Perlu jalani fisioterapi intensif – Sinar Harian


Perlu jalani fisioterapi intensif
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Julai 2012

Tabung Adik Adam
SHAH ALAM – Pesakit tumor saraf tunjang, Adam Akbar Ali,10, perlu menjalani fisioterapi secara intensif bagi memastikan keadaannya pulih dan kembali normal.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, selain fisioterapi, Adam juga perlu rehat secukupnya bagi memulihkan tenaga hilang sebelum ini.

” Setiap pagi kami bawanya ke hospital dan sebelah petang Adam disaran melakukan aktiviti ringan.

“Sokongan rakan sebaya dan sukarelawan di Childrens House, Johns Hopkins juga banyak membantu Adam menyemarakkan semangatnya,” katanya menerusi e-mel kepada Sinar Harian, semalam.

Adam yang menjalani pembedahan 22 Jun lalu diketuai Pakar Neuro, Dr Geore Jallo dijangka pulang apabila keadaannya pulih.

Akbar berkata, mereka sekeluarga juga dikunjungi adiknya dan keluarga sebelah mentua yang kini menetap di Texas, Amerika Syarikat.

Adam tenang menanti pembedahan – Sinar Harian


Adam tenang menanti pembedahan
WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Jun 2012

Tabung Adik Adam
SHAH ALAM – Beberapa jam sebelum jalani pembedahan, Adam Akbar Ali, 10, tenang dan seakan sudah bersedia melalui operasi tersebut.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin berkata, anaknya itu tidak menunjukkan rasa takut, malah lebih bersedia daripada kedua orang tuanya.

“Saya bersyukur kerana Adam tidak gentar malah tidak sabar dibedah.

Mungkin setelah tiga kali memasuki dewan bedah, dia sudah biasa.

“Walaupun bimbang, tapi kami berharap semuanya berjalan seperti yang dirancang. Saya bersyukur kerana Adam sentiasa positif.

“Saya serahkan semuanya kepada ALLAH. Hanya doa dan mohon diberi kesenangan dalam operasi ini serta Adam dapat menjalani kehidupan seperti biasa selepas ini,” katanya menerusi kiriman e-mel kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, mengikut laporan doktor pakar yang mengendalikan kes Adam iaitu Dr George Jallo, pembedahan akan mengeluarkan 90-95% tumor di saraf tunjangnya pada tahap risiko yang minima.

“Insya-ALLAH, selepas ini, Adam akan sembuh walaupun perlu menjalani rawatan susulan,” katanya.