Guru agama johan tilawah – SInar Harian


Guru agama johan tilawah

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Mac 2013
Guru agama johan tilawah
Abdul Razak (dua kanan) selepas menerima hadiah dan piala pusingan daripada A Rahman (kanan).

GONG KEDAK – Peserta Tilawah Al Quran Peringkat Daerah Besut 2013, Abdul Razak Mat Ripin dari Pasir Akar, Hulu Besut muncul sebagai johan qari pertandingan itu menewaskan tiga peserta lain.

Kemenangan itu menjadikan guru agama Sekolah Kebangsaan Pusat Jertih itu menang sebanyak empat kali  berturut-turut peringkat daerah Besut bermula dari tahun 2010.

Beliau yang mengumpulkan markah sebanyak 86.5 menewaskan Mohd Shamsuddin Yaacob dari Bukit Payong yang berada di tempat kedua, diikuti Che Omar Che Hamid (Kampung Lay Out Tok Has), dan Megat Ismashamri Megat Imara (dari Kampung IKM, Alor Lintang).

Abdul Razak juga pernah merangkul gelaran Naib Johan dalam pertandingan Tilawah Al Quran Peringkat Negeri pada 2011.

Sementara itu, kategori qariah pula dimenangi Faridah Omar dari Kampung Alor Selinsing dengan mata sebanyak 82.5 diikuti Maziah Awang (Kampung
Raja), Hamdiah Ismail (Kampung Gong Nering, Jertih) dan Latifah Ma’sor dari Rumah Awam Pelagat 3, Seberang Jertih.

Hadiah wang tunai dan piala  epada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Kuala Besut, A Rahman Mokhtar dalam pertandingan yang berlangsung di Masjid Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK).

Hadir sama semua pemimpin daerah, Pegawai Daera Besut, A Rahim Jusoh dan Komandan PUGK, Kolonel Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Pelajar tingkatan 2 maut kemalangan motosikal di Besut – Bernama


Pelajar tingkatan 2 maut kemalangan motosikal di Besut

BESUT, 7 Mac – Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah dekat Alor Lintang di sini, maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta di persimpangan Kampung Amer, Alor Lintang petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Zakaria berkata, dalam kejadian 6.30 petang itu Ahmad Imrannaim Mohammad dari Kampung Tanah Merah Kerandang, Jerteh maut di tempat kejadian.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menyertai aktiviti sukan di sekolahnya dan menunggang dalam keadaan hujan lebat.

Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan akibat jalan licin, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Pemandu kereta yang dikenal pasti sebagai Zarina Abdullah, 36, tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130307/je_09/Pelajar-tingkatan-2-maut-kemalangan-motosikal-di-Besut#ixzz2MrneG1z9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelajar bakal SPM maut dalam kemalangan – Bernama


Pelajar bakal SPM maut dalam kemalangan

5 Oktober 2012

BESUT – Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan terbunuh apabila motosikal yang dibonceng bersama rakan sekolahnya terbabit dengan kemalangan di Jalan Batu Tumbuh dekat Institut Kemahiran Mara (IKM) Besut, Alor Lintang di sini awal pagi semalam.

Ketika kejadian pada pukul 7.35 pagi itu, mangsa Aiman Hakimi Zainuddin, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah meninggal dunia di Hospital Daerah Besut selepas empat jam lebih bertarung nyawa ketika dalam rawatan.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya yang menunggang motosikal itu Mohd Sihar Yusof, 17, sedang dalam perjalanan menunju ke sekolah mereka yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kemalangan.

“Difahamkan Mohd Sihar telah memotong sebuah kereta berhadapan kawasan IKM Alor Lintang tetapi telah terbabas dan pada masa yang sama, datang sebuah kereta yang dipandu oleh seorang kakitangan Majlis Daerah Besut dari arah bertentangan.

“Kakitangan awam itu gagal mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan hingga kedua-dua pelajar itu terpelanting,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kamaruddin berkata kedua-kedua pelajar tersebut telah dikejarkan ke Hospital Daerah Besut untuk menerima rawatan tetapi Aiman Hakimi yang cedera di kepala akibat hentakan di atas jalan raya telah meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Mohd Sihar pula hanya mengalami luka di jari tangan dan lutut manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. – Bernama

Noraini kini bercakap dialek Kuala Terengganu pula – Sinar Harian


Noraini kini bercakap dialek Kuala Terengganu pula
WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Jun 2012

Noraini bekerja di kilang papan pada masa cuti sekolah untuk membantu keluarganya.
BESUT – Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah di Alor Lintang, Noraini Ismail, 17 yang pernah menggemparkan negara kerana berkebolehan bertutur bahasa Korea dan Mandarin satu masa dulu kini masih belum boleh bercakap loghat daerah.

Pelajar perempuan itu dikatakan boleh bertutur pelbagai bahasa asing yang tidak pernah dipelajarinya selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 13 Januari lalu.

Lebih aneh, walaupun sudah tidak boleh bertutur bahasa Korea mahupun Mandarin, tetapi dia masih belum bertutur bahasa ibundanya iaitu loghat Kelantan sampai ke hari ini.

