Anak diberi pilihan tinggal bersama ibu atau bapa
![]() |
Zaimi Tumin dan Che Rozana Che Ismail ketika hadir mendengar kes tuntutan penjagaan anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu, semalam.
|
KUALA TERENGGANU 13 Feb. – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memerintahkan seorang pembantu kafeteria supaya membawa ketiga-tiga anaknya bersama pada perbicaraan akan datang bagi membolehkan mereka membuat keputusan sendiri sama ada ingin tinggal bersama ibu atau bapa mereka.
Hakim Syarie, Rosdi Harun membuat keputusan itu setelah Che Rozana Che Ismail, 32, yang bertindak selaku plaintif gagal mencapai persetujuan dengan defendan iaitu bekas suaminya, Zaimi Tumin, 37, dalam usaha mendapatkan hak penjagaan ke atas anak mereka.
Dalam penghakimannya Rosdi berkata, ketiga-tiga anak mereka, Mohammad Fairus Zaimi, 11; Nor Syafiqah Zaimi, 10 dan Suraya Hani Zaimi, 8, akan diberi peluang untuk membuat keputusan sendiri demi masa depan mereka.
Katanya, perintah berkenaan dikeluarkan setelah memikirkan ketiga-tiga kanak-kanak itu hampir ‘mumaiyiz’ iaitu semakin membesar danĀ dapat membezakan sama ada sesuatu perkara itu baik atau buruk.
“Perbicaraan semula kes ini akan disambung pada 28 Februari ini. Bagaimanapun, saya mengalu-alukan sekiranya kedua-dua pihak ingin menyelesaikan perkara ini secara damai sebelum tarikh yang disebut,” katanya.
Terdahulu, kes itu terpaksa ditangguhkan setelah plaintif gagal meyakinkan mahkamah untuk mendapatkan nafkah dan hak penjagaan anak sepenuhnya daripada pihak defendan.
Mahkamah sebaliknya memutuskan supaya plaintif dan defendan menjalani semula ‘proses sulh’ atau perbincangan untuk menyelesaikan tuntutan tersebut.
Bagaimanapun, plaintif mengemukakan rayuan untuk mengadakan semula perbicaraan itu pada hari yang sama dan telah dipersetujui oleh mahkamah.
Dalam pada itu, Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal dari Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Terengganu (YPKNT) turut hadir bagi memberi sokongan moral kepada Che Rozana.
Ahli Jawatankuasa kumpulan itu, Hamidah Wahab berkata, kebanyakan ahli kumpulannya menghadapi masalah yang hampir sama iaitu terpaksa mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan tuntutan masing-masing.
“Dalam kes ini (Che Rozana) umpamanya, sudah dua tahun dia berusaha untuk menuntut nafkah dan hak penjagaan anak daripada bekas suaminya sejak bercerai pada 2008.
“Bagaimanapun, sehingga kini tuntutan itu masih belum berhasil,” ujar beliau.
Tambah Hamidah, selain memberikan sokongan moral, kumpulannya juga bertanggungjawab untuk melatih para ibu tunggal cara terbaik untuk menguruskan kes sendiri tanpa menggunakan khidmat peguam.