Pancaragam SMK Sultanah Asma terima anugerah badan dunia – Bernama


Pancaragam SMK Sultanah Asma terima anugerah badan dunia
15:55:03 PM Cetak Emel Kawan

ALOR SETAR: Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma di sini menerima anugerah ‘The Sudler Shield Award’ daripada World Association of Marching Show Band (WAMSB) berikutan pencapaian cemerlang sekolah itu pada Persembahan Pancaragam Sedunia (WCMSB) 2011.

Anugerah disampaikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif WAMSB, Robert G Eklund kepada Pengetua SMK Sultanah Asma, Kartini Zakaria, hari ini.

Pemilihan SMK Sultanah Asma berdasarkan pencapaian terbaiknya dengan memenangi beberapa kategori acara yang dipertandingkan selain muncul juara keseluruhan.
Jurulatih pancaragam sekolah itu, Tang Chia Hue, berkata beliau tidak menyangka sekolahnya dipilih memenangi anugerah berkenaan kerana terpaksa melalui proses saringan dengan 26 sekolah lain dari seluruh dunia.

“Kami akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk terus mendapat tempat pada kejohanan akan datang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, pasukan pancaragamnya adalah sekolah pertama di negara ini yang dipilih menerima anugerah berprestij itu sambil menambah bahawa kemenangan itu adalah hasil kegigihan pasukannya selain persembahan unik yang berjaya menawan juri profesional.

Pertandingan diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 23 hingga 31 Julai tahun lalu.
Pada kejohanan itu, SMK Sultanah Asma yang diwakili 140 anggota pancaragam berjaya mengumpul 94.2 mata, manakala Suphanburi Marching Band dari Thailand di tempat kedua dengan 91.7 mata dan Chein-Kuo High School Marching Band dari Taiwan di tempat ketiga dengan 90.6 mata. – BERNAMA

KAJIAN SEMULA SISTEM PENDIDIKAN NEGARA: DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA 2012 (ALOR SETAR, KEDAH)


KAJIAN SEMULA SISTEM PENDIDIKAN NEGARA: DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA 2012 (ALOR SETAR, KEDAH)

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai latarbelakang Kajian Semula Pendidikan dan Jadual Sesi Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012, sila muat turun fail-fail di bawah.

Slide Kajian Semula Pendidikan

Jadual Sesi Dialog Nasional

Gadis termakan pujuk kena rogol – Berita Harian


Gadis termakan pujuk kena rogol

2012/03/28

KANGAR: Padah mengikuti seorang lelaki ke Perlis, remaja perempuan berusia 15 tahun dari Alor Setar dikurung sebelum dirogol lelaki terbabit sekurang-kurangnya dua kali sepanjang tiga hari sejak Sabtu lalu.

Difahamkan, mangsa yang tinggal bersama datuknya diperlakukan sedemikian oleh suspek berusia 23 tahun, yang turut dikenalinya selepas dikatakan terpedaya pujukan lelaki terbabit ketika keluar bersiar bersamanya, petang Sabtu lalu.

Berdasarkan maklumat diterima, mangsa yang juga pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Alor Setar dikatakan dijemput suspek di rumah datuknya di Kampung Pokok Pauh, Alor Setar, sebelum dibawa ke rumah lelaki itu di Kampung Kenangan, dekat Behor Mali, di sini.

Mangsa kemudian dirogol suspek sekurang-kurangnya dua kali, selain dikurung di rumah itu sebelum mangsa berjaya melepaskan diri petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu susulan laporan dibuat datuk mangsa di Balai Polis Alor Setar, malam kelmarin.

Katanya, mangsa mendakwa dirogol suspek dua kali kira-kira jam 1 pagi Ahad lalu. Malah, mangsa turut dikurung suspek tiga hari selepas dibawa ke rumah tidak bernombor itu.

“Mangsa nekad melarikan diri sebelum pulang ke Alor Setar dan memaklumkan kejadian itu kepada datuknya,” katanya.
Polis kini memburu suspek yang dipercayai melarikan diri selepas menyedari mangsa membuat laporan polis.

Ustaz sebabkan kematian pelajar dipanggil bela diri – Bernama


Ustaz sebabkan kematian pelajar dipanggil bela diri

5 Mac 2012

ALOR SETAR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang ustaz membela diri esok (Selasa) terhadap tuduhan menyebabkan kematian pelajar Saiful Syazani Saiful Sopfidee, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab memerintahkan tertuduh Hanif Mohd Ali, 28, membela diri terhadap tuduhan menyebabkan kematian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat.

Sebaliknya mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan menyebabkan kematian Saiful Syazani, 7, di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Hanif dituduh melakukan kesalahan itu di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau, Perlis pada 31 Mac 2011 antara pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.

