Remaja didakwa bunuh 4 sekeluarga – Berita Harian


Remaja didakwa bunuh 4 sekeluarga
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2012/01/20

Suspek kes bunuh keluarga usahawan dibawa ke Mahkamah Sibu, semalam.

Suspek kes bunuh keluarga usahawan dibawa ke Mahkamah Sibu, semalam.

Ibu tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000

SIBU: Seorang remaja lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh empat ahli keluarga usahawan pembalakan dan perkapalan di Lorong RTM 13B1 di sini, pada 3 Januari lalu.

Remaja 17 tahun itu turut didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh seorang lagi anak usahawan itu yang cedera parah namun terselamat dalam kejadian berkenaan.

Bagi tuduhan pertama hingga keempat, tertuduh antara jam 6 hingga 7.30 pagi didakwa dengan niat membunuh dengan menggunakan tukul besi mangsa, Ling Tong Hock, 36; ibunya, Leong Nyuk Lan, 76; serta dua anaknya, Amy Ling Zi Jiun, 7, dan David Lung Chei Qi,10.

Bagi tuduhan kelima, dia dituduh memukul menggunakan tukul besi seorang lagi mangsa, Kelvin Ling Chei You, 8, hingga mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Tertuduh hanya menundukkan kepala ketika kertas pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Norlisla Abdul Latif di hadapan Hakim Indra Ayub, sebelum mengangguk sebagai tanda faham.

Bagaimanapun, tertuduh berkemungkinan dibicarakan sebagai pesalah juvana yang membolehkan hukuman lebih ringan jika sabit kesalahan namun ia bergantung kepada keputusan lanjut mahkamah mengenainya.
Mahkamah turut memutuskan ibu tertuduh berusia 44 tahun yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kes itu dilepaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, namun perlu melapor diri di Balai Polis Sentral di sini, setiap bulan.

Hakim kemudiannya menetapkan perbicaraan kes itu pada 29 Februari depan.

Empat sekeluarga dibunuh kejam – Utusan


Empat sekeluarga dibunuh kejam

 

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my

 

LI Xiao Lan (kiri), isteri kepada mangsa pembunuhan kejam tidak dapat menahan kesedihan berikutan empat sekeluarga ditemui mati dibunuh di kediaman mereka di Lorong 13B1, RTM Road, Sibu, Sarawak, semalam.

 

SIBU 3 Jan. – Seorang ahli perniagaan dan tiga ahli keluarga yang terdiri daripada ibunya dan dua anak menjadi mangsa pembunuhan kejam di kediaman mereka di Lorong 13B1, RTM Road, di sini hari ini.

Dalam tragedi antara pukul 7 dan 7.30 pagi, mayat mangsa ditemui dengan kesan kecederaan parah dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam selain dihentak dengan objek tumpul.

Polis setakat ini menolak rompakan sebagai motif pembunuhan berkenaan kerana rumah tersebut tidak digeledah dan tiada barang yang dilaporkan hilang.

Mangsa ialah Ling Tong Hock, 36, ibunya, Leong Nyuk Lan, 76, seorang anak lelakinya, David Ling Chei Qi, 10, dan anak perempuan, Amy Ling Zi Jiun, 7.

Seorang lagi anak mangsa, Kelvin Ling Chei You yang berusia lapan tahun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu berikutan kecederaan parah di kepala.

Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Lau Heng Soon berkata, isteri mangsa, Li Xiao Lan, 28, pula berjaya melarikan diri melalui tingkap apabila pintu bilik tidurnya ditendang penjenayah dari luar.

“Saya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini supaya tampil membantu siasatan.

“Saya datang ke sini bagi melihat apa bantuan yang boleh kita berikan dan jika perlu pasukan forensik dari Kuching atau Bukit Aman akan dibawa ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafie Ismail, di sini hari ini.

Heng Soon meminta kerjasama media supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut.

Beliau berkata, masyarakat juga tidak perlu bimbang dengan tahap keselamatan di Sibu kerana keadaan adalah terkawal.

Katanya, pada tahun lepas, hanya berlaku dua kes pembunuhan di sini dengan satu daripadanya telah diselesaikan.