Siasat menyeluruh bagi elak disalah tafsir – Metro


Siasat menyeluruh bagi elak disalah tafsir
KUALA LUMPUR: “Pihak sekolah seharusnya menjalankan siasatan dengan lebih menyeluruh bagi mengelak ia disalah tafsir hingga menjejaskan imej sekolah itu sendiri,” kata Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Ali Hassan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar ini semalam mengenai tindakan seorang kerani sekolah dengan niat bergurau mengacah playar di kemaluan dua murid akibat membuat bising.
Namun, salah seorang murid itu mendakwa kemaluannya cedera terkena alat pertukangan itu lalu membuat laporan polis.

Ali berkata, bagi menyelesaikan perkara itu dengan adil, pertimbangan sewajarnya perlu diambil khususnya membabitkan kenyataan kedua-dua belah pihak.
Menurutnya, sekiranya kerani terbabit benar-benar bersalah, pihak sekolah mungkin boleh mengenakan tindakan kepada kakitangan sokongan itu antaranya memberi sesi kaunseling, mengikuti program pemulihan dan pemutihan.
“Walau apa juga masalah timbul, pihak pengurusan tidak boleh mengambil tindakan melulu seperti apa yang dilakukan kerani itu. Dia seharusnya melalui saluran yang betul untuk menangani masalah terbabit seperti memberitahu guru disiplin ataupun pengetua,” katanya.

NGO tolak kaedah beri markah 10 peratus – Berita Harian


NGO tolak kaedah beri markah 10 peratus

Oleh Suzalina Halid
suzalina@bharian.com.my
2012/05/22

Minta kaji semula pertandingan tulis surat 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) pendidikan tidak bersetuju kaedah pemberian 10 peratus markah penilaian kokurikulum sekolah kepada peserta pertandingan menulis surat 1Malaysia.

Ia memberi jalan pintas kepada pelajar memperoleh markah maksimum dalam kokurikulum tanpa perlu membabitkan diri dalam aktiviti lain.

Aktiviti kokurikulum membabitkan empat bidang termasuk sukan, badan beruniform, persatuan seni dan ilmu. Jadi, jika ia hendak dilaksanakan juga, sepatutnya markah diberikan adalah satu per empat daripada 10 peratus supaya pelajar boleh membabitkan diri melalui tiga aktiviti lain dan tidak bertumpu pada cabang itu saja. – Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN)

Sehubungan itu, mereka meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula perkara itu kerana ia bakal mendatangkan masalah kepada pihak sekolah dalam menggalakkan pelajar terbabit dalam semua aktiviti kokurikulum.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, berkata pemberian markah itu juga disifatkan terlalu tinggi berikutan hanya membabitkan satu cabang kokurikulum.

“Aktiviti kokurikulum membabitkan empat bidang termasuk sukan, badan beruniform, persatuan seni dan ilmu. Jadi, jika ia hendak dilaksanakan juga, sepatutnya markah diberikan adalah satu per empat daripada 10 peratus supaya pelajar boleh membabitkan diri melalui tiga aktiviti lain dan tidak bertumpu pada cabang itu saja.

“Perkara ini juga harus diperjelaskan semula supaya tidak menimbulkan kekeliruan kepada pelajar dan tidak bertentangan dengan hasrat untuk melihat pelajar aktif dalam bidang kokurikulum secara keseluruhan termasuk sukan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Pos Malaysia menganjurkan pertandingan menulis surat 1Malaysia bermula 1 April lalu dan pelajar yang mengambil bahagian akan menerima 10 peratus daripada markah penilaian kokurikulum sekolah bagi menghargai penyertaan mereka dalam program itu.

Ia terbuka kepada semua pelajar di seluruh negara berusia 9 hingga 17 tahun dengan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 menanti pemenang dalam bentuk Sijil Simpanan Premium.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata penghargaan bagi peserta pertandingan itu seharusnya tidak membabitkan pemarkahan pelajar dalam sistem persekolahan, sebaliknya lebih baik jika difokuskan kepada ganjaran lain dalam bentuk fizikal.

Pada masa sama, katanya, pemberian 10 peratus itu juga disifatkan tidak adil bagi pelajar lain yang terpaksa berkorban masa dan tenaga memperoleh markah maksimum melalui aktiviti sukan, berbanding peserta pertandingan itu.