Alumni bawa isu roboh asrama kepada Sultan, PM


Alumni bawa isu roboh asrama kepada Sultan, PM

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Persatuan Alumni Asrama Yayasan Selangor akan menggunakan segala saluran untuk menghalang usaha kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor merobohkan asrama yayasan itu di Kampung Pandan di sini.

Presidennya, Aina Hanim Mohd. Lokman berkata, saluran yang dimaksudkan termasuk membawa masalah tersebut kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, pihak persatuan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tersebut jika kerajaan negeri serta Yayasan Selangor masih berkeras dengan keputusan untuk merobohkan asrama berkenaan.

“Kami membantah sekeras-kerasnya rancangan kerajaan negeri serta pihak Yayasan Selangor untuk merobohkan asrama itu. Jadi kami akan menggunakan apa sahaja saluran bagi memastikan mereka membatalkan hasrat tersebut,” katanya kepada¬†Utusan Malaysia¬†di sini hari ini.

Akhbar ini hari ini melaporkan nasib 463 pelajar asrama itu bakal terjejas sekiranya usaha merobohkan asrama tersebut masih diteruskan. Tindakan merobohkannya dipercayai untuk menambah aset kerajaan negeri yang semakin berkurangan.

Lebih membimbangkan, pelajar asrama tersebut tidak diberikan jaminan penempatan lain sekiranya ia dirobohkan dan difahamkan juga tiada perancangan alternatif atau asrama baru yang akan dibina untuk menempatkan kumpulan pelajar berkenaan.

Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur ditubuhkan pada 1979 bertujuan memberi peluang kepada pelajar dari kawasan luar bandar di Selangor melanjutkan pelajaran di sekolah terpilih sekitar Lembah Klang.

Asrama tersebut terdiri daripada Asrama Tun Dr. Ismail yang menempatkan pelajar lelaki dan Asrama Toh Puan Norashikin bagi pelajar perempuan.

Kebanyakan mereka dihantar ke Sekolah Menengah (SM) Aminuddin Baki, SM Victoria, SM Convent Bukit Nanas dan SM Methodist.

Sementara itu, Aina Hanim menegaskan, usaha pihaknya membantah tindakan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan agenda politik sebaliknya dilakukan atas dasar masa depan pendidikan kumpulan pelajar di asrama berkenaan.

“Kami tidak melakukannya atas kapasiti politik. Kami tidak menyebelahi mana-mana pihak, kami hanya mahu mempertahankan tempat yang banyak berjasa kepada kami selama ini dan juga nasib pelajar asrama tersebut,” jelasnya.

Utusan Malaysia difahamkan Yayasan Selangor akan mengadakan mesyuarat berhubung isu tersebut hari ini.