Remaja Perempuan Dipaksa Lakukan Seks Dengan Individu Tidak Dikenali – mStar


Remaja Perempuan Dipaksa Lakukan Seks Dengan Individu Tidak Dikenali

Oleh R.S.N. MURALI

MELAKA: Seorang lagi remaja perempuan dari Masjid Tanah mendakwa dirinya hampir dijadikan pelacur oleh kenalan lelakinya.

Insiden berkenaan berlaku hanya tiga minggu selepas seorang bapa merempuh masuk ke dalam sebuah rumah untuk menyelamatkan anak perempuannya yang berusia 13 tahun daripada menjual dirinya sebagai hamba seks.

Dalam laporan polis tersebut, remaja perempuan Tingkatan Dua itu mendakwa kenalan lelakinya mengugut untuk menjualnya sebagai pelacur di Thailand sekiranya dia enggan melayan beberapa rakan lelakinya.

Remaja tersebut mendakwa kejadian itu berlaku pada pukul 3 pagi 3 Ogos lalu, ketika dia sedang bersiar-siar di sebuah resort di Pengkalan Balak, Alor Gajah bersama-sama dengan kenalan lelakinya yang hanya dikenali dengan panggilan Gemok.

Gemok kemudiannya menyerahkan remaja berkenaan kepada tiga orang individu yang tidak dikenali.

Mereka kemudiannya membawa mangsa ke sebuah lagi chalet sebelum merogolnya. Suspek mendakwa mereka telah membayar sejumlah wang kepada Gemok untuk mendapatkan perkhidmatan seks daripada remaja perempuan berkenaan.

Ketika dihubungi saudara remaja perempuan tersebut berkata mangsa mengaku dirinya telah melakukan kesilapan yang cukup besar kerana dengan mengikut Gemok pada malam kejadian.

“Kami telah membuat laporan polis dan biar siasatan mengesahkan sama ada Gemok terlibat dengan sebarang sindiket pelacuran di Thailand,” katanya.

Dalam laporan polisnya, mangsa mendakwa dia dirogol. Tidak diketahui sama ada dia diberikan dadah sama seperti kes terhadap remaja yang dilaporkan berlaku di Merlimau,

Pada 7 Ogos lalu, The Star melaporkan, seorang lelaki berusia 47 tahun berjaya menyelamatkan anak perempuannya yang bersuai 13 tahun daripada menjadi pelacur pada 26 Julai lalu selepas lelakinya yang berusia 26 tahun menjual remaja berkenaan sebagai pelacur kepada sembilan orang lelaki.

Di Merlimau, seorang remaja perempuan di bawa ke hotel dan diberikan dadah serta menerima RM20 daripada teman lelakinya bagi setiap perkhidmatan seks yang diberikan.

Ayah kepada empat cahaya mata itu berkana anak perempuannya merupakan seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajar hinggalah dia terjebak dengan kumpulan budak nakal selepas tamat peperiksaan UPSR.

Menurut ahli perniagaan itu, anak perempuannya melarikan diri dari rumah kali pertama dengan teman lelakinya Oktober tahun lalu.

Mangsa menghilangkan diri selepas keluar makan malam bersama teman lelakinya bagi meraikan kejayaannya mencapai 3A dalam UPSR.

Bantah bina menara dekat sekolah – Sinar Harian


Bantah bina menara dekat sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Jun 2013

 

Bantah bina menara dekat sekolah
Khoo bersama ibu bapa mengadakan bantahan secara aman berhampiran menara pemancar telekomunikasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir, Ayer Keroh, semalam.

BATU BERENDAM – Pelajar lebih 100 buah sekolah di negeri ini didakwa berkemungkinan berhadapan masalah kesihatan jika cadangan membina menara pemancar telekomunikasi di dalam kawasan sekolah berkenaan dilaksanakan.

Sambil mempertikaikan kelulusan kerajaan negeri bagi pembinaan menara tersebut, Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong mendakwa pembinaan menara pemancar telekomunikasi di sekolah seluruh negeri ini ada kesan kepada kesihatan.

