf sebagai SBT sejak program berkenaan diwujudkan pada 2010.
Paramaswary berkata, sebagai guru besar yang sudah enam tahun menyandang jawatan itu, beliau amat berbangga kerana sekolah berkenaan diiktiraf sebagai SBT, dan kejayaan itu diperoleh hasil sokongan daripada semua pihak.

 

“Saya berhasrat menjadikan SJKT Ladang Rem sebagai Sekolah Bestari supaya menjadi model kepada sekolah lain. Walaupun jumlah pelajar sedikit, tetapi saya rasa kami boleh melakukannya.
“Setakat ini, kita tidak berdepan dengan masalah atau halangan, kalau membabitkan murid-murid itu biasa saja, saya terima (tingkah laku mereka) sebagai kenakalan bukan jahat dan kita boleh atasinya sebagai mana kita lakukan kepada anak-anak sendiri,” katanya.
Paramaswary berkata, sekolah berkenaan sepatutnya boleh memuatkan 50 murid, tetapi secara purata pihak sekolah hanya menerima sekitar 29 murid saja setiap tahun.

 

Katanya, ketika ini pihaknya sedang dalam usaha memindahkan sekolah ke taman berhampiran, memandangkan kedudukannya ketika ini berada kira-kira enam kilometer (km) di dalam kawasan ladang.
Sementara itu, guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1) Suhaimi Ali Ahmad berkata, selepas tiga tahun diverifikasi sebagai SBT, akhirnya sekolah terbabit tersenarai dalam SBT bagi kohort empat.

 

“Saya mewakili sekolah amat bangga kerana dapat melakar satu sejarah untuk sekolah. Sebenarnya ini kali ketiga kami diverifikasi, pertama pada 2011 tidak berjaya, kedua pada 2012 dan tahun ini Alhamdulillah kami dapat menempatkan diri dalam kumpulan SBT. katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/19

Majlis khatan beramai-ramai imarahkan masjid – Bernama


Majlis khatan beramai-ramai imarahkan masjid

13 November 2012

SUNGAI PETANI – Kesedaran bahawa masjid tidak hanya berfungsi sebagai tempat umat Islam melakukan ibadat solat mendorong penduduk di Kampung Sungai Pasir di sini menganjurkan majlis khatan beramai-ramai di  masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Muhibbuddin di kampung itu, Ali Ahmad berkata program julung kali tersebut mendapat kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA) dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

“Masjid ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuklah dewan khas untuk penganjuran aktiviti kemasyarakatan, justeru fungsinya perlu diperluas, tidak hanya memfokus kepada ibadat solat semata-mata.

“Dengan adanya program seperti ini, ia bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat sebaliknya mengimarahkan lagi masjid ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Wakil MRA, Dr Mohd Saifullah Alhany Abdul Halim pula berkata program itu adalah yang kedua bagi MRA tahun ini dengan tujuan menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat setempat.

“Untuk program hari ini, lebih 20 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun selamat dikhatankan dengan bantuan tujuh doktor serta dibantu lebih 15 sukarelawan dan anggota MRA,” katanya. – Bernama