‘Saya sangat rindu 3 anak’ – Metro


‘Saya sangat rindu 3 anak’

 1  0 Google +0  0  0

“Saya penuhi masa dalam penjara dengan beribadat menanti waktu dibebaskan dan apabila dibebaskan nanti, saya mahu memeluk tiga anak kerana saya terlalu rindukan mereka,” kata Nordi Adi, 58, ketika dilawati di Penjara Kluang di sini, baru-baru ini.

SNordi bapa kepada empat beradik yang dilarikan bekas isterinya ke Lampung sebelum tiga dibawa pulang pada 30 Jun lalu. Anaknya, Siti Norzana, 13, masih berada di Lampung kerana enggan kembali ke negara ini.
Dia dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 27 Disember 2012 atas tuduhan mendera tiga anaknya di rumah mereka di Taman Kempas menggunakan paip PVC dan tali pinggang, 21 Disember lalu.

 

Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.
Katanya, harapannya masih kuat untuk membawa pulang Siti Norzana dan hidup bersamanya serta tiga anak lain, Nurmasyita Amiera, 9, Muhammad Nurhan, 10, dan Nurul Safiza Fitri, 12.
“Saya tidak putus berdoa Zana dan tiga anak yang kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sihat,” katanya.

 

Menurutnya, dia reda dipenjara 10 bulan kerana memukul tiga anaknya walaupun niat sebenarnya untuk mendidik.
“Ini dugaan Tuhan. Saya juga berharap anak tidak membenci saya kerana perkara lalu selain dapat memulakan kehidupan baru selepas dibebaskan,” katanya.

 

Dia bercadang menyambung pekerjaannya sebagai pengawal keselamatan di tempat bekerja sebelum ini memandangkan gaji diterima berpatutan.
“Saya harap majikan menerima saya kembali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Nordi mahu bawa tiga anak cari Zana – Sinar Harian


Nordi mahu bawa tiga anak cari Zana

NORSHIKIN MOHD SALLEH
30 Ogos 2012
Nordi mahu bawa tiga anak cari Zana
Tiga anak Nordi yang kini tinggal bersamanya
Nordi mahu bawa tiga anak cari Zana
Siti Norzana (kanan) bersama adik-adiknya.

SENAI – Jika misi menyelamatkan Siti Norzana Nordi, 12, atau Zana sebelum ini terbantut apabila dia dikatakan selamat di bawah jagaan polis, kali ini ayahnya, Nordi Adi, 57, bertekad mencarinya sampai dapat walau apa pun yang terjadi.

Bezanya kali ini dia akan membawa tiga lagi anaknya bersama.

Nordi yang bertugas sebagai pengawal keselamatan kesal apabila berita yang mengatakan Zana sudah selamat daripada cengkaman ibu tirinya, Karsini, 28, ternyata tidak benar.

“Saya rasa terpedaya dan tertipu apabila dimaklumkan bahawa Zana masih dikuasai oleh bekas abang ipar saya.

“Apa yang membuatkan saya terkilan ialah saya sudah sampai ke Jambi, Indonesia setelah menempuh perjalanan selama 24 jam, selain berhabis wang, mengabaikan kerja dan sanggup meninggalkan tiga anak yang lain di rumah,” katanya dengan nada sedih.

Menurut Nordi, kekecewaan itu menyebabkan dia mengambil keputusan untuk membawa ketiga-tiga anaknya, Nurul Safiza Fitri, 11; Muhammad Nurhan, 9, dan Nur Masyita Amiera, 8, untuk ke Lampung bagi memulakan pencarian Zana.

“Kalau selamat, kami akan pulang. Jika sebaliknya, kami rela mati bersama,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Nordi turut memberitahu Sinar Harian, dia menerima panggilan telefon daripada Zana pada hari raya ketiga dan merayu mahu pulang ke Malaysia kerana tidak tahan hidup di sana.

“Diri ini rasa hendak terbang, kali ini saya mahu saksikan sendiri Zana di depan mata, baru saya berpuas hati.

“Memang saya tidak ada duit, tapi saya nekad untuk ke sana. Biarpun terpaksa meminjam atau membuat kerja sampingan, matlamat saya hanya untuk jumpa Zana,” katanya.