Beliau difahamkan sebanyak 100 sekolah terlibat pembinaan menara berkenaan di bawah projek Kementerian Pendidikan bagi menjayakan program ‘Bistari Net’ dengan kerjasama sebuah syarikat telekomunikasi tempatan.

“Kami mendapat aduan daripada ibu bapa yang bimbang dengan adanya menara ini akan menjejaskan kesihatan anak-anak mereka sepanjang berada di sekolah.

“Apa yang kita lihat pembinaan menara ini turut tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan iaitu setiap binaan menara berketinggian kurang dari 45 meter serta haruslah dalam jarak 20 meter dari jalan terdekat,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengadakan bantahan bersama kira-kira 15 ibu bapa berhampiran menara yang dibina di Sekolah Menengah Tun Mutahir, di sini, semalam.

Poay Tiong berkata, sehubungan itu, pihaknya akan membawa isu berkenaan ke Parlimen menerusi Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“Apa yang kita lihat di sekolah ini, kedudukan menara begitu hampir dengan bilik darjah dan kita akan tanya pihak terlibat, mengapakah ia boleh diluluskan pembinaannya.

“Mereka akan bina sebanyak 100 menara seluruh negeri Melaka mengikut pihak berkuasa tempatan, di mana  daerah Alor Gajah akan mempunyai menara pemancar paling banyak,” katanya.

Pelajar koma dirempuh motosikal – Sinar Harian


Pelajar koma dirempuh motosikal

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 April 2013
Pelajar koma dirempuh motosikal
Keadaan Mohd Khirul Fazil yang masih koma selepas kemalangan itu.

ALOR GAJAH – Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Masjid Tanah, parah selepas dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian langgar lari di Jalan kampung Ayer Limau, Masjid Tanah, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, mangsa, Mohd Khirul Fazil Jasferi, 13, sedang melintas jalan dirempuh motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang seorang lelaki awal 20-an.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa teragak-agak melintas jalan dan berhenti di garisan tengah selepas melihat sebuah motosikal ditunggang laju dari arah Brisu ke Masjid Tanah.

“Ketika itu, mangsa bersama sepupunya, Mohd Habrie Abu Bakar, 15, namun sudah berada di seberang jalan dan mangsa cuba melintas kerana bimbang tertinggal bas sekolah.

“Setibanya di garisan tengah, sebuah motosikal dipercayai hilang kawalan merempuh mangsa menyebabkannya tercampak beberapa meter dari lokasi kejadian.

“Orang ramai yang menyedari kejadian itu bertindak menghubungi ibu mangsa sebelum membawanya ke klinik berdekatan,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Remaja terjun kereta elak dirogol terima 7 jahitan – Utusan


Remaja terjun kereta elak dirogol terima 7 jahitan

ALOR GAJAH 30 Mac – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun menerima tujuh jahitan di kepala setelah dia nekad terjun dari sebuah kereta bagi mengelak dirogol, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, mangsa bersama seorang rakan lelaki berusia 17 tahun sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Perdana Jernih, Kuala Sungai Baru menaiki sebuah motosikal.

Menurutnya, motosikal yang dinaiki kedua-dua remaja itu bagaimanapun kehabisan minyak menyebabkan mereka terpaksa berhenti di tepi jalan sementara menunggu bantuan bapa remaja lelaki itu.

“Semasa sedang menunggu, sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna jingga berhenti dan pemandunya menawarkan bantuan untuk menghantar mangsa pulang ke rumah.

“Mangsa kemudian bersetuju menumpang kereta itu kerana mendapati ada seorang remaja perempuan turut berada dalam kenderaan tersebut yang didakwa suspek sebagai anaknya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Umar Ali berkata, rakan lelaki mangsa pula tidak menaiki kereta tersebut kerana menunggu kehadiran bapanya yang akan datang membawa petrol untuk motosikalnya.

Katanya, setelah beredar, pemandu kereta itu tidak menghantar mangsa terus pulang ke rumah dengan memberi alasan sudah terlambat menghantar anaknya ke sekolah.

