Sindrom Down bukannya satu penyakit – Bernama


Sindrom Down bukannya satu penyakit

13 Mac 2013

“SAYA ada anak Sindrom Down,” kata penulis kepada kaunselor kanak-kanak yang mahu dikenali sebagai Dr Suraiya pada satu majlis sosial di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Jangan kata begitu. Hanya kata anak yang mengalami Sindrom Down kerana kita utamakan ‘orang’ terlebih dahulu.

“Kita harus kata ‘anak yang mengalami Sindrom Down’ dan bukannya anak Sindrom Down”.

“Juga elak daripada berkata ‘dia ada Down’ kerana Sindrom Down adalah satu situasi atau masalah genetik dan bukannya satu penyakit,” jelas Dr Suraiya lagi.

Menurut beliau, mereka yang mempunyai sindrom berkenaan tidak merana daripada keadaan itu serta tidak dijangkiti masalah itu.

Mengenai Sindrom Down  

Apa itu Sindrom Down?

Menurut Dr Suraiya, Sindrom Down adalah satu keadaan kromosom yang sering berlaku.

“Terdapat satu bayi dengan Sindrom Down daripada 700 kelahiran di Amerika Syarikat.

“Bayi menerima 23 kromosom daripada ibu dan 23 kromosom daripada bapa.

Sindrom Down berlaku bila bayi yang dilahirkan mempunyai tiga ‘salinan’ (sepatutnya hanya sepasang atau dua) kromosom ke-21).

“Sebab itu Sindrom Down juga dikenali sebagai Trisomi 21. Kromosom yang terlebih satu menyebabkan berlaku gangguan kepada tumbesaran dan perkembangan fizikal badan,” jelas Dr Suraiya.

Pandangan  

Pandangan Dr Suraiya turut dipersetujui oleh Persatuan Sindrom Down Kebangsaan Amerika Syarikat (NDSS) yang berpusat di New York.

Menurut NDSS, penggunaan rasmi di Amerika Syarikat dan banyak negara lain adalah Sindrom Down dan bukannya Sindrom Down’s kerana penggunaan afostrofi ‘s’ menunjukkan kepunyaan.

Menurut NDSS, Sindrom Down ditemui oleh doktor berbangsa Inggeris John Langdon Down tetapi sindrom itu tidak dialaminya, lantaran penggunaan Sindrom Down dan bukannya Sindrom Down’s.

Menurut NDSS juga, terma yang sepatutnya diguna kepada mereka yang mengalami sindrom ini adalah ‘ketidakupayaan (kelemahan) intelek’ atau ‘ketidakupayaan (kelemahan) kognitif’.

Insiden Sindrim Down 

Menurut laman web ‘Right Diagnosis’, insiden Sindrom Down adalah kira-kira satu dalam 800 atau 0.12 peratus (340,000 orang) di Amerika Syarikat.

Di Asia Tenggara, anggarannya adalah Timor Leste mempunyai 1,274 kes (dari 1,019,252 penduduk), Indonesia – 298,066 (jumlah pendudk 238,452,952), Laos – 7,585 (6,068,117), Malaysia – 29,403 (23,522,482), Filipina – 107,802 (86,241,697) Singapura – 5,442 (4,353,893), Thailand – 81,081 (64,865,523) dan Vietnam -103,328 (82,662,800).

Tiada statitik bagi Myanmar dan Kemboja.

Bagaimanapun lama web itu menjelaskan extrapolasi bagi insiden Sindrom Down ini hanyalah ‘anggaran’ dan mempunyai kadar relevan yang agak terhad bagi sesuatu kawasan.

Persepsi 

Menurut NDSS, terdapat beberapa persepsi tidak betul mengenai Sindrom Down.

Sindrom Down adalah keadaan genetik yang sering berlaku. Satu dalam setiap 691 bayi di Amerika Syarikat mengalami Sindrom Down atau kira-kira 6,000 kelahiran setahun.

Hari ini, terdapat 400,000 orang mengalami Sindrom Down di Amerika Syarikat.

Tiada sebab yang diketahui kenapa bayi dilahirkan dengan Sindrom Down. Ia terjadi tanpa mengira kaum atau lapisan ekonomi. Bagaimanapun insiden sindrom ini meningkat dengan peningkatan usia ibu semasa melahirkan bayi.

Tetapi peningkatan kadar kesuburan bagi wanita berusia muda, 80 peratus daripada anak Sindrom Down kini dilahirkan wanita berumur bawah 35 tahun.

Kelewatan kognitif

Mereka yang mengalami Sindrom Down juga mengalami kelewatan kognitif yang sedikit hingga sederhana.

Terdapat tiga jenis Sindrom Down – Trisomi 21 (95 peratus kes), translokasi (empat peratus) dan ‘mosaicism’ (satu peratus).

Mereka yang mengalami Sindrom Down mempunyai risiko agak tinggi terhadap beberapa masalah perubatan seperti masalah jantung kongenital, masalah pernafasan dan pendengaran, leukemia dan masalah kelenjar tiroid.

Ciri-ciri fizikal anak Sindrom Down adalah lemah tonus otot (otot lembik dan tidak kuat), keadaan fizikal tubuh yang kecil, mata yang sepet serta satu jalur silang di tapak tangan.

Sindrom Down di Malaysia 

Menurut satu kajian oleh Pusat Genom Manusia dan Klinik Genetik Universiti Sains Malaysia’s (USM) yang disiarkan Jurnal Perubatan Singapura pada Jun 2007, kejadian Sindrom Down (sehingga 1989) di Malaysia adalah satu bagi setiap 950 kelahiran.

Bagi komuniti Melayu, terdapat satu kes dalam 981 kelahiran, satu dalam 940 kelahiran bagi masyarakat Cina dan satu dalam 860 kelahiran bagi kaum India.