Noraini berkata, cuma bezanya sekarang dia tidak lagi bercakap bahasa baku pelat Cina sebaliknya sekarang bercakap dialek bahasa Malaysia.

“Lidah saya langsung tidak boleh bercakap loghat Kelantan termasuk ingin menyebut perkataan Emok (emak). Hanya perkataan Ayoh (ayah) yang saya boleh sebut,” katanya yang juga tiba-tiba sahaja turut bertutur loghat Kuala Terengganu untuk tempoh seminggu sebelum ini.

Gadis sunti ini ditemui di tempat kerjanya di sebuah kilang papan di Kampung Seri Medang tidak jauh dari rumahnya.

Dia melakukan kerja memotong kayu bermula jam 8 pagi hingga 5 petang hanya ketika musim cuti penggal persekolahan dengan pendapatan RM30 sehari.

“Saya tidak suka duduk diam dan kalau kerja di sini ketika cuti, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga terutama bapa saya yang bekerja di tempat sama,” katanya yang setakat ini sudah jarang mengalami masalah sakit kepala kronik kesan kemalangan seperti sebelum ini.

Noraini berkata, dia sudah biasa bekerja di kilang papan itu sepanjang musim cuti sekolah sebelum ini.

Walaupun kerja itu kelihatan berat dan dia mengakui ada kalanya badannya sakit-sakit kerana perlu mengangkat kayu sebelum dipotong, tetapi dia gembira dengan apa dilakukannya.

Noraini yang sudah ke sekolah selepas beberapa bulan tidak dapat meneruskan pelajaran akibat kemalangan itu bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Noraini pandai pelbagai bahasa dikejar ke hospital alami sakit kepala – Bernama


Noraini pandai pelbagai bahasa dikejar ke hospital alami sakit kepala

BESUT 18 Feb.— Pelajar yang mampu bertutur dalam pelbagai bahasa selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya bulan lalu, dikejarkan ke Hospital Daerah Besut semalam setelah mengalami sakit kepala yang serius.

Noraini Ismail, 17, pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah, Alor Lintang, dikatakan menangis kesakitan sambil memegang kepalanya.

Menurut bapanya, Ismail Salleh, 46, Noraini kemudiannya dirujuk ke Unit Kecemasan hospital itu lewat petang semalam.

Beliau berkata, anaknya mengadu sakit kepala sebaik sahaja dia bangun dari tidur selepas waktu Asar sambil menangis.

Menurut bapanya lagi, Noraini sebelum ini pernah diserang sakit kepala tetapi tidaklah serius seperti semalam.

“Noraini nampak seolah-olah telah pulih sejak seminggu lepas dan dia tidak lagi banyak bertutur dalam bahasa ganjil seperti Korea dan Mandarin, tetapi dia kembali mengulangi bercakap bahasa-bahasa itu selepas kejadian semalam,” kata Ismail. — BERNAMA

Gadis bercakap ‘ganjil’ selepas kemalangan – Bernama


Gadis bercakap ‘ganjil’ selepas kemalangan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BESUT: Seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah yang cedera selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya bulan lalu kini terlantar di rumahnya akibat kesan trauma kejadian berkenaan.

Noraini Ismail, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah dekat sini mendakwa berperasaan luar biasa dan bercakap ganjil dalam bahasa tidak difahaminya dipercayai berpunca daripada kemalangan. “Dalam kejadian itu saya membonceng motosikal abang, Jefri Ismail yang terbabit dalam satu perlanggaran dengan sebuah lori kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat di Kampung Alor Lintang pada 10 Januari lalu dalam perjalanan pulang dari sekolah. “Akibat kemalangan itu saya terjatuh dan terhantuk kepala ke atas jalan raya dan dimasukkan ke Hospital Besut serta tidak sedarkan diri selama 11 jam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Medang dekat Kampung Raja di sini, kelmarin.
Noraini kemudian menerima rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan menjalani imbasan di bahagian kepala yang mendapati terdapat kesan darah beku. Menurut ibunya, Mansena Daud, 48, apabila anaknya itu menjalani imbasan kali kedua dan ketiga di hospital sama, doktor memberitahu bahawa kesan darah beku itu sudah tiada. Selepas tiga hari dirawat di HUSM, Kubang Kerian, anak keenam daripada tujuh beradik itu dibenarkan pulang ke rumah, tetapi keadaannya menjadi teruk hingga tidak dapat bercakap. Tidak lama kemudian, dia mula bercakap bahasa ‘ganjil’ tidak difahami yang didakwa bahasa Cina, Jepun, Korea dan Indonesia. Mansena berkata, anaknya kemudian dimasukkan semula ke hospital bagi rawatan seterusnya atas arahan doktor. Walaupun berperangai pelik, katanya, Noraini kelihatan sihat dan berselera makan serta ingatannya masih baik, namun sering mengadu sakit kepala pada waktu malam hingga terpaksa menghantarnya ke hospital. Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Putra, Muhammad Pehimi Yusoff ketika ditemui meminta pakar membuat kajian teliti bagi mengetahui punca sebenar masalah dihadapi pelajar berkenaan. – Bernama