“Setelah menghantar anaknya ke sekolah, suspek memandu ke arah Linggi dan enggan menghantar mangsa pulang, malah mula bercakap perkara lucah menyebabkan mangsa bimbang,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 12 kilometer selepas itu, mangsa nekad terjun dari kenderaan berkenaan setelah cubaannya membuka pintu kereta tersebut gagal kerana berkunci.

Berikutan tindakan beraninya itu, beliau berkata, mangsa cedera di kepala dan terpaksa menerima tujuh jahitan, selain lebam dan luka di badan.

Tambahnya, polis yang menerima laporan mengenai kes itu telah menahan suspek pada pukul 5 petang hari yang sama di sekitar Kuala Sungai Baru.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan seseorang dengan niat hendak mengurung dengan sulit dan dengan salah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130331/je_04/Remaja-terjun-kereta-elak-dirogol-terima-7-jahitan#ixzz2P7acCqT3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isteri hamil nyaris dipijak – Sinar Harian


Isteri hamil nyaris dipijak

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Mac 2013
Jane
Jane

ALOR GAJAH – Gara-gara bermalam di rumah ibunya sendiri, seorang isteri yang hamil enam bulan nyaris dipijak suaminya yang berang sebelum diugut bunuh dengan keris perhiasan dalam kejadian 6.30 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Jane, 33, mendakwa sudah mendapatkan keizinan suaminya yang berusia 30 tahun itu sebelum pulang ke rumah ibunya selama tiga hari.

Jane berkata, sebaik pulang ke rumah yang disewa di sekitar daerah ini, secara tiba-tiba suami memarahinya.

Menurutnya, dia yang tidak berpuas hati dengan tindakan suaminya bertindak melawan untuk mempertahankan diri sebelum tiga anak mereka berusia antara 6 hingga 11 tahun turut dimarahi bapa mereka.

“Suami turut mendakwa anak-anak kencing merata-rata menyebabkan rumah kotor dan saya menafikannya kerana saya tahu anak tidak akan melakukan sedemikian.

“Malah lebih memilukan apabila suami tidak mengakui kandungan saya ini bukan anaknya sendiri selain menuduh saya mempunyai hubungan intim dengan lelaki lain,” katanya.

Katanya, berang melihat dia mempertahankan anak-anak yang mula menangis ketakutan, suaminya terus mencapai rotan buluh dan bertindak melibas anak-anak.

“Suami juga menampar anak berulang kali dan menolak mereka hingga tersungkur.

“Kasihan melihat anak diperlakukan sebegitu, saya cuba meleraikan pertelingkahan namun terjatuh akibat ditolak suami,” katanya.

Jane berkata, kemudiannya suaminya mengambil kesemua pakaian miliknya dan anak-anak lalu dicampakkan ke luar rumah sambil menghalau mereka.

“Bagaimanapun berikutan pintu rumah sudah dikunci dari luar, saya tidak dapat menyelamatkan diri sebelum suami sendiri membuka pintu dan menghalau kami keluar dari rumah,” katanya.

Difahamkan setelah dihalau, Jane dan tiga anaknya pulang ke rumah ibunya di Jasin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin menerima laporan dan kes dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Keganasan Rumah Tangga, Wanita dan Kanak-kanak (D11) IPK Melaka untuk siasatan.

Pelajar cemerlang Imtiaz Melaka ke universiti luar negara – Utusan


Pelajar cemerlang Imtiaz Melaka ke universiti luar negara

ALOR GAJAH 12 Jan. – Pelajar cemerlang Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka (Imtiaz Melaka) yang lulus beberapa ujian khas termasuk ujian IQ berpeluang melanjutkan pelajaran ke salah daripada 20 universiti terkenal dunia.

Penasihatnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka yang berkelayakan iaitu mendapat kesemua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain markah 400 ke atas bagi ujian IQ akan terus diserapkan ke salah sebuah universiti terkenal dunia termasuk Oxford dan Havard.

“Ini berikutan Pusat Kecemerlangan Y2G yang bertanggungjawab menguruskan Imtiaz Melaka mempunyai hubungan secara terus dengan 20 universiti terkenal dunia bagi mewujudkan program berkembar.

“Selain memastikan mereka yang cemerlang ini dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam aliran tertentu, ia sekali gus menjadikan mereka bukan hanya berpengetahuan dalam bidang agama, tetapi juga bidang lain.

