Anak lemas, bapa masih hilang, sampan terbalik di Sungai Perak – Bernama


Anak lemas, bapa masih hilang, sampan terbalik di Sungai Perak

2012/04/20

IPOH: Seorang kanak-kanak mati lemas, manakala bapanya masih belum ditemui apabila sampan yang mereka naiki terbalik ketika sedang memancing udang di Sungai Perak dekat Teluk Intan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata mayat Mohd Aizad Iskandar Ramlan, 10, ditemui tersangkut di celah pokok kira-kira 200 meter daripada tempat sampan terbalik pada jam 9.50 pagi tadi.

Gerakan mencari bapanya, Ramlan Ahmad, 34, seorang anggota polis bantuan dan bertugas di Bank Simpanan Nasional cawangan Ipoh dipergiatkan, katanya ketika dihubungi di sini.

Dua beranak itu yang tinggal di Kampung Changkat Petai, Teluk Intan dilaporkan ke Sungai Perak pada jam 8 malam tadi untuk memancing udang, katanya.

Goh berkata, ketika berada di tengah sungai, sampan yang mereka naiki dikatakan tiba-tiba terbalik akibat dirempuh ombak, menyebabkan kedua-duanya tercampak ke dalam sungai berkenaan.

Anggota keluarga yang gagal menghubungi kedua-dua mereka pada jam 10.45 malam kemudian membuat laporan polis, katanya.

Polis yang menerima laporan itu kemudian meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam melancarkan operasi mencari di Sungai Perak sehingga larut malam dan dihentikan akibat cuaca gelap.
Operasi yang disambung pagi ini kemudian menemui mayat kanak-kanak itu tersangkut dicelah pokok, katanya. -BERNAMA