Di Malaysia, Persatuan Down Sindrom Malaysia (DSM) dan Yayasan Sindrom Down Kiwanis adalah dua institusi yang memberi bantuan serta kemudahan terhadap anak yang mengalami Sindrom Down.

Kedua-duanya mempunyai komitmen terhadap kebajikan anak Sindrom Down dan fokus utama adalah pembelajaran anak ini yang berumur bawah enam tahun.

Institusi itu melatih guru Keperluan Khas Pelajaran serta memberi kaunseling kepada ibu bapa yang mempunyai anak Sindrom Down selain menyediakan pusat sumber mengenai maklumat tentang Sindrom Down.

Institusi ini juga berusaha meningkatkan kesedaran umum terhadap Sindrom Down. – Bernama

250,000 Kanak-Kanak Malaysia Guna Facebook Walaupun Di Bawah Had Umur – mStar


250,000 Kanak-Kanak Malaysia Guna Facebook Walaupun Di Bawah Had Umur
Oleh HARIATI AZIZAN

PETALING JAYA: Facebook masih memikirkan sama ada untuk memberi ruang kepada mereka yang berusia di bawah 13 tahun, tetapi di Malaysia, hampir 250,000 kanak-kanak, sebahagiannya semuda tujuh tahun, telah mendaftar di laman rangkaian sosial terbesar dunia itu.

Pengguna Internet muda, yang berjuta-juta di seluruh dunia, telah dapat mengelakkan ketetapan sekatan umur dengan berbohong tentang umur, antaranya dengan bantuan ibu bapa mereka.

Had umur 13 tahun telah ditetapkan oleh Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak di Amerika Syarikat.

Menurut media sosial global dan syarikat analisis digital Socialbakers, kira-kira 248,500 pengguna Facebook di Malaysia merupakan pra-remaja apabila setakat Ogos tahun lalu, menjadikannya kira-kira 2.2 peratus daripada 11.3 juta pengguna.

Bilangan pengguna telah meningkat kepada lebih 12.4 juta, kata syarikat itu bahawa kedudukan Malaysia pada tangga ke-17 di kalangan 213 negara.

CyberSecurity Malaysia telah memberi amaran mengenai bahaya kanak-kanak di bawah umur menggunakan Facebook tanpa bimbingan ibu bapa yang sepatutnya.

“Kami tahu terdapat mereka yang merupakan kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun di Facebook,” kata ketua pegawai eksekutif, Leftenan Kolonel (R) Prof Datuk Husin Jazri.

Beliau percaya dengan memansuhkan sekatan umur itu akan memberi kesan positif.

“Dengan membenarkan kanak-kanak untuk mendaftar, kita dapat memantau berapa ramai sebenarnya yang berusia di bawah 13 tahun,” kata beliau.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi turut bersetuju mengenainya.

“Kanak-kanak boleh berpotensi untuk terbuka dengan akaun Facebook. Ini akan menggalakkan mereka untuk berkongsi pengalaman mereka secara dalam talian.

“Dengan menyembunyikan umur mereka dan tanpa sebarang langkah perlindungam kanak-kanak tidak dapat dilindungi dengan sewajarnya,” katanya.

Bagaimanapun, pakar media sosial, Jasmin Choy berkata, keadaan itu akan menjadikan kanak-kanak lebih terdedah kepada pembulian siber dan mangsa seksual.

“Ibu bapa mereka sama ada berasa mereka tidak boleh berbuat apa-apa atau mereka tidak tahu apa yang akan berlaku kepada anak-anak mereka apabila di alam siber,” kata Choy, yang mempunyai dua anak yang masih kecil.

Pelajar kolej Syaza Nazura, 18, berkata: “Melarang kanak-kanak di bawah 13 tahun (menggunakan Facebook) tidak berkesan kerana mereka boleh melakukannnya dengan hanya memalsukan tarikh lahir.”

17 pembantu guru Bahasa Inggeris AS di Terengganu – Bernama


17 pembantu guru Bahasa Inggeris AS di Terengganu

2012/01/25

KUALA TERENGGANU: Seramai 17 daripada 50 Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright dari Amerika Syarikat (AS) yang dihantar ke negara ini akan ditempatkan di beberapa sekolah di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata ia adalah tahun ketujuh negeri Terengganu mendapatkan khidmat ETA sebagai salah satu usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Menurutnya, bagi program kali ini, pihaknya akan menumpukan penempatan di sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah premier dan sekolah elit.

“Program ETA sebenarnya bukan asing bagi kita kerana ia dilaksanakan di sini sejak tahun 2006 lagi.

“Bezanya tahun ini ialah, ia tidak lagi diletakkan di bawah seliaan kerajaan negeri sebaliknya telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran,” katanya.

ETA adalah program jalinan yang diwujudkan bagi mempromosikan pertukaran pendidikan antara Malaysia dan AS.

Kumpulan 50 guru ETA itu tiba di negara ini pada 4 Januari lalu dan sebahagiannya akan turut ditempatkan di Johor dan Pahang selama 10 bulan mulai 31 Januari.
Menurut Ahmad Razif, berdasarkan pengalaman Terengganu, 100 peratus format dan modul yang pernah digunakan akan terus dikekalkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk menambah bilangan tenaga pengajar menerusi program ETA, tahun ini.

“Kita ada mohon daripada Fullbright untuk tujuan itu tetapi mereka hanya sediakan 50 ETA untuk Malaysia kali ini.

“Justeru, kita kini sedang mengenal pasti negara-negara lain termasuk United Kingdom untuk menambah bilangan tenaga pengajar Bahasa Inggeris di sini,” katanya. – BERNAMA