“Melalui kerjasama program berkembar ini, mereka akan terus ke peringkat ijazah pertama dalam kursus profesional yang dikenalpasti dan semua ini akan dilakukan untuk tempoh tiga tahun daripada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Ramah Mesra Sambutan Pelajar Baru Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis meraikan seramai 80 orang pelajar baru itu ialah Panglima Markas 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad dan Pengerusi Y2G, Datuk Hisham Abd. Majid.

Kata Ahmad Zahid, pelajar-pelajar Imtiaz Melaka diharapkan boleh menjadi contoh yang cemerlang kepada pelajar lain memandangkan mereka yang berkemampuan menghafal al-Quran tidak akan mengalami kesukaran dalam mata pelajaran lain.

Dalam pada itu, kata Ahmad Zahid, Imtiaz Melaka yang kini mempunyai seramai 170 pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu dan dua itu menyasarkan kesemua pelajar memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan SPM.

Kata beliau, Imtiaz Melaka yang kini dilengkapi beberapa makmal termasuk makmal Bahasa Inggeris, Kimia, Fizik, kaji hayat dan Matematik membolehkan kesemua lepasan Imtiaz Melaka mempunyai cukup persediaan ke universiti.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama daripada pelbagai agensi yang mengeluarkan biasiswa seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) amat diperlukan bagi urusan biasiswa pelajar-pelajar cemerlang Imtiaz Melaka yang melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130113/dn_07/Pelajar-cemerlang-Imtiaz-Melaka-ke-universiti-luar-negara#ixzz2Hqm2jIGB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dirogol remaja baru dikenali – Sinar Harian


Dirogol remaja baru dikenali

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Januari 2013
Dirogol remaja baru dikenali
Suspek dibawa ke IPD Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

ALOR GAJAH – Berbekalkan wajah kacak dan sikap warak, bekas pelajar sebuah sekolah agama pondok tergamak merogol kenalan perempuan yang dikenali beberapa minggu lalu di laman sembang sosial.

Difahamkan, tindakan licik yang dilakukan di sebuah rumah teres, di sekitar Masjid Tanah, di sini kelmarin bagaimanapun terbongkar setelah mangsa, seorang remaja berusia 14 tahun bertindak mendedahkan kegiatan jijiknya itu kepada seorang kenalan.

Selepas pekungnya terdedah, kenalan mangsa berusaha mencari suspek yang berusia 18 tahun itu di sekitar pekan berkenaan sebelum suspek bersama mangsa ditemui kira-kira jam 10 malam.

Jurucakap polis, berkata,  ketika ditemui suspek berpura-pura tidak tahu dan cuba memujuk mangsa supaya perlakuannya itu tidak terdedah sebelum mangsa menceritakan apa sebenarnya yang berlaku.

“Bimbang kegiatannya terbongkar, suspek melarikan diri dengan melintas jalan raya namun gagal apabila suspek dikepung orang awam yang melihat kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan dirinya terkepung, suspek yang juga anak seorang pensyarah sebuah kolej sempat berdalih mendakwa dia tidak melakukan aktiviti terkutuk itu dan berani bersumpah.

“Melihatkan mangsa juga berada di tempat berkenaan, suspek menyatakan sudah meniduri mangsa sebanyak lapan kali di sebuah hotel bajet di sekitar Melaka dan terbaru di sebuah rumah teres.

“Berikutan kenyataan suspek terbabit, orang awam yang kemudian membawa suspek terbabit masuk ke dalam kereta sebelum suspek diserahkan ke balai polis berdekatan,” katanya.

Mangsa yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini, mendakwa, kira-kira jam 6 petang Jumaat lalu, suspek masuk ke dalam bilik dan memaksanya melakukan hubungan seks.

Menurutnya, kejadian berlaku di rumah seorang kenalannya  di taman perumahan di sekitar Masjid Tanah, di sini.

“Saya cuba menghalangnya dengan memberi alasan takut perbuatannya itu nanti diketahui rakan saya namun suspek tetap berkeras dan terus perkosa saya,” katanya.

