Siling sekolah agama runtuh, 18 murid selamat – Bernama


Siling sekolah agama runtuh, 18 murid selamat

19 Oktober 2012

GEORGETOWN – Sebahagian siling di sebuah kelas yang menempatkan 18 murid Sekolah Agama Rakyat Masjid Tuan Guru di Tanjung Tokong, di sini runtuh hari ini.

Kesemua murid itu terselamat daripada terkena runtuhan kerana sewaktu kejadian mereka menjalani latihan amali solat di masjid yang terletak bersebelahan sekolah berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Mohamad Noor Ismail berkata, kejadian pada pukul 2.45 petang itu berpunca daripada kayu penyokong utama siling yang telah reput dimakan anai-anai.

“Hasil pemeriksaan kami dapati struktur bumbung sekolah ini tidak lagi selamat diduduki kerana kayu penyokong asas telah dimakan anai-anai dari dalam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohamad Noor menasihati pihak pengurusan sekolah supaya menghentikan aktiviti pembelajaran buat sementara waktu dan memusnahkan sarang pembiakan anai-anai kerana bimbang ia merebak ke bahagian kelas lain.

Beliau turut meminta para guru dan murid menjauhi kawasan runtuhan sehingga bangunan itu dibaik pulih sepenuhnya.

Sementara itu, pengerusi sekolah Abdul Rashid Khalid, 57, berkata kejadian itu pertama kali berlaku sejak sekolah itu ditubuhkan pada tahun 2005.

Beliau berkata sekolah yang mempunyai tiga kelas dan hanya memulakan operasi pada waktu petang itu baharu sahaja diubahsuai dua tahun lepas.

Aktiviti pembelajaran akan dipindah ke masjid berhampiran sehingga kerja-kerja membaik pulih selesai dilakukan, katanya. – Bernama

Tapak tanah baharu untuk SJKT Batu Ampat – Kosmo


Tapak tanah baharu untuk SJKT Batu Ampat

SRJKT Batu Ampat di Kampung Jawa, Klang akan dinaik taraf sebaik proses pembelian tapak baharu selesai dilakukan bagi membina bangunan tambahan.

KLANG – Nasib lebih 1,000 murid dan guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batu Ampat, Kampung Jawa di sini yang selama ini terpaksa belajar dalam bangunan yang terjejas teruk akibat serangan anai-anai dan masalah banjir bakal berubah.

Ia berikutan tindakan kerajaan Pusat yang membeli tanah seluas 1.2 hektar di sebelah tapak sekolah itu bagi membina bangunan baharu yang lebih selamat dan selesa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G. Palanivel berkata, proses jual beli tanah itu daripada pemilik asal sedang diuruskan oleh kerajaan bagi tujuan tersebut.

“Lebih menggembirakan, pemilik asal tanah juga bersetuju untuk memberikan tambahan 0.4 hektar tanah secara percuma demi masa depan murid-murid sekolah itu.

“Kita akan mengumumkan secara rasmi pemberian tanah itu untuk pembinaan bangunan baharu sejurus selepas menerima surat pengesahan urusan jual beli daripada pemilik tanah tersebut,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Pembinaan bangunan baru SJK (T) Batang Kali tahun depan – Bernama


Pembinaan bangunan baru SJK (T) Batang Kali tahun depan

9 Mei 2012

HULU SELANGOR – Kementerian Pelajaran hari ini memberi jaminan akan membina satu blok bangunan baru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK (T) Batang Kali pada perancangan tahun 2013 bagi memastikan suasana pembelajaran yang selesa dan selamat di sekolah itu.

Timbalan Menteri berkenaan Dr Mohd Puad Zarkashi berkata pembinaan bangunan baru dengan enam bilik darjah itu akan dimulakan sebaik sahaja peruntukan diluluskan dan dijadual siap dalam masa setahun.

“Saya akan berbincang segera dengan Menteri Pelajaran untuk mendapatkan persetujuannya. Kita berjanji akan menyelesaikan masalah sekolah dan murid-murid. Ini adalah cara kerajaan diterajui Barisan Nasional.

“Kita sentiasa prihatin dalam isu berkaitan pendidikan serta tidak mahu membiarkan rakyat menderita,” katanya kepada pemberita selepas melawat SJK (T) Batang Kali di sini.

Turut hadir Penyelaras Pelan Tindakan Bagi Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil Malaysia, Pejabat Perdana Menteri Prof Dr N.S. Rajendran, Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor V. Mugilan, Penyelia Sekolah Tamil Malaysia M.Baskaran serta wakil-wakil daripada Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Pelajaran Daerah.

Pada 4 Mei, Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor V. Mugilan mengetuai satu perhimpunan mogok lapar secara aman bersama ibu bapa dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) A. Omparoa selama 24 jam bagi menuntut pembinaan bangunan baru setelah JKR mengisytiharkan bangunan sedia ada tidak selesa dan keselamatan bangunan itu di tahap tidak memuaskan.

Sementara menunggu kelulusan peruntukan kementerian, Puad berkata empat kabin fiber komposit akan ditempatkan di kawasan sekolah dalam masa terdekat.

Kementerian turut memperuntukkan RM100,000 untuk baik pulih blok A yang mengalami kerosakan bumbung dan pembinaan struktur serta RM20,000 untuk mengatasi masalah anai-anai di sekolah itu.

SJK (T) Batang Kali merupakan sekolah Tamil bantuan penuh kerajaan, yang dibina pada 1960-an, mempunyai 10 bilik darjah, sebuah bilik guru, sebuah pejabat, satu bilik darjah prasekolah, sebuah pusat sumber dan sebuah kontena yang dilengkapi dengan pendingin hawa.

Sekolah itu mempunyai 368 murid termasuk 25 pelajar prasekolah.

– Bernama

Siling runtuh: 4 bilik darjah sementara disedia – Kosmo


Siling runtuh: 4 bilik darjah sementara disedia

DEVAMANY (kiri) meninjau runtuhan siling di dalam sebuah kelas di SJKT Serdang semalam.

 

KUALA LUMPUR – Empat bilik darjah sementara akan disediakan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (T) Serdang dekat sini untuk mengatasi kekurangan bilik darjah di sekolah itu berikutan kejadian siling runtuh kelmarin.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K Devamany berkata, kejadian siling runtuh di dua bilik darjah di Blok A pada pukul 8.50 pagi menyebabkan sekolah tersebut kekurangan bilik darjah untuk menempatkan 160 pelajar.

“Bagaimanapun kita bersyukur kerana tiada pelajar yang cedera dalam kejadian ini,” katanya ketika melawat sekolah itu semalam.

Devamany berkata, pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati Blok A yang menempatkan empat bilik darjah tidak selamat digunakan kerana terdapat banyak masalah termasuk pendawaian, kebocoran atap dan serangan anai-anai.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.