Dalam kejadian itu, Saiful Syazani koma selama tiga hari sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pukul 5.40 pagi pada 3 April 2011 selepas dikatakan dipukul oleh warden berkenaan ketika menyiasat satu kes curi di asrama sekolah itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu Najib Zakaria, Nadia Hanim Mohd Tajuddin dan Azhar Mokthar manakala tertuduh diwakili oleh lima peguam terdiri daripada Arif Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri.- Bernama

Mati berkayuh 10km ke sekolah – Metro


Mati berkayuh 10km ke sekolah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: Seorang bapa tidak menyangka tindakannya membelikan anak sulungnya sebuah basikal bagi memudahkannya ke sekolah berakhir tragedi apabila mangsa maut dalam kemalangan Jalan Alor Setar-Kangar, dekat sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 6.45 pagi berhampiran Kampung Kubang Siam, Alor Janggus, di sini, ketika mangsa, Muhamad Nazren Jamalludin, 13, dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Janggus, kira-kira 10 kilometer dari rumahnya.
Mangsa dipercayai cuba melintas, tetapi dirempuh sebuah Proton Persona dari arah sama menyebabkannya terjatuh dan parah di badan serta kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

 

Bapa mangsa, Jamalludin Ahmad, 37, berkata arwah keluar rumah jam 6.30 pagi ketika dia dan isteri, Sabina Ismail, 36, keluar bekerja di restoran makanan segera berasingan.
Menurutnya, dia terkejut apabila dihubungi seorang individu memaklumkan anak sulung daripada tiga beradik itu terbabit kemalangan dan disahkan meninggal dunia sebelum menghubungi isterinya.
Katanya, kebiasaannya arwah menunggang basikal bersama rakan-rakannya, tetapi semalam arwah terlewat bangun menyebabkan dia bersiap dalam kelam-kabut.

 

 

“Sebelum ini, setiap pagi, saya dan isteri bergilir-gilir menghantar arwah ke sekolah, tetapi sejak seminggu lalu, dia mahu pergi sendiri menunggang basikal bersama rakan-rakannya dan meminta saya membelikan basikal itu.
“Saya tunaikan hasratnya dan membelikan basikal, tetapi tak sangka dia meninggal dunia dalam kemalangan selepas basikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta.

 

“Basikal itu baru dibeli seminggu lalu selepas arwah beriya-iya mahukannya walaupun sebelum ini dia atau isterinya menghantar arwah ke sekolah dengan kereta,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini.
Jamalludin berkata, arwah anak yang baik dan manja, malah tidak pernah ketinggalan mengunjungi pusara arwah neneknya, Roziah Ahmad yang meninggal dunia tahun lalu setiap Jumaat sejak setahun lalu kerana sebelum ini hubungan mereka rapat.
“Allah lebih sayangkan dia dan pinjamkan arwah untuk saya dan isteri dalam tempoh singkat, namun saya reda dengan takdir,” katanya.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Siam, dekat sini, selepas solat Zuhur, semalam.

30 murid miskin terima bantuan peralatan sekolah – Utusan


30 murid miskin terima bantuan peralatan sekolah

Zawahir Abdullah (tengah, barisan belakang) bersama sebahagian murid yang menerima bantuan beg sekolah dan alat tulis di Kuala Sala, Alor Setar, semalam.

 

ALOR SETAR 9 Jan. – Seramai 30 murid termasuk lapan anak yatim di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Mahawangsa, Kuala Sala di sini menerima bantuan beg sekolah serta alat tulis daripada Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (IAM) semalam.

Pengerusi IAM, Zawahir Abdullah berkata, bantuan tersebut bagi memastikan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan dapat ke sekolah dengan kelengkapan persekolahan yang sempurna.

“Program di Kedah ini ialah program ketiga diadakan oleh IAM selepas program di Kelantan dan Selangor.

“Kesemua kelengkapan seperti beg sekolah, alat tulis, majalah, air kotak dan biskut dibawa dari Kuala Lumpur ke sini untuk diagihkan kepada murid berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, program tersebut akan diadakan di negeri lain bagi membantu murid yang memerlukan bantuan bagi meneruskan persekolahan mereka.

“Pihak kami dapati ada keluarga miskin yang tidak dapat membeli barangan persekolahan anak-anak mereka kerana kekangan kewangan.

“Wang bantuan RM100 yang berikan kerajaan juga digunakan untuk membeli makanan, jadi pihak kami bantu anak-anak yang memerlukan ini dengan memberi kelengkapan sekolah,” katanya.

Zawahir memberitahu, pihak IAM juga menjalankan program jejak prihatin di negeri ini dengan membaiki rumah mereka yang memerlukan.