Selepas kejadian itu, mangsa mendakwa, suspek tergesa-gesa keluar dan menghilangkan diri, disebabkan takut mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru mengenai kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan laporan dan  penahanan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, suspek berjaya ditahan oleh orang awam dan diserahkan ke balai polis berdekatan sebelum suspek ditahan untuk sesi soal siasat mengenai dakwaan merogol seorang gadis bawah umur.

“Kes diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Keganasan Rumahtangga, Wanita dan kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tonton aksi mati dibelasah – Metro


Tonton aksi mati dibelasah

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Lebih 30 individu termasuk pelajar sekolah serta orang dewasa hanya menjadi penonton dan langsung tidak berusaha meleraikan pergaduhan membabitkan tiga pelajar yang berakhir dengan seorang daripadanya meninggal dunia, semalam.

Insiden menyedihkan itu berlaku di Perhentian Bas Pulau Sebang, di sini, jam 2.30 petang semalam dan mangsa K Saravannan, 14, ditumbuk bertubi-tubi selama hampir 30 minit oleh dua pelajar sebaya yang menyerangnya sehingga pengsan.

Selepas pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Pulau Sebang itu terbaring tidak sedarkan diri, lebih 30 individu yang menjadi penonton itu kelam-kabut melarikan diri dan meninggalkan mangsa terbaring sendirian di tempat kejadian.

Mangsa dikejarkan rakannya ke Hospital Tampin, Negeri Sembilan dengan kereta namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, siasatan awal mendapati sebelum pergaduhan, berlaku cabar-mencabar antara mangsa dengan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mansur Shah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/25

Drama cinta monyet – Metro


Drama cinta monyet

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Angkara cinta tidak kesampaian, seorang pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah menengah di sini, cedera selepas dia terjun dari motosikal yang ditunggang laju pasangannya dalam satu kejadian di pantai Kuala Sungai Baru, dekat sini, kelmarin.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 6 petang itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang berusia 16 tahun tidak dapat menerima kenyataan bahawa dia bakal ditinggalkan kekasihnya.

Sumber berkata, sebelum kejadian itu, mangsa bertengkar dengan teman lelakinya di luar kawasan sekolah berkenaan hingga menyebabkan teman lelakinya itu cuba terjun ke dalam laut sebelum dipujuk mangsa.

“Kejadian disedari pengawal keselamatan berusia 50-an yang membuat rondaan di sebuah sekolah berhampiran lokasi kejadian.

 
“Dalam hujan lebat, mangsa dan pasangannya dilihat bertikam lidah sebelum remaja lelaki itu cuba terjun ke laut,” katanya, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23

Polis Melaka tahan lima ahli ‘Geng Myvi Merlimau’ – Bernama


Polis Melaka tahan lima ahli ‘Geng Myvi Merlimau’

24 September 2012

MELAKA – Polis menahan lima anggota ‘Geng Myvi Merlimau’ yang dipercayai terlibat melakukan kes samun jalanan di sekitar Merlimau di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata kesemua mereka yang berumur antara 16 hingga 22 tahun ditahan pada Jumaat lepas di beberapa lokasi sekitar Melaka termasuk di Pangsapuri Malinja, Bukit Baru; Mahkota Parade, Kandang dan Taman Pertam Jaya.

Beliau berkata kesemua remaja tersebut dipercayai terlibat dalam empat kes samun pada 17 Sept lepas melibatkan seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing.

Katanya suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi menahan mangsa yang ingin ke tempat kerja antara 7.30 hingga 8.00 pagi.

“Mereka kemudian menunjukkan parang kepada mangsa dan merampas apa juga barang berharga selain melakukan kekerasan seperti menumbuk mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Raja Shahrom berkata dalam serbuan tersebut, polis turut merampas telefon bimbit, sebuah kereta Myvi dan sebilah parang dipercayai digunakan ketika suspek melakukan samun.

Hasil siasatan juga mendapati empat antara mereka positif dadah jenis syabu, katanya.

Katanya polis sedang menyiasat sama ada kumpulan terbabit turut terlibat dalam beberapa kes samun lain di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah. – Bernama